Friday, September 23, 2016

Perempuan Yang Memperkasakan Perempuan Lain

Di dalam hidup ini, kita akan menjadi gembira apabila orang lain sama-sama mara kehadapan. Sesuatu yang saya belajar daripada kakak angkat saya, mentor saya dan bapa saya ialah jika orang lain senang, kita pun akan senang. Jika kita memperkasakan orang lain, orang itu juga akan memperkasakan kita. Jika kita mendewasakan orang lain, orang lain akan membantu mendewasakan kita.

Tidak kiralah sesiapa. Itulah feminism di mata saya. Di dunia ini sewajarnya tidak memandang gender untuk saling memperkasa dan mendewasakan.

Saya bergelut dan orang lain juga bergelut. Mudah dan memudahkan orang lain seperti merungkai ikatan yang ketat di dalam matriks masyarakat yang begitu rumit dan semakin kepincangan.

Memperkasakan individu lain ialah seperti membuka ruang yang selamat kepada individu berkenaan memeluk potensi dirinya, berkongsi ilmu pengetahuan agar orang lain juga mara, memaafkan orang lain akan kesilapan atau kegagalan mereka, menerima orang-orang disekeliling kita dengan seadanya, memberi motivasi untuk terus mara dan berbagai lagi.

Sifat membina ini ialah sifat yang semakin sukar untuk dipeluki kerana kita semakin hidup di dalam pengasingan dan kurang praktis membina satu sama lain. Seolah-olah sudah menjadi satu budaya untuk membiarkan orang lain yang kesusahan untuk menyelesaikan masalah mereka sendiri. Adakah sokong menyokong itu susah? Susah bagi mereka yang jarang mempraktikkannya dan membuka tangan kepada orang lain.

Apabila memperkasakan orang lain, ianya ialah suatu usaha yang tidak selesai dengan hanya menganjurkan forum dan perkongsian. Ia lebih mendalam lagi. Ia perlu dipraktikkan di dalam kehidupan seharian dan punya interaksi sesama manusia. Saling berkomunikasi, bukanlah saling mengasingkan.

Sejujurnya saya tidak suka apabila terdapat individu yang yakin dengan hanya sebuah forum, segala permasalahan sudah selesai. Hakikatnya, itu hanyalah medan perkongsian idea. Bagaimana pula apabila seorang individu datang kehadapan anda dengan permasalahan yang anda bangkitkan di dalam forum?

Contohnya seorang individu menyebarkan idea feminism dan berlawan dengan keganasan rumah tangga. Apakah tindak balas anda apabila sebaik sahaja tamat forum berkenaan, anda didatangi seorang individu yang melalui keganasan rumah tangga dan memohon bantuan daripada anda?

"Saya hanya jurucakap, awak pergilah ke organisasi yang membantu perempuan yang ditimpa kemalangan."

Adakaha hanya dengan menjadi jurucakap itu cukup? Menjadi ahli politik mewakili perempuan tertindas tetapi mengabaikan orang berkenaan yang meminta bantuan? Kemudian anda merakam segala kesakitan individu ini untuk menarik perhatian lagi kepada diri anda?

"Oh, individu ini bercakap melawan keganasan rumah tangga, mesti dia baik orangnya."
"Sebenarnya jika engkau meminta pertolongan dia, dia akan suruh engkau cari pertolongan di tempat lain."

Adakah ini memperkasakan perempuan berkenaan? Hanya jurucakap dan sibuk menghadiri forum-forum?

Saya sebenarnya ialah seorang aktivis yang enggan dibantu oleh beberapa aktivis yang lain kerana perempuan berkenaan sibuk menghadiri forum dan menganjurkan aktiviti penyebaran idea tanpa mempraktikkan idea berkenaan. Lalu saya lepaskan individu ini. Kemudian saya cuba hampiri aktivis feminis yang lain, seorang lelaki, tetapi malangnya dia tersangkut dengan sesuatu dan mengganggu fokusnya untuk membantu saya. Kemudian seorang perempuan yang lain memberi semangat agar lelaki ini membuang saya. Saya hanya mampu tersenyum.
Kesan perbuatan mereka membawa kepada kesan-kesan domino yang teruk sekali.

Jangan risau, kerana saya seorang yang naif, saya mempunyai bantuan-bantuan lain yang tersendiri untuk meneruskan kehidupan. Biarlah saya katakan bahawa alam ini sungguh luas dan besar, punya suatu rahsia yang dahsyat. Alam ini membawa saya ke suatu cara yang sangat dahsyat untuk membela diri saya sendiri dan melindungi saya. Saya tanpa sengaja melakukan lebih banyak sosial eksperimen sehingga saya benar-benar trauma tetapi terus bertahan. Apabila saya tidak dapat bertahan lagi, alam menyelamatkan saya dengan membawa saya rehat dan bertapa.

Saya dijumpakan dengan golongan manusia yang anarki, punk, feminis dan sebagainya. Manusia-manusia yang berhati baik dan suci, membantu saya ketika saya amatlah susah. Mereka memulihkan saya dari trauma dengan hebat sekali. Dalam tempoh 4 bulan, saya berperang dengan PTSD sambil bekerja. Saya tidak sangka saya boleh pulih tanpa menggunakan sebarang ubat-ubatan dan tiada kebimbangan.

Kecuali saya agar takut kerana setiap kali keluar rumah, saya masih mengalami gangguan seksual. Jangan risau, saya boleh mengawal keadaan dan tidak mengamuk-ngamuk di jalanan. Bahkan, apa sahaja masalah yang jadi di dalam tempoh 4 bulan berkenaan, saya lalui dengan berhati-hati dan di bawah kawalan emosi. Saya hasilkan berbagai karya lukisan dan penulisan sebagai terapi.

Ingatan saya semakin pulih, Emosi saya terkawal. Saya semakin bermotivasi untuk bekerja dan memperbaiki diri saya.
Kesihatan, keselamatan dan kebebasan saya ialah karya agung ahli masyarakat yang bertanggungjawab. (Tak, polis tak bertanggungjawab terhadap kesihatan, keselamatan dan kebebesan saya.)

Oleh itu saya mengucapkan terima kasih kepada para wanita yang memperkasakan wanita lain. Dan juga beberapa orang lelaki feminis. Terima kasih kerana memastikan saya bernyawa. Kalian membangkitkan saya dari mati, saya berjanji tidak akan menghampakan kalian. Saya akan usaha bersungguh-sungguh. Kalian buat saya bernyawa. Terima kasih! Terima kasih yang teramat sangat.

Minta maaf sangat-sangat jika ada silap dan salah.







No comments:

Post a Comment

Popular Posts