Monday, December 26, 2016

Sayang Sayang Aduhai Sayang

Pantun Perempuan Bertegas

Sayang sayang aduhai sayang
Sudah diseru sudah dipanggil
Dia datang terbang melayang
Hatinya lembut bukannya degil


Sayang sayang aduhai sayang
Kasih dipalu berdarah runcing
Hilang enggan di sisi abang
Masih pilu bernanah dacing


Sayang sayang aduhai sayang
Anak kecil membaling gasing
Riang hukum punah melayang
Jerih taut telinga berdesing


Sayang sayang aduhai sayang
Adik bingung bertambah runsing
Pantang kita rosakkan wayang
Menari tari kainnya kuning

Pantun Bercerita: Perempuan Mencari Perlindungan

Al-kisah Sati jejaka sakti,
Hilangnya pergi membawa diri;
Aduhai kanda pedihnya hati,
Hilangnya pagi bernyawa duri.

Alahai Agni gadis berapi,
Sehari-hari bersihkan sapi;
Teratai wangi manis kecapi,
Sembunyi lari kasih menyepi.

Hilanglah mata butanya hati,
Kini sunyi menyapa diri;
Berbilang kata wijaya mati,
Sini menyanyi bertapa puri.

Mencari bayang hatinya kencang,
Melihat Parvati disamar Kali;
Penari wayang jatinya pincang,
Beringatlah Wati dilamar pali.

Hormat suami niat di hati,
Akhirnya sakit memakan diri;
Semat alami buat mengerti,
Lahirnya rumit penakan diri.

Segala doa Gustri Putri,
Agar dapat nyalakan seri;
Pertala dewa mohon ke mari,
Segarkan adat bawa pepari

Puisi "Aku, Kunarpa Dursila"

Dia, bersukma kencana 
yang jauh ku nampak terang!

Dirinya berpaksi Kejora, 
menawan setiap hati yang dahagakan cinta.

Tatkala aku terlihatnya, 
tiada lagi sumpahan atas nama Masa.

Lentok liuk manjanya, 
mengalun angin membuat aku lupa.
"Tiada neraka! Ini syurga! Ku temui syurga! 
Benar-benar wujud di mata mu."

Nyalarasa merayap di bawah kulit, 
di tepat tengah dahi!

Kau... Bukan manusia.

Tapi

Dosa itu benci, 
yang aku balas ketika sesat dalam asmaraloka lama.

Aku, Kunarpa Dursila.



20/12/16
Sungai Siput, Perak

Friday, December 23, 2016

Rasa Sayang Hei, Daripada Seorang Feminis Gila

Ditulis ketika sedang berusaha menyelesaikan masalah tetapi diganggu orang-orang tertentu. Pantun berirama ini bertujuan menyindir para orang Melayu yang beragama Islam, bertudung litup atau berkahwin ramai, yang gemar mengukur perbuatan orang lain yang tidak mencedera sesiapa dan sedang fokus dengan hidup mereka sendiri kecuali tidak sengaja menguji iman pengacau ini yang tiba-tiba tidak merasa selesa dan mengambil tindakan mengutuk/memerli/menegur kasar atas dasar amar makruf nahi mungkar sebelum memulakan usaha itu kepada diri mereka sendiri.

SASTERA MELAWAN KETIDAKADILAN SOSIAL

Pantun Sindir Menyindir






Rasa sayang hei
Rasa sayang sayang hei
Hei lihat nona jauh
Rasa sayang sayang hei


Mulut penat mengata orang
Hari-hari dia melarang
Lihat sana lubuk berkarang
Nanti sakit hendak mengarang


Makin banyak pulut dizanji
Bawang laja rendang teratu
Apa guna mulut bertaji
Itu bukannya adab beradu


Dua tiga sudah kau cari
Pandai janji berdarul takzim
Lupa saja punah kau cari
Andai panji berusul zalim


Hari-hari menanam tebu
Hari-hari mereka lagu
Cari hari menganyam abu
Bila tanya lebai pun tak tahu



Lenggang Lenggang Kangkung, Dari Seorang Perempuan Tertindas, Feminis Gila

Lirik Lenggang Lenggang Kangkung ini sudah diubahsuai mengikut konteks mata pandangan saya sendiri pada Januari 2016. Di mana ketika itu saya terkepit dengan ketakutan hendak menegur bekas pasangan,permasalahan ekonomi  yang semakin teruk (di mana kapitalism menunggang patriakisme untuk memastikan struktur masyarakat menyokong materialisme dan mengorbakan kesihatan mental), kesunyian, mencari jalan halus untuk meminta pertolongan daripada sesiapa yang pandai membaca di sebalik karya saya, meluahkan kerisauan dan memotivasikan diri sendiri untuk terus melawan!

SASTERA UNTUK MELAWAN  KETIDAKADILAN SOSIAL

Pantun Nasihat Moden


Lenggang lenggang kangkung
Kangkung di tepi paya
Mari kita menabung
Hati-hati dengan buaya

Lenggang lenggang kangkung
Kangkung hijau batangnya
Bagaimana hendak menabung
Hidup kita banyak hutangnya

Lenggang lenggang kangkung
Kangkung di atas tikar
Hati merasa canggung
Duit tabung kita dibakar

Lenggang lenggang kangkung
Kangkung dihinggap rama
Sudah dipecah tabung
Terus lawan kapitalisma

Wednesday, October 5, 2016

Kenapa Mudah Menyakiti Orang? (Puisi)

Kenapa mudah menyakiti orang?
Keterlampauan beban emosi ditekan-tekan tanpa kasihan
Apakah kamu itu kononnya begitu kental dan keras?
Ataupun sebenarnya kamu itu yang lemah?
Jiwa mu tidak reti bersabar dan kewarasan mu mudah hilang
Tidak reti menggunakan pelbagai cara yang lembut
Begitu tuli menggunakan kekesatan dan keganasan!

Adakah engkau sudah benar-benar tiada reti kawal diri?
Adakah engkau memang mahu menyakiti orang?
Adakah engkau sedar engkau menyeksa aku?

Adakah engkau tahu bahawa bebanan itu sudah terlampau?
Usah bebankan aku lagi! Sudah aku terpaksa jerit
Tapi adakah engkau reti dengan?
Kenapa engkau katup telinga mu dengan tempikan suara mu?
Kenapa?
Kenapa mudah menyakiti orang?

Kesan Sampingan Kemurungan yang Teruk dan PTSD

Pengakuan jujur!

Sejak bulan Mei lalu, aku sedar gangguan stress pasca trauma dan kemurungan aku bertambah teramatlah teruk sehinggakan aku kurang membaca kerana tidak dapat fokus dan kurang menulis kerana sesuatu membuat aku takut berfikir.

Terdapat satu persoalan yang tidak terjawaba dan aku tersangkut di titik itu begitu lama walaupun aku cuba melepaskan persoalan itu pergi. 

Pada bulan April yang lalu, aku masih mempunyai memori pengalaman aku menulis pantun yang begitu banyak. Aku berpuisi dan sebagainya. 
Tetapi pada 29 hari bulan April dan 30 hari bulan April, aku mengalami beberapa trauma yang besar. Kemudian diikuti lagi beberapa trauma yang lain ketika cuba mencari tempat perlindungan. 

5 haribulan Oktober 2016, aku berasa begitu sedih sekali dan terpaksa akui bahawa aku hilang begitu banyak "sesuatu" di dalam otak aku sehinggakan aku tidak puas hati langsung dengan sebarang penulisan yang aku hasilkan. Ada sesuatu tidak kena dan aku runsing. Aku boleh rasakan hormon serotonin semakin berkurangan daripada otak aku dan aku kembali memasuki daerah kemurungan.

Aku tidak boleh menipu lagi betapa marahnya aku walaupun begitu banyak hikmah. Begitu banyak perkara di luar kawalan aku sejak tahun 2015 kerana terpaksa patuh dan menerima penderaan mental dari bekas pasangan aku. Apabila aku berjaya lari daripadanya, aku tidak sangka apabila aku meminta bantuan orang lain, sesuatu buruk boleh terjadi dan memburukkan lagi keadaan.

Aku tidak ingat secara butir tetapi aku ada menulis dan sekali sekala memori itu muncul. Beberapa perkara yang aku tidak suka terjadi selepas aku lari dari bekas pasangan aku ialah:

  • Dia enggan melepaskan aku 
  • Dia tidak hormat keputusan aku untuk berpisah
  • Dia bikin kecoh dengan bertanya pada kawan-kawan di manakah aku berada
  • Dia mengatakan aku marah pada dia dan lari SEDANGKAN AKU LARI DARI DIA KERANA DIA MENARIK TUDUNG AKU KETIKA MEMANDU KERETA DENGAN KASAR DAN MENGANCAM NYAWA KAMI. DIA MUDAH HILANG KEWARASAN.
  • Dia tidak sedar yang perilaku dia mengancam nyawa aku
  • Dia tidak sedar kelebihan dia sebagai seorang lelaki dan kesan apabila dia menaikkan status di FACEBOOK membuatkan orang meragui kredibiliti aku, tidak mempercayai aku dan memalukan aku
  • Kemudian, ramai betul halang aku untuk membina hidup baru! Sakit gila hati! Kalian memang taknak aku gembira kan? Kalian nak aku sedih, mati, terseksa!
  • Terdapat pula drama romantis tetapi kemudian menjadi seram dan menggerunkan! Aku tak faham macam seseorang boleh suka, tiba-tiba tak suka, tiba-tiba suka, tiba-tiba halau, tiba-tiba nak balik, tiba-tiba gembira, tiba-tiba sedih! Sewajarnya perkara ini perlu dikawal. Dahsyatnya! Aku tak tahu nak percaya sesiapa dah.
  • Aku malu yang teramatnya sangat sebab tak sengaja sexually harassed orang. Aku tak tahu kenapa aku buat begitu tapi aku taknak dah jumpa sesiapa!

Hidup aku begitu teruk sekarang ini dan aku tak tahu hendak buat apa lagi kecuali terus sahaja berkerja dan bersabar di atas segala kemalangan yang terjadi.


Thursday, September 22, 2016

Apa sahaja yang aku buat akan dilihat berdendam...

Di pagi ini, saya pun duduk membaca akhbar-akhbar di atas talian internet. Tiba-tiba merasakan satu perasaan kesayuan memikirkan keselesaan saya memencilkan diri sendiri. Terasa hirisan pedih di bahagian dada sebelah kiri memikirkan sesuatu yang begitu sulit, sesuatu yang bisa lagi menitiskan air mata walaupun sudah menghanpiri 4 bulan tragedi itu berlaku. Sesuatu yang tidak terjangka telah terjadi di saat aku sedang lemah dan memerlukan seseorang itu.

Ah, aku di dalam pembuangan! Kerana aku ini terlalu jijik di mata orang walaupun aku tidak merasa apa-apa yang tidak kena pada aku. Sering kali mereka melakukan sesuatu untuk mengingatkan aku akan pandangan mereka terhadap aku. Setiap perbuatan dan kata-kata mereka terjerit, "Kami jijik sama kamu! Tolonglah reti dan pergi dari sini."

Aku hanya mampu terpaku. Tetapi aku masih sempat juga nakal membalas kepada seorang dua. Kemudian aku sesali perbuatan itu. Aku semakin tidak suka akan dharma ku yang memaksa aku ke laluan itu walaupun aku mengelak sehabis daya. Air mata mengalir. Nyaris juga kehilangan nyawa. Dilanda lagi kemurungan. Aku cuba! Aku cuba menelan segala pahit sehinggalah tubuh ku tidak terdaya lagi untuk bergerak, kelumpuhan. Otak ku mati, tidak reti berfikir ataupun sekali berfikir seperti mahu meletup dengan sendiri sehingga berkecai isi-isinya.

Aku usaha memulihkan kelukaan ku. Aku kutip serpihan-serpihan sukma ku yang ada di merata-rata. Ku cantum dan ku perbaiki selagi mampu walaupun penuh cabik-cabik kesan tikaman berhari-hari oleh yang dalam dan ditambah pula dengan kesan-kesan yang baru. Aku nekad sama sekali untuk tidak berbalas dendam kerana tiada kepuasannya di situ.

Tetapi di saat ini, apa sahaja yang aku buat akan dillihat seperti berdendam. Aku diam, juga dilihat berdendam. Aku bising, juga dilihat berdendam.

Sejujurnya aku hanya mahu menelan segala pahit. Kemudian menghasilkan sesuatu kefahaman ataupun kesenian dari segala yang aku telah aku telan itu. Aku pernah pelajari kemarahan menggunakan keganasan dan kata-kata kesat. Aku dapati bebanan semakin bertambah dan hati aku kosong. 
Aku dapati lebih baik berperang menggunakan seni daripada menggunakan keganasan dan kata-kata kesat.

Jiwa ku sudah terlalu tua untuk terpekik pekau seperti orang gila. Sejarah sudah begitu panjang penceritaannya dan tiada keganasan yang memberhentikan keganasan.Begitu banyak yang boleh dipelajari dan dijadikan ikhtibar. Secara jujur, ini sudah 2016, kenapa lagi aku mahu mengulangi kesilapan manusia-manusia yang terdahulu? Bukankah membuangkan masa?

Aku tidak suka manusia yang menggunakan kata-kata yang kasar ataupun kesat, kalau terjerit-jerit lagilah aku tidak gemar. Telinga aku sakit dan aku akan terus kegerunan. Aku bukan gerun kerana aura kemarahan itu, tetapi aku gerun dengan kesan jangka masa panjang yang ditinggalkan si pembawa.

Pernah suatu dahulu, ketika aku sedang memandu, kata-kata yang kasar dihamburkan kepada aku oleh penumpang kereta aku. Akhirnya kerana takut, aku pula yang terjerit-jerit dan marah. Begitu pelik sekali kerana walaupun sudah aku nyatakan bahawa aku tidak suka dan terasa terluka, masih orang itu ulangi kata-kata dan perbuatan yang sama. Hati aku benar-benar tersinggung dan luka. Fikiran ku tidak teratur lagi kerana perbuatannya yang berulang kali.

Aku tidak pasti apakah yang harus lakukan. Terbahagi antara menjadi kaku ataupun membela diri. Perasaan yang bercampur baur. Aku tidak mahu dilihat sebagai pembalas dendam. Aku hanya mahu membela diri. Aku tidak tahu bagaimana untuk melangkah. Kesan-kesan Domino masih wujud.
Aku bersyukur aku dibawa menyorok jauh dari orang dan meredakan sesuatu yang keluar masuk dari diri ini. Semakin hari semakin lega.

Segala semangat dan kesaktian halus membelai-belai dan menjaga aku, membawa aku ke sana dan ke sini. Aku sentiasa berharap agar semua ini membantu aku agar tidak membalas dendam, sebalik membantu aku membina kembali hidup aku. Aku masih tertawa teringatkan kenakalan mereka yang tersilap cara membantu aku. Aku maafkan. Sama-sama masih cuba menyesuaikan diri.
Tidak kisahlah, asalkan tidak menyakiti sesiapa.

Aku harap semuanya mengerti, apa sahaja yang aku buat akan dilihat berdendam. Dan aku tidak mahu itu. Aku mahu merawat, membina dunia baru.

Tuesday, September 20, 2016

Tiba Di Usia 26 Tahun dan Patriarki itu Wujud

Nota kandungan: Penderaan Fizikal dan Mental




Sudah terlalu lama tidak aku membuka blog ini dan menulis sejak aku merasakan diri aku tiada punya kemampuan untuk menulis. Walaupun aku bukan penulis yang baik, tetapi ini ialah suatu ruang untuk aku mempraktiskan kemahiran aku dan membina keyakinan.


Akhirnya, aku kembali ke sini selepas keyakinan aku semakin pulih.

Mengapakah keyakinan aku jatuh?
Kerana aku ditakdirkan di dalam hidup ini untuk bertemu dengan seorang lelaki yang menyibukkan hidup aku dan membuat aku menyimpang daripada impian hidup aku yang sebenar-benarnya. Adakah salah dia?

Aku tidak mahu menyalahkan sesiapa tetapi aku ingin menyatakan bahawa masing-masing menyumbang kepada pertukaran arah kehidupan kami, meninggalkan segala yang kami pernah rancang sebelum kami bersatu.

Sebelum aku bertemu dia, aku pernah menulis suatu garis masa, apakah aku mahu capai sebaik sahaja aku tamat belajar iaitu sepatutnya bermula pada tahun 2014.
Sudah aku tulis di atas sebuah kertas dan sudah pun hilang. Tetapi aku masih ingat laluannya


  1. Menulis sebuah buku sambil mempunyai gaji sekurang-kurangnya RM3500 sebulan.
  2. Berkahwin dan mempunyai anak yang pertama.
  3. Menyambungkan pelajaran
  4. Mengarang lagi dua buah buku
  5. Membuka sebuah ruang alternatif ataupun sekolah alternatif

Malangnya, setakat itu sahaja yang aku ingat. 
Daripada senarai yang aku lakukan ini, apa yang sudah terjadi selepas aku bertemu dengan pasangan aku ialah terus membuka sebuah ruang kreatif bernama Rumah Nombor 19 di bandar raya Ipoh.
Aku tidak sangka ia benar-benar terjadi tetapi di luar kawalan aku.

Kemudian sesuatu yang buruk telah berlaku di antara kami berdua, kesan yang tidak dapat dielakkan kerana kita semua ialah produk masyarakat yang memeluk kapitalism dan sistem patriarki.
Pengalaman yang buruk di mana bekas pasangan aku telah melakukan penderaan mental dan fizikal tanpa sengaja telah membuat aku begitu trauma sekali. Bahkan kerana kecelaruan mempunyai pasangan seperti lelaki ini dan ketika itu aku amat mengasihinya, aku telah mencederakan diri sendiri dan terdapat cubaan membunuh diri.

Aku langsung tidak sedar bahawa aku sebenarnya dibesarkan oleh seorang bapa yang feminis.
Aku menjadi seorang feminis.
Aku seorang pemikir dan perempuan punya pendapat sendiri.
Perkara-perkara ini ialah sesuatu yang sensitif bagi seseorang yang dibesarkan di dalam keluarga patriarki.

Aku sungguh tidak menyangkakan apabila lelaki itu bertempik, "Aku seorang lelaki! Engkau kena hormat aku."

Itu ucapanya ketika marah dan sudah hilang kewarasan kerana aku enggan patuh kepada sesuatu yang aku rasa tidak bagus atau tidak menyelesaikan masalah. Aku mendapati dia tidak dapat menerima hakikat bahawa aku reti berfikir tetapi begitu kelakar apabila dia memaksa aku untuk meluahkan buah fikiran untuk dia hafal dan bercakap-cakap di hadapan orang.
Dia pernah kata aku bosan untuk diajak berbual dan tidak mencambahkan idea-idea baru.
Kini aku bersoal, adakah selama ini kami benar-benar berdialog? Ataupun dia menghafal ayat orang lain dan bercakap dengan aku yang suka berdialog, kemudian ketandusan ayat-ayat dan memaksa aku menjadi mesinnya?

Apabila jauh daripada kawan-kawan di Shah Alam, barulah aku lihat wajahnya yang sebenar bahawa dia mempunyai masalah berfikir. Dia kurang keyakinan diri untuk meluahkan pendapatnya sendiri dan merencat perkembangan dirinya sendiri. Dia melihat pendapat-pendapat atau idea-idea aku mendapatkan anggukan orang, lalu dia menghafal pula suara-suara aku. Masih tidak membesar dan tidak terus melatih kemahiran berfikirnya.

Aku terperanjat apabila terdengar ayat-ayat yang keluar dari bibirnya yang merah itu ialah benar-benar ayat dari mulut ku.


Aku terperanjat apabila dia seorang yang membaca tidak mempunyai disiplin ilmu dan mengamalkan ia.
Aku terperanjat apabila ilmu digunakan untuk memperkasakan ketidakadilan demi membina reputasi dirinya sebagai seorang aktivis. Dia terdesak untuk dihormati ramai tetapi mengutuk aku sebagai perempuan yang terdesak untuk menarik perhatian ramai.

Aku tertarik dengan penggunaan frasa "tidak cukup mendapat perhatian ketika kecil" dan "terdesak untuk mendapatkan perhatian orang" yang digunakan terhadap aku.
Kata-kata itu begitu penuh penghinaan diucapkan lelaki itu, sedangkan aku cuba membela diri aku selepas dia menjatuhkan reputasi aku di internet.

Sebenarnya, aku lari dan pergi menyorok bagi memulihkan semangat aku dan merehatkan mental aku yang ditekan oleh bekas pasangan aku kerana aku sudah tidak sanggup lagi ditekan-ditekan sehingga dia sanggup melakukan sesuatu yang nyaris mengakibatkan kami kemalangan jalan raya. Keselamatan aku terancam kerana dia semakin tidak waras walaupun menuduh aku perempuan gila.

Aku mendapati, rupa-rupanya dia telah terlebih dahulu menghubungi ramai orang melalui Whatsapp bagi mengetahui lokasi persembunyian aku. Kecoh di kalangan kawan-kawan aku bahawa aku memarahi dirinya dan melarikan diri. Sebenarnya aku takut dengan dirinya dan mendiamkan diri, lalu lari keesokan harinya.
Aku benar-benar takut dengan lelaki itu.

Setiap kata-kata aku seperti takut, dia tidak percaya dan mengubah "takut" kepada "marah."
Apabila aku berkata aku risau keselamatan diri aku dan takut (memang benar aku ulang takut itu begitu banyak kali), dia kata aku melarikan diri kepada seorang lelaki kaya.
Dia berkata-kata pada orang tentang kasih sayang dan cinta. Dia memaparkan aku sebagai seorang pengkhianat cinta.
Tetapi sebenarnya itu hanya lakonannya di internet.

Apabila tiada mata-mata yang memandang, aktivis ini telah melakukan penindasan kepada orang yang paling rapat dengannya sendiri.
Aku pula bosan berlakon bahagia di depan orang dan tidak tahan lagi dengan tekanan-tekanan yang datang darinya.
Aku malu dan rasa seperti tidak layak untuk hidup di bumi ini kerana dilayan begitu tiada kehormatan dan hanya seorang jasad berotak milik orang lain, aku rasa diperhambakan.

Dia membunuh jiwa aku setiap hari.

Apa lagi aku harus katakan? Lelaki itu benar-benar mencabik-cabik dan menikam-nikam jiwa aku sehingga aku semakin gila.

Tetapi aku merasa lega kerana begitu banyak beban bukti yang aku kumpul membukti patriaki itu wujud! Ia benar-benar wujud dan menebal di dalam minda separa sedar!

Apakah ubatnya? Aku tidak pasti. Tetapi aku akan usaha untuk melakukan sesuatu. Aku enggan menjadi feminis militan kerana itu sesuatu yang sangat bukan aku. Aku tidak berharap untuk menjadi penghapus.
Patriarki ialah suatu penyakit yang mengakibatkan kepincangan struktur masyarakat. Feminism ialah ubatnya dan nilai-nilainya harus terpancar dan menerangi. Feminism bukan penghapus tetapi perawat, penenang, pembela, pembaikpulih, pemanis, pengasih, penyayang, pencinta, pejuang, pemeluk dan pelbagai lagi.

Aku punya impian, suatu hari nanti kurangnya penderitaan di muka bumi ini kepada seluruh umat manusia, tidak jantina, bangsa, agama, rupa dan apa-apa sahaja. Suatu hari nanti, segalanya akan benar-benar saling berbaik-baik dan tidak saling sakit menyakiti.
Berbincang dan berdialog dengan penuh beradab apabila mencari solusi.

Aku amat berharap itu terjadi! Aku yakin, bumi ini untuk semua orang dan makhluknya,  ekologi  harus terjaga. Alam juga akan mengamuk jika manusia tidak reti menjaganya. 
Semoga mencapai ke tahap itu nanti.

Perjalanan mencari Tuhan, Tuhan itu ada di mana-mana.

Popular Posts