Wednesday, October 5, 2016

Aku dilahirkan sebagai manusia bebas. Kini aku seorang Feminis!

Ya! Aku dilahirkan sebagai manusia yang bebas. Aku tidak biasa ditindas dan aku licik melepaskan diri. Di usia 16 tahun, aku terlalu membuat sebuah kontrak dengan bapa ku bahawa selepas aku menjadi seorang graduan, aku mahu buat apa sahaja yang aku suka! Maka, di usia 23 tahun selepas aku menjadi seorang graduan pengajian undang-undang, aku kembali mengejar dan mendalami bidang seni dan kesusasteraan!

Di usia 26 tahun, selepas 2 tahun menjalani kehidupan yang bebas, aku kini menjadi seorang feminis dan agnostik! Aku si miskin yang parah kehidupannya selepas didera oleh pasangan aku dan tiada solidariti dari kalangan teman-teman.

Terima kasih kepada bekas pasangan aku yang berani menaikkan status-status di Facebook, mengganggu aku di media sosial dan telefon bimbit ku, dan mengganggu aku di realiti! Perbuatannya membuat aku kegerunan dan terpaksa menyorok! Lanjutan daripada itu, aku cuba memulihkan kesihatan mental aku tetapi nampaknya gangguan stress pasca trauma itu masih wujud dan menjadi kecederaan yang kuat pada aspek psikologi aku! Lukanya masih belum sembuh dan aku kepayahan untuk keluar berhadapan dengan orang dan bekerja.

Paksaan dia untuk aku berhadapan dengannya kini telah memberi kesan kekal kepada diri aku. Aku menerima trauma tinggi kali terakhir kami berjumpa. Dari bulan Mac ke April, dia merosakkan usaha aku untuk membina kehidupan yang baru dan menjadi sihat dengan kadar segera. Kini sudah di bulan Oktober! Aku masih sukar melupakan segala kesan Domino kepada perbuatannya. Aku cuba bersabar.

Aku enggan menyalahkan sesiapa tetapi kesannya lagi wujud dan tertimpa-timpa. Aku mahu kesan ini hilang. Aku mahu menjentik satu domino yang memulihkan keadaan, tetapi aku masih tidak terjumpa kepingan domino yang mana satu untuk memulihkan keadaan aku.

Kenapa feminism perlu di Malaysia? Kerana menjadi manusia itu sukar apabila kita punya sisi feminin seperti berlembut, tabah, kisah pada orang lain dan sebagainya. Jika kita punya sifat feminin, kita akan jadi manusia yang punya kelemahan dan terdedah untuk ditindas. Cubaan mengangkat nilai-nilai intrinsik begitu payah kerana nilai-nilai yang tidak punya jantina itu telah dijantinakan oleh beberapa manusia yang tidak lurus akalnya.

Sopan santun itu ialah boleh tetapi jangan melangkaui batas maskulin? Aku merasa lucu kerana ada yang fikir perlu berhati-hati tidak melangkaui batas-batas yang tidak realistik. Aku ini sudah lahir punya vagina, walaupun apa sahaja yang aku lakukan, ia adalah tergolong di dalam sifat-sifat feminin. Aku yakin, bekas pasangan aku begitu tidak selesa dengan aku dan memarahi segala pekerjaan aku adalah kerana aku seorang perempuan.

Dia suruh buat kerja dibahagikan 2 jam untuk setiap pekerjaan, aku turut.
Tetapi dia yang gagal ikut.
Masih hanya salah aku yang dia lihat. Masih hari-hari aku dimarahi.
Itu tidak kena, ini tidak kena!
Aku buat itu tidak cukup bagus, ini pun tidak cukup bagus.

Aku tidak akan lupa akhirnya dia jujur dia mempunyai perasaan sayang dan benci pada aku. Aku yakin sayang itu hanya pada perusahaan kami berdua, segala projek yang menaikkan namanya. Benci itu ialah aku sendiri. Yang mana idea aku jana dan boleh digunakannya, dia suka dan sayang. Yang mana aku untuk diri aku, atau menjadi diri aku atau hanya aku gembira, dia benci.

Sudah aku cakap, jika aku gembira, aku boleh bekerja dengan baik, sama-sama dapat manfaatnya nanti. Tapi dia tidak mahu dengar, dia hanya mendengarkan suaranya. Kemudian keliru dan memarahi aku!

Aku mahu segalanya ini pergi! Aku mahu benar-benar lupa. Tetapi ubat aku telah dihancurkan oleh lelaki ini. Terlekat segala kehancuran! Tiada yang manis-manis walaupun jenuh aku kuis-kuis mencari di antara serpihan jiwa-jiwa ku! Mungkin sudah tertinggal di mana-mana. Mungkin ada kuasa yang sengaja mahu aku terkepit dan menghasilkan sesuatu yang indah dari kemusnahan ini!

Aku cuba! Tetapi cubaan aku seperti tidak cukup kuat lagi! Aku tertekan!
Begitu banyak penindasan di bumi Malaysia ini! Aku harus menjadi seorang feminis walaupun aku tidak berani berjalan di jalanan seperti dulu lagi! Aku sudah tercedera! Aku bertanggungjawab seorang diri untuk menjahit serpihan-serpihan aku dan membina sesuatu yang baru mengisi kelompongan yang ada! Kesan-kesan tikaman tercabik lubang besar itu memang tidak boleh dijahit!

Ah, bagaimanakah aku mahu perbaiki lubang-lubang itu? Celaka! Mana bahan gantinya? Mana harus ku cari?

No comments:

Post a Comment