Tuesday, September 20, 2016

Tiba Di Usia 26 Tahun dan Patriarki itu Wujud

Nota kandungan: Penderaan Fizikal dan Mental




Sudah terlalu lama tidak aku membuka blog ini dan menulis sejak aku merasakan diri aku tiada punya kemampuan untuk menulis. Walaupun aku bukan penulis yang baik, tetapi ini ialah suatu ruang untuk aku mempraktiskan kemahiran aku dan membina keyakinan.


Akhirnya, aku kembali ke sini selepas keyakinan aku semakin pulih.

Mengapakah keyakinan aku jatuh?
Kerana aku ditakdirkan di dalam hidup ini untuk bertemu dengan seorang lelaki yang menyibukkan hidup aku dan membuat aku menyimpang daripada impian hidup aku yang sebenar-benarnya. Adakah salah dia?

Aku tidak mahu menyalahkan sesiapa tetapi aku ingin menyatakan bahawa masing-masing menyumbang kepada pertukaran arah kehidupan kami, meninggalkan segala yang kami pernah rancang sebelum kami bersatu.

Sebelum aku bertemu dia, aku pernah menulis suatu garis masa, apakah aku mahu capai sebaik sahaja aku tamat belajar iaitu sepatutnya bermula pada tahun 2014.
Sudah aku tulis di atas sebuah kertas dan sudah pun hilang. Tetapi aku masih ingat laluannya


  1. Menulis sebuah buku sambil mempunyai gaji sekurang-kurangnya RM3500 sebulan.
  2. Berkahwin dan mempunyai anak yang pertama.
  3. Menyambungkan pelajaran
  4. Mengarang lagi dua buah buku
  5. Membuka sebuah ruang alternatif ataupun sekolah alternatif

Malangnya, setakat itu sahaja yang aku ingat. 
Daripada senarai yang aku lakukan ini, apa yang sudah terjadi selepas aku bertemu dengan pasangan aku ialah terus membuka sebuah ruang kreatif bernama Rumah Nombor 19 di bandar raya Ipoh.
Aku tidak sangka ia benar-benar terjadi tetapi di luar kawalan aku.

Kemudian sesuatu yang buruk telah berlaku di antara kami berdua, kesan yang tidak dapat dielakkan kerana kita semua ialah produk masyarakat yang memeluk kapitalism dan sistem patriarki.
Pengalaman yang buruk di mana bekas pasangan aku telah melakukan penderaan mental dan fizikal tanpa sengaja telah membuat aku begitu trauma sekali. Bahkan kerana kecelaruan mempunyai pasangan seperti lelaki ini dan ketika itu aku amat mengasihinya, aku telah mencederakan diri sendiri dan terdapat cubaan membunuh diri.

Aku langsung tidak sedar bahawa aku sebenarnya dibesarkan oleh seorang bapa yang feminis.
Aku menjadi seorang feminis.
Aku seorang pemikir dan perempuan punya pendapat sendiri.
Perkara-perkara ini ialah sesuatu yang sensitif bagi seseorang yang dibesarkan di dalam keluarga patriarki.

Aku sungguh tidak menyangkakan apabila lelaki itu bertempik, "Aku seorang lelaki! Engkau kena hormat aku."

Itu ucapanya ketika marah dan sudah hilang kewarasan kerana aku enggan patuh kepada sesuatu yang aku rasa tidak bagus atau tidak menyelesaikan masalah. Aku mendapati dia tidak dapat menerima hakikat bahawa aku reti berfikir tetapi begitu kelakar apabila dia memaksa aku untuk meluahkan buah fikiran untuk dia hafal dan bercakap-cakap di hadapan orang.
Dia pernah kata aku bosan untuk diajak berbual dan tidak mencambahkan idea-idea baru.
Kini aku bersoal, adakah selama ini kami benar-benar berdialog? Ataupun dia menghafal ayat orang lain dan bercakap dengan aku yang suka berdialog, kemudian ketandusan ayat-ayat dan memaksa aku menjadi mesinnya?

Apabila jauh daripada kawan-kawan di Shah Alam, barulah aku lihat wajahnya yang sebenar bahawa dia mempunyai masalah berfikir. Dia kurang keyakinan diri untuk meluahkan pendapatnya sendiri dan merencat perkembangan dirinya sendiri. Dia melihat pendapat-pendapat atau idea-idea aku mendapatkan anggukan orang, lalu dia menghafal pula suara-suara aku. Masih tidak membesar dan tidak terus melatih kemahiran berfikirnya.

Aku terperanjat apabila terdengar ayat-ayat yang keluar dari bibirnya yang merah itu ialah benar-benar ayat dari mulut ku.


Aku terperanjat apabila dia seorang yang membaca tidak mempunyai disiplin ilmu dan mengamalkan ia.
Aku terperanjat apabila ilmu digunakan untuk memperkasakan ketidakadilan demi membina reputasi dirinya sebagai seorang aktivis. Dia terdesak untuk dihormati ramai tetapi mengutuk aku sebagai perempuan yang terdesak untuk menarik perhatian ramai.

Aku tertarik dengan penggunaan frasa "tidak cukup mendapat perhatian ketika kecil" dan "terdesak untuk mendapatkan perhatian orang" yang digunakan terhadap aku.
Kata-kata itu begitu penuh penghinaan diucapkan lelaki itu, sedangkan aku cuba membela diri aku selepas dia menjatuhkan reputasi aku di internet.

Sebenarnya, aku lari dan pergi menyorok bagi memulihkan semangat aku dan merehatkan mental aku yang ditekan oleh bekas pasangan aku kerana aku sudah tidak sanggup lagi ditekan-ditekan sehingga dia sanggup melakukan sesuatu yang nyaris mengakibatkan kami kemalangan jalan raya. Keselamatan aku terancam kerana dia semakin tidak waras walaupun menuduh aku perempuan gila.

Aku mendapati, rupa-rupanya dia telah terlebih dahulu menghubungi ramai orang melalui Whatsapp bagi mengetahui lokasi persembunyian aku. Kecoh di kalangan kawan-kawan aku bahawa aku memarahi dirinya dan melarikan diri. Sebenarnya aku takut dengan dirinya dan mendiamkan diri, lalu lari keesokan harinya.
Aku benar-benar takut dengan lelaki itu.

Setiap kata-kata aku seperti takut, dia tidak percaya dan mengubah "takut" kepada "marah."
Apabila aku berkata aku risau keselamatan diri aku dan takut (memang benar aku ulang takut itu begitu banyak kali), dia kata aku melarikan diri kepada seorang lelaki kaya.
Dia berkata-kata pada orang tentang kasih sayang dan cinta. Dia memaparkan aku sebagai seorang pengkhianat cinta.
Tetapi sebenarnya itu hanya lakonannya di internet.

Apabila tiada mata-mata yang memandang, aktivis ini telah melakukan penindasan kepada orang yang paling rapat dengannya sendiri.
Aku pula bosan berlakon bahagia di depan orang dan tidak tahan lagi dengan tekanan-tekanan yang datang darinya.
Aku malu dan rasa seperti tidak layak untuk hidup di bumi ini kerana dilayan begitu tiada kehormatan dan hanya seorang jasad berotak milik orang lain, aku rasa diperhambakan.

Dia membunuh jiwa aku setiap hari.

Apa lagi aku harus katakan? Lelaki itu benar-benar mencabik-cabik dan menikam-nikam jiwa aku sehingga aku semakin gila.

Tetapi aku merasa lega kerana begitu banyak beban bukti yang aku kumpul membukti patriaki itu wujud! Ia benar-benar wujud dan menebal di dalam minda separa sedar!

Apakah ubatnya? Aku tidak pasti. Tetapi aku akan usaha untuk melakukan sesuatu. Aku enggan menjadi feminis militan kerana itu sesuatu yang sangat bukan aku. Aku tidak berharap untuk menjadi penghapus.
Patriarki ialah suatu penyakit yang mengakibatkan kepincangan struktur masyarakat. Feminism ialah ubatnya dan nilai-nilainya harus terpancar dan menerangi. Feminism bukan penghapus tetapi perawat, penenang, pembela, pembaikpulih, pemanis, pengasih, penyayang, pencinta, pejuang, pemeluk dan pelbagai lagi.

Aku punya impian, suatu hari nanti kurangnya penderitaan di muka bumi ini kepada seluruh umat manusia, tidak jantina, bangsa, agama, rupa dan apa-apa sahaja. Suatu hari nanti, segalanya akan benar-benar saling berbaik-baik dan tidak saling sakit menyakiti.
Berbincang dan berdialog dengan penuh beradab apabila mencari solusi.

Aku amat berharap itu terjadi! Aku yakin, bumi ini untuk semua orang dan makhluknya,  ekologi  harus terjaga. Alam juga akan mengamuk jika manusia tidak reti menjaganya. 
Semoga mencapai ke tahap itu nanti.

Perjalanan mencari Tuhan, Tuhan itu ada di mana-mana.

No comments:

Post a Comment