Thursday, October 30, 2014

Jam 1035 malam dan di mana kewarasan penjawat awam.

Jam 1035 malam dan saya terus menikmati demam yang menguasai diri.
Saya tidak pasti kenapa saya demam, mungkin kerana jalan kaki yang agak jauh di bawah matahari panas.

Abah bekalkan sedikit wang dan aku berjanji akan menyertai pertandingan berinai di Kompleks Kraftangan Kuala Lumpur. Tarik tutup permohonan sehinggalah saat sebelum pertandingan bermula. Aku pun bergerak dari rumah ke KTM dengan kereta dan kemudian turun di KL Sentral. Aku naiki monorel dan turun di Stesen Raja Chulan kerana itu sahaja informasi yang aku dapat daripada internet.

Aku berjalan kaki dari stesen sehinggalah ke Jalan Conlay. Jauh juga rupanya dan agak ke dalam kalau mengikut jalan yang aku tempuhi. Basah lencun sebaik sahaja tiba. Jenuh aku berpusing mencari meja urus setia. Tetapi tidak juga berjumpa. Akhirnya aku dekati seorang pengawal keselamatan.

"Pakcik, saya cari meja urus setia. Dekat mana ye?"
"Adik nak tanya apa.."
"Saya nak tanya dekat mana pertandingan berinai yang bermula jam 2.30 petang."

Dengan walkie talkie di tangan, pakcik berkenaan memanggil staff untuk bertanya. Lambat tindak balas. Jawapannya?

Pertandingan dibatalkan. Tempat pertandingan telah dijadikan tempat pameran bunga/pasu bunga.

Kenapa tidak update di Facebook?! Sedangkan promosi sudah dibuat. Borang sudah di keluar dengan tarikh permohonan sebelum 2.30 masih boleh berdaftar. Sekurang-kurangnya updatelah status di Facebook atau dekat pagar Kompleks membuat pemberitahuan bahawa pertandingan dibatalkan! Ataupun dekat borang berkenaan, lain kali jangan buka tarikh sehingga hari pertandingan!

Tunding pula jari kata aku tak daftar. Aku datang awal sebab nak daftarlah. Kau tulis atas borang tu apa? Kau lupa ke? Pertandingan itu untuk orang awam dan terbuka. Aku tengok pada gambar promosi pun ramai yang berminat. Aku tak tahulah bagaimana keadaan mereka. Mungkin ada yang daftar awal maka tahu akan pembatalan acara kerana panggilan sudah dibuat dan duit dikembalikan. Bagaimana yang walk-in? Poster itu telah memerangkan anda.

Lain kali, malas macam mana pun wahai pekerja gomen, sekurang-kurangnya update status Facebook! Tahu tak kalian sudah menyusahkan orang?
Aku telah berjalan kaki dengan harapan.

Itu aku.

Orang lain yang susah mungkin sudah isi minyak dalam kereta dan ambil cuti kerja semata pertandingan yang tak jadi itu.


Kenapa orang tak suka pekerja gomen/ penjawat awam dan sewaktunya dengannya? Sebab benda macam inilah! Gaji kau...memanglah dengar dari kerajaan tapi itu duit cukai rakyat. Tolonglah rasa amanah sikit. Fikir jauh dan kritis sikit. Pertandingan inai tak perlukan tempat yang besar pun. Aku pergi tadi banyak sahaja ruangan!


Tak fahamlah dengan orang buat event dan sudah ada promosi tapi tiada notis pembatalan. Serius sikit bila buat kerja. Rakyat yang buat event besar dan ada yang tak dapat langsung dana atau peruntukan pun buat kerja lagi bagus. Ini event tidak gunakan duit korang sikit pun(kecuali yang jenis malas nak claim), kenapalah mesti tidak serius?

Ingat aku tak pernah buat event ke? Ini kenapa orang pandang rendah pada event yang dianjurkan oleh Kraftangan Malaysia. Hilang minat!

Aku dari kecil membesar dengan Kraftangan. Aku tahu juga selok belok events yang tiada peningkatan. Dari dulu, macam itu juga.... Kah!


Kecil-kecil dulu, aku lihat seni dari Kraftangan ini macam suatu magis dan aku berminat sangat-sangat. Sekarang? Tak payah masuk pun dah tahu apa Kraftangan akan buat. Tambah aku kecewa pertandingan batal tanpa notis. Memang aku makin menjauhlah pada Kraftangan yang kononnya untuk rakyat.

Semoga maju jaya dan tidak lagi berlaku hal salah faham yang menyusahkan orang.

Apabila kamu ada terlalu sedikit....

Tuhan sudah takdirkan beberapa kesusahan, kecuaian dan kemalangan untuk aku.
Setiap kali sesuatu terjadi, aku lalui sahaja kerana tiada yang apa boleh aku lakukan.

Aku masih teringat sesuatu kejadian berlaku ketika aku masih asasi kerana salah faham.
Takkan aku lupa orang yang menghentikan air mata aku. Terima kasih kawan-kawan.

Begitu juga ketika aku tahun pertama dan kedua ketika menempah ijazah sarjana muda. Tahun pertama kerana keputusan peperiksaan aku, manakala tahun kedua kerana pertama kali aku belajar menyayangi sesesorang. Terima kasih kepada kawan-kawan yang memberi kekuatan dan menemani aku. Aku terharu Tuhan mendatangkan mereka kepada aku.

Kemudian aku bangun dan tercabar lagi. Aku lalui walaupun aku sesak. Lama masa berlalu. Kemudian aku membuka kembali hati aku. Aku tidak tahu mengapa tetapi kemalangan lagi.

Kali ini aku terlalu bersedih. Aku punya terlalu sedikit dan di saat aku perlukan kekuatan dalam hati ini, hilang semuanya. Aku benar-benar keseorangan.
Aku berterima kasih kepada sesiapa yang mendatangkan bantuan.
Beras dari teman serumah.
Pembeli hasil seni saya.
Bapa saya yang berusaha menghulurkan wang.

Tetapi hati saya masih sakit.
Air mata suka pula turun.

Sudah takdir aku. Siapa sudi terima aku dengan takdirku?
Kalau tak sudi, jangan berani hampiri.

Pesan aku tentang cinta

Pesan aku tentang cinta ialah belajarlah tentang cinta.
Cinta bukan sekadar antara dua manusia, lelaki dan perempuan.
Ia lebih besar dan dalam.
Ia paling indah dan paling kuat.
Tapi ia juga mudah difitnah.

Pesan aku tentang cinta ialah kenalilah cinta.
Sebelum bercinta, baiknya kita belajar apa itu cinta.
Belajarlah agar kamu tidak menyakiti orang lain.

Indahnya cinta, jika kau tersalah, akan ada kemaafan untuk mu.
Cinta ialah ruang yang selamat untuk kau hidup dan berkembang menjadi manusia.
Cinta ialah ketenangan dan keyakinan tika dunia kegelapan.
Cinta ialah sumber harapan.
Cinta ialah kekuatan.

Cinta ialah perasaan dan perbuatan.
Cinta ialah sumber kelembutan.
Cinta ialah kemanisan.
Cinta ialah air yang menyejukkan api yang tinggi menjulang.
Cinta ialah penyuci.

Walaupun kita dilanda masalah, dengan cinta, kita akan sabar.


Aku sedang berharap wujudnya cinta.
Dan aku berharap semua orang bercinta.



Nekad untuk Menyusun Kembali Hidup

Kita merancang dan berusaha. Berjaya atau tidak, kita akan lihat pada hasilnya. Aku punya niat untuk mengikut jejak Zainab binti Saidina Ali, sesungguh itulah kecintaan dan harapan hidup aku untuk menolong orang lain seperti wanita agung ini. Cuma aku tidak mampu menampung hidup aku, aku tertanya-tanya bagaiman ekonomi hidup wanita ini. Maklumat yang aku dapat hanyalah dia mempunyai suami yang menjalankan perniagaan dan sanggup menampung perjuangan Zainab binti Saidina Ali. Aku perlu menerima hakikat hidup yang aku tidak boleh terlalu bergantung kepada sesiapa. Aku perlu menampung diri sendiri terlebih dahulu sebelum menolong orang lain.

Sebaik sahaja graduasi, aku masih tidak dapat menampung hidup dan aktiviti aku. Aku berharap dengan perancangan dan nekad yang baru, aku akan boleh kembali melakukan pelbagai aktiviti lagi.

Maka aku memilih untuk melukis doodle dan inai dan tidak akan mengambil workshop, event management, atau kolabrasi. Kemudian aku akan kurangkan aktiviti agar aku akan ada lebih masa untuk membina karier seni aku, membayar hutang dan membina keluarga. Aku akan cuba hasilkan lebih banyak karya dan menuntut ilmu. Aku berdoa agar rezeki aku dimurahkan agar aku dapat beraktiviti dengan lebih kerap lagi. Semoga Allah kuatkan hati aku.

Sedikit bantuan dan berapa lama boleh tahan?

Sebaik sahaja mendapat berita tentang bantuan, aku terus mengeluarkan kereta aku yang minyak hampir habis. Aku habiskan titisan terakhir untuk mencari mesin ATM. 

Aku segera mengisi minyak dan air minuman mineral yang banyak. Kemudian aku mendapat mesej daripada kawan aku bertanya adakah aku benar-benar ingin menarik diri daripada suatu projek. Aku terdiam kerana bantuan sudah tiba. Tapi aku berfikir sejauh mana bantuan ini akan bertahan? 2 hari? 3 hari? 4 hari? Aku yang sedikit gembira dengan berita baik kembali murung. Aku asyik terfikir mana lagi nak mencari sumber kewangan segera.

Namun, kerana mahu kekal lama, aku telah menolak. Sebenarnya aku sudah berniat mahu pulang ke kampung untuk melukis dan mencari kerja di bandar Ipoh. Kenapa? Kerana aku tidak punya wang yang banyak. Di Shah Alam, aku sangat aktif melakukan itu dan ini. Minyak semakin mahal dan makanan pun sama. Itu dan ini nak pakai duit. Ia membebankan aku dan ibu bapa aku. Tambahan, bas yang lalu ke kawasan rumah aku tidak menuju ke tempat yang aku mahu. Perlu bertukar-tukar bas dan menyukarkan pergerak orang tak berduit. Sekurang-kurangnya di Ipoh, kemungkinan kos hidup lebih murah. Ah! Aku tidak pasti.

Aku kecewa kerana dalam fikiran ku, aku sudah merancang untuk duduk di Shah Alam menimba ilmu sebanyak mungkin dan membina nama cukup untuk karya ku menampung bulanan hidup ku. Kemudian aku mahu mengikut seseorang yang aku tunggu menamatkan pelajarannya, -di dalam tempoh penantian itu, aku perlu menyimpan wang untuk majlis, tetapi sehingga kini tiada simpanan, dan akan ikutnya pulang ke kampung. Aku kira hujung tahun hadapan atau awal tahun hadapan, barulah aku keluar dari Shah Alam.

Tapi malangnya. Kerana aku tidak konsisten melukis dan menghasilkan karya, aku semakin tumpul dan malas. Aku asyik membuat pekerjaan lain sehingga ditipu. Perlaburan aku tidak berbalas. Sekarang, kocek ku kering dan tiada siapa percaya! Aku ingin berundur untuk mengumpul wang ringgit. Tapi ada orang lain faham?

Aku perlu memilih projek yang modalnya rendah tetapi pulangannya sesuai dengan kesungguhan aku(berapa jam aku menghasilkan projek berkenaan. Contohnya melukis kerana bahan dan alat sudah ada dan aku hanya perlu lukis). Asalkan ia tidak membuat aku terlalu banyak menggunakan kenderaan. Kos minyak lebih mahal daripada makanan dan tempat tinggal aku.

Aku punya hutang. Aku rasa bersalah kerana orang itu tidak sedar aku berhutang dengannya. Aku cuba menyimpan untuk membayar wang itu. Tetapi ASYIK GAGAL! Aku perlu fokus menghasilkan karya dengan bahan yang sudah ada. Aku terpaksa pentingkan diri sendiri buat masa ini! Aku tidak boleh mengdekati mana-mana projek yang menggunakan banyak modal! 

Aku merasa bersalah kerana aku menarik diri daripada kolabrasi dengan kawan aku. Tapi aku setiap kali aku bekerja berkumpulan, aku sangat cenderung untuk menghulurkan wang ringgit bagi memastikan projek berjaya. Aku mahu bagi yang terbaik. Untuk jemputan kolabrasi, pada mulanya aku ingin sertai dan aku ketika itu masih sedikit lagi wang. Tetapi apabila aku tidak punya wang, aku mengharap bolehkah kawan aku ini menampung dahulu sedikit? Kawan aku pun tidak punya wang. Sama-sama miskin. Lagi idea yang dia taburkan, memakan kos tinggi kerana berulang alik dengan kenderaan. Aku cuba untuk memberi idea yang ringkas yang sesuai dengan bajet dan senang untuk dilaksanakan. Idea yang rumit akan menambahkan kos. Aku menyampah apabila kadang-kala kawan aku tidak memikirkan dengan baik tentang perlaksanaan idea. Idea yang realistik jika kita punya masa yang panjang. Kaedah dan teknik yang digunakan juga sangat meragukan. Aku suka bereksperimen dahulu dengan kaedah dan teknik sebelum melakukan sesuatu karya khas hasil dari pembelajaran aku. Aku tak tahu dia pernah bereksperimen atau tidak tetapi aku mula merasa tekanan sumber kewangan apabila duit dalam kocek hanya tinggal RM25 dan setelah membeli makanan termasuk barang basah menjadi RM13.

Sekarang sudah ada bantuan. Adakah aku akan melabur dan menghadapi sekali lagi risiko modal tidak berbalas? Atau aku akan usaha untuk apa yang ada? (Tambahan pula pada malam semalam seseorang menghubungi aku untuk membeli karya ku. Cuma bayaran akan dibuat pada hujung minggu. Lagi beberapa hari lagi aku perlu bertahan dan aku terpaksa menyimpan sedikit wang-aku berhasrat mahu pindah pulang ke kampung, kos pengangkutan sangat tinggi perlu ditanggung.

Pada mulanya aku mahu pulang segera, tetapi malam tadi juga aku mendapat tempahan inai pada 5 November 2014. Aku merasa sangat kelakar kerana di saat aku mahu kembali semula ke kampung, segala punca rezeki muncul, cukup dan berjarak yang agak sesuai. Cuma aku perlu berhati-hati agar bajet aku tidak lari. Aku kini hanya akan bekerja seorang diri seperti melukis inai dan melukis doodle kerana keduanya murah, tidak perlu menyakiti orang lain dan fleksibel.

Aku boleh duduk di Shah Alam, asalkan aku tidak diganggu oleh tuntutan untuk aktif kerana aku tidak mampu untuk menampung hidup dan aktiviti-aktiviti aku. Kalau orang lain boleh pentingkan diri sendiri, aku pun boleh. Aku perlu tampung hidup aku juga. Kalau tuntut keaktifan aku, aku yang perlu lalui susah menanggung beban hutang, bukan orang lain. Orang lain mungkin bijak dan boleh untuk hidup dengan hanya kos yang kecil, tetapi tidak aku. 

Kalau mahu perli pun, perlilah. Susah aku, aku yang lalui, bukan orang yang berkata itu.

Wednesday, October 29, 2014

Dilanda kemiskinan dan tiada siapa percaya

Pada 5-10 hb Oktober yang lalu, aku ke Kemboja. Sebelum berangkat ke sana, aku menaruh harapan bahawa upah kerja aku sebagai pembantu pengurus projek akan masuk ke dalam akaun bankku.

Sebaik sahaja aku pulang, aku masih punya sedikit wang ringgit dan simpanan. Walaubagaimanapun, aku telah habiskan duit itu untuk suatu majlis dan aku terpaksa menebal muka meminta bantuan abah aku. Kemudian aku pulang ke kampung kerana sudah berjanji kepada mama aku.

Sebelum pulang ke kampung, aku ditimpa kemalangan dan sekali lagi duit digunakan. Apa yang aku sedih apabila aku memerlukan bantuan, aku tidak dilayan. Terdapat beberapa urusan lain lagi (menuntut ganti rugi tingkap kereta yang pecah dan membersih ruang kerja ) tetapi apakan daya, aku terpaksa meninggalkan pelbagai urusan kerana perlu mengejar jadual bas.

Aku terharu kerana esoknya, seorang kawan datang dari Puncak Alam membantu pembersihan ruang kerja. Aku lalui hari-hari di kampung dengan hati gusar. Tambahan aku bergaduh dengan orang yang aku harapkan sangat dan aku ditinggalkan di saat aku sangat memerlukan bantuan.

Sebaik sahaja kembali ke bandar Shah Alam, aku pulang dengan azam baru untuk memperbaiki taraf ekonomi aku. Upah aku masih senyap. Aku pun semakin malas nak bertanya khabar. Aku melakukan banyak eksperimen inai tetapi berakhir dengan kegagalan. Aku menanti kata-kata motivasi, terima kasih kepada yang memberi. Aku kecewa sekali lagi kerana orang yang aku harap lagi-lagi menyakitkan dengan tindak balas yang kurang memberansangkan kerana aku cuba untuk bertolak ansur. Itu pesanan ayah ku.

Aku cuba untuk menolong orang itu kerana dia kegusaran dan begitu banyak tugasan. Aku tidak mampu nak siapkan tugasan berkenaan, tapi aku cuba sedaya upaya untuk jadi peneman, membawanya ke mana sahaja, membawanya makan dan selagi yang mampu. Ketika itu, duit aku yang aku dapat dari ayah ku sangat tidak cukup kerana aku sedang usaha untuk menyokong orang lain. Tapi aku diamkan sahaja.

Kemudian duit aku semakin habis kerana membuat itu dan ini. Kos minyak dan makanan melambung. Sejak sebelum ke Kemboja, aku sudah mula makan ikan masin dan ikan bilis dan apabila malam, aku akan cuba dapatkan lauk bersayur (RM4 jika beli). Malu aku memakan beras teman serumah tanpa membayar sesen pun. Aku sumbang takat apa yang mampu.

Tertekan. Kemudian orang yang harap itu mengalami masalah, aku juga kerinduan maka aku layankan saja berpusing-pusing di bandar Shah Alam. Sedangkan minyak kereta di hampir kosong tangkinya. Hampir setiap hari bertemu dan aku merasa sangat marah dengan sendiri kerana aku gagal untuk mengawal perbelanjaan minyak. Ikan masin dan ikan bilis murah semakin sedap di lidah ini. Aku juga marah kerana aku gagal untuk tegas dengan orang yang aku rindu. Sejak dulu lagi aku gagal untuk tegas. Aku cuba tetapi akan berakhir dengan pergaduhan. Oleh itu, aku semakin tidak tegas.

Eksperimen inai telah aku hentikan. Aku fokus kepada lukisan aku. Dan orang yang aku harap pulang ke kampung meninggalkan aku seorang diri. Sempat aku hulurkan sesuatu.

Seperti biasa, perbuatan aku memakan diri. Aku takut dengan kemiskinan? Aku memang takut. Aku hampir mahu menjual komputer riba dan kamera aku (aku sudah pun menjual external hard disk ku pada pertengahan bulan yang lalu selepas diberhentikan kerja).

Kawan aku membawa aku ke suatu program. Aku tersangat malu kerana menumpang. Maka aku hulurkan juga RM5 untuk minyak, sedangkan program itu jauh jaraknya. Malu sungguh kerana aku tidak suka menyusahkan orang.

Aku terbeban lagi hari-hari di Shah Alam. Aku sudah beberapa hari tidak menambahkan kredit telefon aku. Aku tidak keluar rumah kerana takut tidak punya wang untuk makan. Tapi aku disindir. Aku terkilan kerana disindir pemalas. Aku sudah berjaya siapkan beberapa artwork. Aku produktif kepada sesuatu benda yang aku suka. Aku memang tidak pasti apa pekerjaan yang sesuai untuk aku. (BLS, reti melukis dan reti sikit-sikit mengajar? Aku tak tahu!) Aku hanya berdiam diri. Aku cuba mengadu. Tapi orang yang aku harap, di saat aku mengharapkan sokongan, boleh pula pilih untuk bergaduh. Tak fahamlah! Tinggalkan aku dalam kesusahan lagi! Aku tak minta duit pun. Aku mahu hanya mahu orang sudi mendengar dan memberi semangat.

Lagi sedih, orang tak percaya aku tak ada duit! Bengang gila! Aku nak mencarut boleh?
Aku nak sokongan emosi pun tak dapat! Aku kecewa. Aku rasa lemah dan aku taknak pergi pada orang lain dah! Kalian ingat aku buat lawak bila aku cakap aku tiada duit? Kecewa!

Bantuan yang sampai? Kawan bertanya pasal nak tak ambil upah mengajar. Aku OK je, nak duit advance? Tolonglah! Aku tiada modal walaupun untuk cari kerja. Kalau ikut janji upah, aku boleh dapat dalam tangan hampir RM1000.

Kecewa. Penipu! Selepas ini, tak akan aku ambil kerja selagi tiada kontrak! Aku juga belajar, jangan percaya orang yang selalu tinggal kita dalam kesusahan

Popular Posts