Friday, September 23, 2016

Hubungan Sihat: Mendewasakan

Pada pendapat saya, hubungan yang sihat ialah hubungan yang mendewasakan diri kita antara satu sama lain. Dewasa bukanlah bermaksud tak boleh nak lari-lari seperti anak-anak dan tegas sepanjang masa. Dewasa kepada saya mempunyai pendefinisian yang berlainan di mana individu berkenaan mempunyai kesedaran ke atas dirinya sendiri dan mampu me'nawan' dirinya sendiri. Maka individu berada dalam sedar ketika melakukan setiap perkara yang dia lakukan.

Dia sedar dia sedang gembira, mengapa dia gembira, bagaimana menyalurkan kegembiraannya dan apakah kesan kegembiraannya pada orang lain
Dia sedar dia sedang marah, kenapa dia marah, bagaimana hendak menyalurkan kemarahannya dan apakah kesan kemarahannya pada orang lain.
Individu ini punya kesedaran yang tinggi dan mampu memilih di saat-saat genting. Perilakunya di aras kesedaran yang tinggi dan bukan datang dari kawasan minda separa sedar.

Manusia mempunyai pecahan minda sedar dan separa sedar. Apabila kita belajar memahami kedua-dua ini, kita mempunyai tahap kesedaran yang tinggi dan boleh melalui kehidupan seharian dengan lebih bersabar serta kurang tekanan. Semestinya ia memerlukan banyak latihan bagi mendewasakan diri.

Pada pendapat saya, cara yang paling mudah ialah banyakkan pengalaman dan membaca; menuntut pelbagai ilmu kemanusiaan.

Hubungan yang sihat ialah hubungan yang mendewasakan, dan bukanlah hubungan yang menghilangkan kewarasan kita dan merendahkan kesedaran.
Hubungan yang tidak sihat selalu merendahkan keyakinan diri, melemahkan semangat dan harapan untuk mengharungi kesusahan dan kepayahan, mencelarukan akal fikiran kita, menyebabkan kita menjadi manusia penuh syak wasangka kepada orang lain, menyebabkan kita semakin kuat marah dan sebagainya.

Mengikut pengalaman peribadi saya sendiri, saya hampir putus asa untuk hidup kerana kebuntuan dan lemah di dalam tempoh jangka masa yang panjang. Hubungan itu membuat saya terperangkap di dalam kemurungan (depression) dan mencederakan diri sendiri dengan sengaja (self harm).

Sejak saya mempungai hubungan yang sihat, saya mendapati saya pulih dari PTSD dengan lebih cepat, mampu bekerja walaupun berperang dengan kesakitan jiwa dan mampu meneruskan pembelajaran.

Mungkin suatu hari nanti saya akan menulis lagi dengan mencari lebih banyak informasi yang lebih banyak butiran untuk dikongsi bersama.


*Ini hanyalah salah satu perspektif daripada beribu-ribu perspektif yang lain.

No comments:

Post a Comment