Thursday, October 30, 2014

Sedikit bantuan dan berapa lama boleh tahan?

Sebaik sahaja mendapat berita tentang bantuan, aku terus mengeluarkan kereta aku yang minyak hampir habis. Aku habiskan titisan terakhir untuk mencari mesin ATM. 

Aku segera mengisi minyak dan air minuman mineral yang banyak. Kemudian aku mendapat mesej daripada kawan aku bertanya adakah aku benar-benar ingin menarik diri daripada suatu projek. Aku terdiam kerana bantuan sudah tiba. Tapi aku berfikir sejauh mana bantuan ini akan bertahan? 2 hari? 3 hari? 4 hari? Aku yang sedikit gembira dengan berita baik kembali murung. Aku asyik terfikir mana lagi nak mencari sumber kewangan segera.

Namun, kerana mahu kekal lama, aku telah menolak. Sebenarnya aku sudah berniat mahu pulang ke kampung untuk melukis dan mencari kerja di bandar Ipoh. Kenapa? Kerana aku tidak punya wang yang banyak. Di Shah Alam, aku sangat aktif melakukan itu dan ini. Minyak semakin mahal dan makanan pun sama. Itu dan ini nak pakai duit. Ia membebankan aku dan ibu bapa aku. Tambahan, bas yang lalu ke kawasan rumah aku tidak menuju ke tempat yang aku mahu. Perlu bertukar-tukar bas dan menyukarkan pergerak orang tak berduit. Sekurang-kurangnya di Ipoh, kemungkinan kos hidup lebih murah. Ah! Aku tidak pasti.

Aku kecewa kerana dalam fikiran ku, aku sudah merancang untuk duduk di Shah Alam menimba ilmu sebanyak mungkin dan membina nama cukup untuk karya ku menampung bulanan hidup ku. Kemudian aku mahu mengikut seseorang yang aku tunggu menamatkan pelajarannya, -di dalam tempoh penantian itu, aku perlu menyimpan wang untuk majlis, tetapi sehingga kini tiada simpanan, dan akan ikutnya pulang ke kampung. Aku kira hujung tahun hadapan atau awal tahun hadapan, barulah aku keluar dari Shah Alam.

Tapi malangnya. Kerana aku tidak konsisten melukis dan menghasilkan karya, aku semakin tumpul dan malas. Aku asyik membuat pekerjaan lain sehingga ditipu. Perlaburan aku tidak berbalas. Sekarang, kocek ku kering dan tiada siapa percaya! Aku ingin berundur untuk mengumpul wang ringgit. Tapi ada orang lain faham?

Aku perlu memilih projek yang modalnya rendah tetapi pulangannya sesuai dengan kesungguhan aku(berapa jam aku menghasilkan projek berkenaan. Contohnya melukis kerana bahan dan alat sudah ada dan aku hanya perlu lukis). Asalkan ia tidak membuat aku terlalu banyak menggunakan kenderaan. Kos minyak lebih mahal daripada makanan dan tempat tinggal aku.

Aku punya hutang. Aku rasa bersalah kerana orang itu tidak sedar aku berhutang dengannya. Aku cuba menyimpan untuk membayar wang itu. Tetapi ASYIK GAGAL! Aku perlu fokus menghasilkan karya dengan bahan yang sudah ada. Aku terpaksa pentingkan diri sendiri buat masa ini! Aku tidak boleh mengdekati mana-mana projek yang menggunakan banyak modal! 

Aku merasa bersalah kerana aku menarik diri daripada kolabrasi dengan kawan aku. Tapi aku setiap kali aku bekerja berkumpulan, aku sangat cenderung untuk menghulurkan wang ringgit bagi memastikan projek berjaya. Aku mahu bagi yang terbaik. Untuk jemputan kolabrasi, pada mulanya aku ingin sertai dan aku ketika itu masih sedikit lagi wang. Tetapi apabila aku tidak punya wang, aku mengharap bolehkah kawan aku ini menampung dahulu sedikit? Kawan aku pun tidak punya wang. Sama-sama miskin. Lagi idea yang dia taburkan, memakan kos tinggi kerana berulang alik dengan kenderaan. Aku cuba untuk memberi idea yang ringkas yang sesuai dengan bajet dan senang untuk dilaksanakan. Idea yang rumit akan menambahkan kos. Aku menyampah apabila kadang-kala kawan aku tidak memikirkan dengan baik tentang perlaksanaan idea. Idea yang realistik jika kita punya masa yang panjang. Kaedah dan teknik yang digunakan juga sangat meragukan. Aku suka bereksperimen dahulu dengan kaedah dan teknik sebelum melakukan sesuatu karya khas hasil dari pembelajaran aku. Aku tak tahu dia pernah bereksperimen atau tidak tetapi aku mula merasa tekanan sumber kewangan apabila duit dalam kocek hanya tinggal RM25 dan setelah membeli makanan termasuk barang basah menjadi RM13.

Sekarang sudah ada bantuan. Adakah aku akan melabur dan menghadapi sekali lagi risiko modal tidak berbalas? Atau aku akan usaha untuk apa yang ada? (Tambahan pula pada malam semalam seseorang menghubungi aku untuk membeli karya ku. Cuma bayaran akan dibuat pada hujung minggu. Lagi beberapa hari lagi aku perlu bertahan dan aku terpaksa menyimpan sedikit wang-aku berhasrat mahu pindah pulang ke kampung, kos pengangkutan sangat tinggi perlu ditanggung.

Pada mulanya aku mahu pulang segera, tetapi malam tadi juga aku mendapat tempahan inai pada 5 November 2014. Aku merasa sangat kelakar kerana di saat aku mahu kembali semula ke kampung, segala punca rezeki muncul, cukup dan berjarak yang agak sesuai. Cuma aku perlu berhati-hati agar bajet aku tidak lari. Aku kini hanya akan bekerja seorang diri seperti melukis inai dan melukis doodle kerana keduanya murah, tidak perlu menyakiti orang lain dan fleksibel.

Aku boleh duduk di Shah Alam, asalkan aku tidak diganggu oleh tuntutan untuk aktif kerana aku tidak mampu untuk menampung hidup dan aktiviti-aktiviti aku. Kalau orang lain boleh pentingkan diri sendiri, aku pun boleh. Aku perlu tampung hidup aku juga. Kalau tuntut keaktifan aku, aku yang perlu lalui susah menanggung beban hutang, bukan orang lain. Orang lain mungkin bijak dan boleh untuk hidup dengan hanya kos yang kecil, tetapi tidak aku. 

Kalau mahu perli pun, perlilah. Susah aku, aku yang lalui, bukan orang yang berkata itu.

No comments:

Post a Comment