Sunday, April 27, 2014

Apa di fikiran mu?

Pernah aku terbaca suatu kata-kata yang menyatakan bahawa jika mahu tahu apa yang paling anda suka fikirkan atau apa yang sering bermain di fikiran anda ialah dengan menunggu ketika minda anda bebas merayap. Ke zon mana minda anda sering merayap. Teringat Tuhan? Teringat masalah wang ringgit atau sebagainya....

Dari situ kita boleh nampak prioriti pemikiran diri kita.
Sudah menjadi kebiasaan diri untuk berfikir tentang perkara berkenaan, seolah-olah cuba menyelesaikan suatu permasalahan yang tidak selesai-selesai dan bermain sahaja ia di fikiran kita.

Pada pendapat saya ada baik dan ada buruknya.
Baiknya mungkin kita akan menjana idea untuk melalui permasalahan berkenaan, di mana saya cadangkan kita gunakan perkataan cabaran bagi menggantikan perkataan permasalahan.
Cabaran itu kita fikir ulang-ulang kali ketika kita lapang untuk diselesaikan.
Contohnya cabaran dalam mengikuti bajet bulanan. Mungkin ketika memandu kenderaan dan kita tiba di kesesakan jalan lintas. Tiba-tiba terfikir tentang kenaikan kos hidup dan cabaran besar mengatur bajet. Ketika inilah pelbagai idea muncul seperti menaiki kenderaan awam, berjimat cermat makanan, dan lain-lain lagi.

Keburukannya ialah kadang-kadang apabila kita berfikir secara melampau, kita mula membentuk tanggapan negatif dan tafsiran sendiri yang tidak benar. Sewajarnya kita berfikir dengan informasi yang betul dan jika tidak tahu, kita bertanya. Isu baru boleh timbul jika kita mula membuat tafsiran baru dalam cuba meneka pemikiran orang lain.
Contoh pergaduhan dengan ibu bapa kita. Sebagai seorang anak yang paling rapat dengan ibu bapanya, kemungkinan isu perbalahan itu akan bermain di fikirannya sehingga dia merasa ibu bapanya menyampah dengan dirinya dan dia mula menjauhkan diri, tidak lagi balik kampung sekerap yang selalu. Sebalik dalam diam, ibu bapanya sebenarnya sudah memaafkan si anak dan menantikan panggilan telefon dari anak. Walau bagaimanapun si anak terus menyepi dengan tafsiran dia anak terbuang.


Dengan mengetahui apa yang menjadi prioriti di fikiran anda, anda akan lebih mengenali siapa diri anda. Adakah anda seorang yang romantis dan sering mengenangkan buah hati anda? Adakah anda seorang aktivis yang sering memikirkan kemaslahatan ummah dan cara melalui cabaran kehidupan? Adakah anda seorang yang pentingkan hubungan kekeluargaan ataupun kawan-kawan?
Pernah di suatu ketika saya sangat suka mengembara dan berkelana. Sehinggakan setiap hari saya akan fikir bagaimana untuk keluar dari Malaysia melihat dunia. Perlahan-lahan pelbagai rezeki datang membawa saya ke Indonesia, Singapura dan Kemboja. Saya bukan orang yang senang dan berduit. Maka keghairahan untuk melihat dunia sangatlah menghantui saya. Kini saya sudah bekerja, prioriti untuk mengembara semakin berkurang memikirkan hutang PTPTN dan mahu menyimpan untuk perkara yang lain. Ini satu cabaran. Semoga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki untuk terus meneroka alam!

No comments:

Post a Comment