Thursday, September 22, 2016

Apa sahaja yang aku buat akan dilihat berdendam...

Di pagi ini, saya pun duduk membaca akhbar-akhbar di atas talian internet. Tiba-tiba merasakan satu perasaan kesayuan memikirkan keselesaan saya memencilkan diri sendiri. Terasa hirisan pedih di bahagian dada sebelah kiri memikirkan sesuatu yang begitu sulit, sesuatu yang bisa lagi menitiskan air mata walaupun sudah menghanpiri 4 bulan tragedi itu berlaku. Sesuatu yang tidak terjangka telah terjadi di saat aku sedang lemah dan memerlukan seseorang itu.

Ah, aku di dalam pembuangan! Kerana aku ini terlalu jijik di mata orang walaupun aku tidak merasa apa-apa yang tidak kena pada aku. Sering kali mereka melakukan sesuatu untuk mengingatkan aku akan pandangan mereka terhadap aku. Setiap perbuatan dan kata-kata mereka terjerit, "Kami jijik sama kamu! Tolonglah reti dan pergi dari sini."

Aku hanya mampu terpaku. Tetapi aku masih sempat juga nakal membalas kepada seorang dua. Kemudian aku sesali perbuatan itu. Aku semakin tidak suka akan dharma ku yang memaksa aku ke laluan itu walaupun aku mengelak sehabis daya. Air mata mengalir. Nyaris juga kehilangan nyawa. Dilanda lagi kemurungan. Aku cuba! Aku cuba menelan segala pahit sehinggalah tubuh ku tidak terdaya lagi untuk bergerak, kelumpuhan. Otak ku mati, tidak reti berfikir ataupun sekali berfikir seperti mahu meletup dengan sendiri sehingga berkecai isi-isinya.

Aku usaha memulihkan kelukaan ku. Aku kutip serpihan-serpihan sukma ku yang ada di merata-rata. Ku cantum dan ku perbaiki selagi mampu walaupun penuh cabik-cabik kesan tikaman berhari-hari oleh yang dalam dan ditambah pula dengan kesan-kesan yang baru. Aku nekad sama sekali untuk tidak berbalas dendam kerana tiada kepuasannya di situ.

Tetapi di saat ini, apa sahaja yang aku buat akan dillihat seperti berdendam. Aku diam, juga dilihat berdendam. Aku bising, juga dilihat berdendam.

Sejujurnya aku hanya mahu menelan segala pahit. Kemudian menghasilkan sesuatu kefahaman ataupun kesenian dari segala yang aku telah aku telan itu. Aku pernah pelajari kemarahan menggunakan keganasan dan kata-kata kesat. Aku dapati bebanan semakin bertambah dan hati aku kosong. 
Aku dapati lebih baik berperang menggunakan seni daripada menggunakan keganasan dan kata-kata kesat.

Jiwa ku sudah terlalu tua untuk terpekik pekau seperti orang gila. Sejarah sudah begitu panjang penceritaannya dan tiada keganasan yang memberhentikan keganasan.Begitu banyak yang boleh dipelajari dan dijadikan ikhtibar. Secara jujur, ini sudah 2016, kenapa lagi aku mahu mengulangi kesilapan manusia-manusia yang terdahulu? Bukankah membuangkan masa?

Aku tidak suka manusia yang menggunakan kata-kata yang kasar ataupun kesat, kalau terjerit-jerit lagilah aku tidak gemar. Telinga aku sakit dan aku akan terus kegerunan. Aku bukan gerun kerana aura kemarahan itu, tetapi aku gerun dengan kesan jangka masa panjang yang ditinggalkan si pembawa.

Pernah suatu dahulu, ketika aku sedang memandu, kata-kata yang kasar dihamburkan kepada aku oleh penumpang kereta aku. Akhirnya kerana takut, aku pula yang terjerit-jerit dan marah. Begitu pelik sekali kerana walaupun sudah aku nyatakan bahawa aku tidak suka dan terasa terluka, masih orang itu ulangi kata-kata dan perbuatan yang sama. Hati aku benar-benar tersinggung dan luka. Fikiran ku tidak teratur lagi kerana perbuatannya yang berulang kali.

Aku tidak pasti apakah yang harus lakukan. Terbahagi antara menjadi kaku ataupun membela diri. Perasaan yang bercampur baur. Aku tidak mahu dilihat sebagai pembalas dendam. Aku hanya mahu membela diri. Aku tidak tahu bagaimana untuk melangkah. Kesan-kesan Domino masih wujud.
Aku bersyukur aku dibawa menyorok jauh dari orang dan meredakan sesuatu yang keluar masuk dari diri ini. Semakin hari semakin lega.

Segala semangat dan kesaktian halus membelai-belai dan menjaga aku, membawa aku ke sana dan ke sini. Aku sentiasa berharap agar semua ini membantu aku agar tidak membalas dendam, sebalik membantu aku membina kembali hidup aku. Aku masih tertawa teringatkan kenakalan mereka yang tersilap cara membantu aku. Aku maafkan. Sama-sama masih cuba menyesuaikan diri.
Tidak kisahlah, asalkan tidak menyakiti sesiapa.

Aku harap semuanya mengerti, apa sahaja yang aku buat akan dilihat berdendam. Dan aku tidak mahu itu. Aku mahu merawat, membina dunia baru.

No comments:

Post a Comment