Wednesday, October 5, 2016

Episod Kemurungan 5/10/2016

Aku seorang pencinta. Aku juga seorang ambivert. Aku harus ada masanya berjumpa dengan orang dan harus ada masanya berjarak dengan orang.

Namun, terima kasih ke atas kejadian-kejadian trauma yang berimpak tinggi, aku kini sudah menjadi introvert secara keseluruhannya. Bahkan aku begitu takut mahu berjumpa dan berbual-bual dengan orang. Sebarang interaksi mengundang kebimbangan dan mengelirukan akal dan fikiran aku, lalu membuat aku mudah panik dan tertekan. Aku tidak mampu mengawal diri apabila duduk dengan sesiapa seolah-olah otak aku sudah begitu kekal kerosakannya. Aku tidak dapat membina sebarang hubungan yang utuk dan rasa keselamatan. Aku tiada yakin diri untuk membuat keputusan walaupun hakikatnya selepas aku berani melawan bekas pasangan aku, aku masih boleh lagi yakin diri.

Tetapi apa yang sudah terjadi di antara seorang teman dan aku, rupa-rupanya itu yang memberi kesan yang paling mendalam dan membuat aku benar-benar gila. Walaupun gangguan stress pasca trauma aku makin berkurang, di mana aku sudah boleh lena tidur malam, aku dapati diri aku masih begitu gemuruh untuk berjumpa orang dan kerap kali memilih untuk mengurung diri sendiri. 

Impian aku seperti benar-benar hancur punah. Penulis, penyair, pemuisi, artis kraf kitar semula dan sebagainya kini seperti pasir-pasir halus yang mengalir pantas meninggalkan jari-jemari ku. Tinggal debu-debu yang lagi tidak boleh membina apa-apa melainkan terbang masuk ke hidung menyakitkan liang pernafasan aku.

Apabila mengenangkan teman aku, aku meneliti kembali diri ini. Mungkin aku ini punya tarikan sensual ataupun seksual yang tinggi kepada beberapa manusia yang memandang aku. Jenuh aku memikirkan hakikat itu dan akhirnya semakin yakin apabila mengkaji pengalaman hidup ku yang penuh siri pencabulan, gangguan seksual, seks tanpa meminta kebenaran, rogol dan sebagainya. 

Aku ini seperti tidak boleh keluar lagi tanpa pelindung kerana begitu khuatir akan keselamatan diri. Tetapi bagaimana? Aku sendiri tidak mahu menyusahkan orang untuk berdampingan dengan aku. Kadang-kala, aku hanya ingin keluar di hujung minggu, tetapi tiada teman! Aku mahu berkawan, tetapi struktur pemikiran aku sudah begitu lain, tidak normal atau rosak untuk berbual sesuka hati dengan sesiapa. Aku tidak seperti dahulu. Aku tidak boleh bergaul dengan semua orang!

Apa yang sudah terjadi kepada aku, membuatkan aku lebih terpencil dan terasing daripada biasa. Aku tahu pentingnya oxytoksin, hormon kasih sayang yang percuma untuk membantu kesihatan mental aku. Hormon itu benar-benar ada dalam tubuh dan tidak perlu dibeli. Hanya interaksi kasih sayang antara manusia sudah boleh mencetuskan hormon itu dan mengurangkan tekanan mental. Lantas boleh membina kemampuan untuk percaya, membina hubungan yang utuh dan rasa keselamatan.

Malangnya ia sudah menjadi begitu mahal kerana di Kuala Lumpur ini, rata-ratanya hidup berasingan. Kalau hidup bersama, belum tentu lagi boleh berbual dan mempunyai suatu hubungan yang harmoni.

Pada mulanya aku diasingkan orang, kini aku pula mengasingkan diri.
Aku memang semakin takut!
Aku takut dengan segalanya. Aku takut juga untuk hidup sehari-hari.
Aku benar-benar harap aku mati segera agar tidak hari-hari hidup dalam ketiadaan harapan!

No comments:

Post a Comment