Sunday, April 27, 2014

Pekerjaan baru: Guru Tadika

Daripada seorang pelajar jurusan undang-undang UITM, kini saya menjadi seorang guru tadika.
Siapa sangka saya akan bekerja di sebuah tadika.

Ingin bercakap soal rezeki yang secara jujurnya saya sering kali keliru dengan aturan Tuhan yang penuh misteri. Kadang-kadang ada perasaan marah pada Tuhan sehingga diberi amaran oleh beberapa orang manusia kerana menyoalkan aturan Tuhan. Saya manusia yang Tuhan jadikan beremosi dan boleh berfikir.

Saya punya pelbagai soalan dan saya tersangat ingin tahu jawapannya. Saya mahukan jawapan yang meyakinkan. Kenapa Tuhan ku, kenapa Kau letakkan aku di sini? Di masyarakat ini? Di bumi ini? Kenapa orang itu dapat begitu dan aku dapat begini? Apa kurangnya aku sedangkan usaha aku sama atau lebih dari orang itu? Atau apa kekurangan aku kali ini sehingga aku diletakkan di sini? Kalau aku perbaiki, adakah aku akan dapat sama seperti orang itu? Kau letak aku di sini, apa tujuan Kau sebenarnya? Adakah aku suatu medium? Kenapa Kau bagi aku rasa resah dan begitu teruji kesabaran aku dengan betapa jauhnya aku untuk mencapai matlamat aku? Kenapa begitu mudah bagi orang lain, begitu payah bagi aku? Dan pelbagai lagi soalan yang orang lain akan jawab semua tertunding pada aku dan aku sendiri terus menyalahkan diri aku, seperti dilakukan oleh orang lain yang berprasangka baik pada Tuhan.

Masih aku ingat ketika aku tangkap gambar ini dan meluangkan begitu banyak masa mengubahsuai sehingga ini hasilnya, aku ingat aku ini ada bakat jadi fotografer. Kini aku ketawa mengenangkan keanak-anakannya aku, penuh dengan angan-angan, cita-cita dan harapan. :)
Saya juga ingin bekerja di tempat yang sesuai dengan kelulusan saya dan mengikut norma masyarakat: bekerja, dapat gaji, kumpul duit, berkahwin dan sebagainya. Saya di dalam masyarakat yang normanya "Banyak duit, baru OK!"
Sekarang saya di sini, maka saya pandang keliling saya dengan perasaan yang keliru. Saya mengenangkan pelbagai permohonan pekerjaan yang sudah saya hantar ke merata tempat dengan harapan saya akan dapat kerja yang sesuai, iaitu di pejabat, bukan di tadika.

Tapi rezeki saya di tadika. Gajinya bukan seperti tadika lain, syukur! Tetapi saya masih dalam kekeliruan. Terkedek-kedek saya mempelajari teknik Montessori yang sudah diubahsuai oleh majikan saya agar bersesuaian dengan masyakat di bumi Shah Alam. Saya terus belajar dan menerima sahaja aturan hidup ini.

Saya akui saya dahulu ialah seorang ahli sukarelawan yang mengajar anak-anak kelas tuisyen dan saya pernah bercita-cita untuk menjadi seorang guru matematik tetapi tidak kesampaian. Uniknya, saya ditakdirkan Tuhan untuk belajar undang-undang, punya obsesi kepada bidang falsafah dan sastera dan kini mengajar anak-anak berusia 4 tahun.

Ke mana agaknya selepas ini saya akan dibawa Tuhan? Perjalanan hidup ini saya harungi jua kerana ini jalan menuju Tuhan.

Seperti di dalam sebuah buku bertajuk Azazeel yang diterjemah oleh Youssef Ziedan daripada manuskrip yang dijumpainya di bumi Syria, saya ibaratkan diri saya seperti sami Kristian di dalam buku berkenaan yang mengembara keluar dari Egypt dalam mencari ilmu perubatan dan ditemukan dengan pelbagai ujian menguji kepercayaan saya, merasa keindahan rohaniah atas nama Tuhan dan merasa juga keindahan dan keenakan dunia yang asing dan mencalit dosa.

Sami ini bernama Hypa ditunjukkan kepadanya kekejaman manusia yang memeluk agama Kristian sepertinya tetapi begitu ekstrimis, membunuh secara seksaan dan pembakaran seorang ahli falsafah yang menyeru hentikan diskriminasi agama, tetapi Hypa tidak dapat berbuat apa-apa dan terkedu. Di suatu peristiwa berdarah dia bertanya bagaimana Tuhan yang Maha Berkuasa boleh membiarkan ketidakadilan dan kekejaman berlaku begitu sahaja? Mana Malaikat dan Iblis? Apa mereka sedang lakukan? Dia seorang sami yang merasa nikmat seks ketika dia sedang menyamar sebagai orang kebanyakan, dia keliru dalam diperkenalkan rasa yang lain itu. Trauma hebat dalam hidupnya dan dia merasa dosa, namun masih terkenangkan nikmat pelukan hangat dan kasih sayang Octavia seorang gadis beragama pagan. Hilang kasih sayang itu apabila dia mengakui identitinya sebagai seorang sami. Di akhir cerita, dia kali itu jatuh cinta yang teramat sehingga pening dengan identitinya sebagai seorang sami dan apa yang patut dilakukannya, lari ke Egypt bersama Martha atau bagaimana? Ketika dikejutkan dengan berita pinangan seorang askar Rom kepada Martha dan kemungkinan Martha akan pindah keluar dari kampung tempatnya berkhidmat sebagai ahli perubatan, dia jatuh sakit selamat 20 hari tidak bangun-bangun. Bangunnya sahaja, Martha sudah pergi dan pelbagai berita buruk kedengaran di telinganya.

Lihat! Betapa kelirunya Hypa! Tuhan, dunia dan fitrah! Ditambah cinta dan pelbagai isu lain!
Tapi Hypa teruskan hidupnya dengan kepercayaan kepada Tuhannya tanpa henti. Begitu juga aku. Misteri tentang aturan Tuhan tidak akan terungkai sampai bila-bila agaknya, seperti Hypa, aku akan lalui hidup ini dengan harapan ketenangan akan ku genggam walau badai menolak aku ke kiri dan ke kanan. Jika ini yang Tuhan aku mahu, hidup aku ialah untuknya.

No comments:

Post a Comment

Popular Posts