Thursday, September 22, 2016

Kesan Domino Perlakuan Kita dan Kemaafan.

Hidup aku selepas melarikan diri daripada hubungan yang tidak sihat berada di tahap 50-50.
50 untuk naik kembali, memulihkan kesihatan, mengawal kembali hidup aku dan merasa gembira yang penuh harapan. 
50 yang sebelahnya lagi ialah semakin menjatuh, hilang kawalan hidup, kesedihan sehingga sakit dan tangga terakhir ialah hampir dengan kematian.

Penyukat itu punya satu jarum yang sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Tidak tentu hala kerana terdapat pelbagai faktor yang memberi kesan ke mana arah jarum ini pergi. Aku pula sedaya upaya memegang agar jarum ini ke arah 50 yang positif. Penuh kuat semangat aku mencari harapan dan menguatkan diri, pada masa yang sama aku cuba melindungi seseorang yang sedang sedikit rabun.
Rabun datang apabila aku ada. Aku membuatkan dia gemuruh dan terlupa situasi yang sebenar.

Ternyata, terdapat kemanisan yang begitu asyik apabila dua manusia berjumpa dan merasakan sesuatu yang indah melangkaui segala batasan akal. Mengejutkan akan kewujudan sesuatu yang tidak dapat diungkapkan dan mengundang kecelaruan di zaman yang penuh isolasi dan individualis ini. Berlakunya cetusan hormon-hormon oxytoksin secara tiba-tiba tanpa kawalan menyebabkan perasaan keterujaan dan kegembiraan terlampau. Lebih hebat kesannya daripada menggunakan ganja. "High" tanpa bantuan kimia dari luar badan, sesuatu yang semula jadi. Bahkan, adanya hormon-hormon ini, ingatan dan kesihatan aku pulih dengan lebih cepat daripada biasa.

Tetapi kerana ia terlalu hebat, maka ia terlalu sensitif jua. Semakin besarlah ia, semakin hebatlah kejatuhannya. Hampir merosakkan akar yang baru sahaja hendak menyubur di atas tanah yang sudah lama tidak menghasilkan apa-apa kerana tiada siraman air dan baja. Air, baja dan cahaya matahari terputus secara tiba-tiba. Segalanya gelap. Pokok itu melayu dan terus melayu. Diserang pula oleh ulat-ulat perosak. Kerosakannya hampir tiba ke akar utama.

Lalu aku sebagai seorang manusia biasa, untuk memastikan aku terus hidup dan punya harapan, mula berusaha. Tercetus mekanisme bela diri dan bertahan, mencari kembali air, baja dan cahaya matahari itu dengan kadar yang segera. Aku semakin pupus di suatu masa. Aku perlu mencari suatu sumber yang benar-benar sesuai. 

Kesilapan mencari sumber sebelum ini ternyata telah merencatkan pertumbuhan pokok dan mematikannya. Dengan akar yang baru dan tumbuh subur secara tiba-tiba, sekali lagi pula kemalangan berlaku. Tragedi-tragedi ini buat aku belajar untuk lebih berhati-hati agar tidak terluka lagi kerana ditakik-takik sesuka hati.

Kesan Domino beberapa perilaku daripada orang-orang disekeliling aku dan dari aku sendiri masih wujud sehingga hari ini. Domino terakhir mungkinkah sudah terjatuh? Aku tidak pasti. Tetapi aku kini sedang menekan butang yang lain pula. Butang pengekodan matriks masyarakat agar membuka ruang untuk aku dan orang-orang yang lain pada masa yang sama. Satu jentikan jari yang menjatuhkan, aku harap dapat diseimbangkan dengan satu lagi jari yang membina.

Ada yang cuba memujuk-mujuk dan bertanya, tidakkah aku mahu memaafkan beberapa jari yang menjentik jatuh itu?

Apakah erti kemaafan? Aku tidak berani berkata aku tahu apakah ertinya. Daripada apa yang terjadi, tindak balas aku ternyata hanya mendiamkan diri, terus berusaha membina dari serpihan-serpihan hidup aku, bertahan walaupun lapar dan kesukaran mencari rezeki, cuba tidak marah apabila melihatkan betapa daifnya diri ini yang tidak ubah seperti seorang gelendangan, bersyukur kerana ada yang mengutip aku, berterima kasih pada yang benar-benar membantu bukan sekadar berfalsafah dan reti meluahkan kata-kata, melupakan perlakuan-perlakuan yang menjatuhkan aku sehingga tertirap dan menghampiri kematian, melupakan tiada kata-kata mohon maaf atau sebarang usaha mencari aku, melupakan mereka yang tidak memberikan bantuan di saat aku memerlukan dan menyumbang kepada kepupusan aku dan terus berusaha membina diri tanpa orang-orang yang pernah aku harapkan suatu masa dahulu.

Adakah itu kemaafan ataupun merajuk? Sesiapa sahaja boleh menimbang-nimbang dengan sendiri. Yang pasti aku hanya akan terus meneruskan kehidupan aku. Aku bosan dengan hanya kata-kata. Jika benar-benar bantuan itu untuk aku, di pelusuk ceruk mana pun akan tiba kepada aku. Aku benar-benar tiada kemampuan untuk bergerak, mencapai, merebut atau apa-apa sahaja. Aku memang benar-benar daif, tidak mampu bergerak ke sana ke mari dan hanya mampu berharapkan pada bantuan internet untuk mencapai dunia luar. 

Mujur-mujur sahaja diberi orang. Namun segalanya hanyalah pinjaman. Aku harus bersedia dengan penghujung Oktober. Aku mengesyaki satu lagi kepayahan yang akan muncul dan menghanyutkan aku ke tempat lain pula.

Aku terima sahaja segala kenestapaan dan kecelakaan ini.
Aku akan terus membina selagi mampu.
Aku cuma harap keselamatan aku terjaga dan tubuh ini tidak dirakus oleh sesiapa lagi.


Aku berharap aku punya kesempatan untuk membina penampilan yang lebih baik untuk mencari pekerjaan. Pemakaian aku terlalu bobrok dan menyebabkan orang tidak selesai melihat aku. Jika aku hulurkan ijazah dan menceritakan siapakah aku yang dulu pun, masih aku ragu-ragu untuk aku diterima. Aku pernah positif. Tetapi kerana terlalu pelik, aku kini hanya mampu diam dan berusaha untuk memperbaiki satu persatu.

Terus bersabar.

Maaf dan Cinta, ialah perlakuan. Bukan hanya semata-mata suatu ucapan, kemudian kamu sibuk kembali mengadap telefon bimbit mu dan hidup di dunia internet. Ia harus di dunia realiti!
Usah permainkan aku lagi. Usah tanamkan harapan palsu lagi.
Syukur aku masih terjumpa orang yang reti hidup di dunia realiti.  
Kesan-kesan jari mereka ternyata jari-jari seorang pembina.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts