Tuesday, February 25, 2014

Kritikan Penerbitan Buku Indie: Wajar Atau Tidak Wajar?




Sebelum aku menjawab wajar atau tidak, aku ingin nyatakan di sini bahawa aku tidak berpihak kepada penerbitan buku indie, pengkritik mahupun arus sastera utama di Malaysia. Aku baca buku sastera yang 'halus', buku indie dan apa-apa sahaja jenis buku termasuklah yang diterbitkan Alaf 21.

Maka ini pendapat aku:

Biarkan pelbagai penulisan menghiasi zaman. Biar cacat cela, tidak bertulis cantik, penuh kesilapan tatabahasa dan sebagainya!
Memupuk cintakan ilmu dan membaca.
Bagi aku, sesuatu idea lebih baik ditulis daripada dicakap dengan mulut. Suatu hari nanti generasi akan datang akan mengkaji generasi kita dan akan dapat tahu bagaimana kehidupan generasi kita. Apa yang kita minum, sarung pakai kita, kemarahan kita, buah fikiran, perkembangan imaginasi generasi kita dan sebagainya. Bagi aku tiada buku yang tiada nilai walaupun syok sendiri.

Aku sangat tak suka siri novel romantis Twilight Saga. Aku pengkutuk tegar siri ini. Novel ini lagilah syok sendiri dan aku banyak kali cakap, "Buku ini seperti perempuan terdesak (dambakan cinta) yang sedang datang bulan, membayangkan cinta pengembaraan dan pengakhiran yang sempurna."
Tapi aku juga belajar banyak seperti 'Jangan jadi seperti Bella Swan."
Aku mula mendefinisikan cinta aku dan semestinya aku menolak cinta Bella Swan. Mungkin kerana aku seorang Islam dan sayang pada ibu bapa aku. Aku yakin aku lebih mahukan ibu bapa aku lebih daripada seorang lelaki yang aku kenal dalam kelas di sekolah ku.
Dan semestinya cerita itu mengingatkan aku realiti kehidupan bukan hanya kisah cinta yang utama.
Bacalah! Walaupun sekadar komik.
Banyak benda yang aku perjuangkan selain cinta antara lelaki dan perempuan.

Kembali pada buku indie, bagi aku, setiap buku ada cerita yang ingin disampaikan walaupun ada unsur lucah sekalipun. Karya sastera Inggeris turut mempunyai unsur liberal tetapi tiada apa masalahnya. Ia adalah catatan, sebuah cerita.
Aku teringat lagi catatan Pak Samad Said di muka surat awal karyanya berjudul Salina, dia hanya bercerita dan tidak bermaksud apa-apa. Dari ceritanya, banyak yang aku belajar betapa sehina mana manusia ada baik di hatinya dan dalam kehinaan itu, kadang-kadang lebih mulia dari yang kononnya putih bersih dan suci.
Aku belajar jangan cepat menghakimi orang.
Banyak juga aku belajar dari dari buku-buku Indie seperti karya Zul Fikri Zamir berjudul Sekolah Bukan Penjara, Universiti Kilang.
Aku turut membaca Awek Chuck Taylor oleh Nami. Aku sangat tak suka dengan isi kandungnya tetapi aku rasa rakyat perlu tahu wujudnya manusia seperti Nami.
Aku mengutuk habis-habisan karya itu kerana bagi aku adakah wajar seorang intelektual berperangai seperti dalam buku berkenaan? Pseudo intelektual? Mungkin! Dari situ aku belajar betapa hebatnya seorang perempuan membaca tetapi kadang-kala ada ilmu tiada adab pun bermasalah juga.
Sekali lagi aku ingatkan, Nami ialah juga seorang pencerita. Kita sebagai pembaca perlu berfikir sendiri baik buruknya. Ruang berfikir sudah diberi, gunakan.
Maka walaupun aku mengutuk buku Awek Chuck Taylor yang menimbulkan kejengkelan tak terhingga dalam diri aku, aku kata bacalah! Aku tak kisah dan aku tak akan sekat. Mari kita bincang apa yang engkau dapat dari buku itu. Rakyat perlu fikir dan berdiskusi!

Di dalam buku indie tercatit bagian realiti kehidupan lain yang tidak dirakamkan oleh buku-buku sastera aliran utama. Penulis-penulis indie dibesarkan dari perspektif kehidupan yang berbeza dan wajar didengarkan.
Apalah salah nya dua aliran ini terus wujud bersama mewarnai dunia ini?
Kalau nak tahu apa generasi ini fikir, bacalah apa yang mereka tulis. Ini adalah hasil pendidikan dan masyarakat Malaysia di dunia pasca kemodenan. Warna-warna kehidupan yang kita kena baca dan kita kena tahu.

Sebagai pembaca, kedua aliran ini membentuk pemikiran saya.  Bagi saya, tiada masalah dengan kewujudan buku indie yang kononnya potret syok sendiri. Saya baca dan saya fikir. Kedua aliran memberikan sesuatu kepada saya dan pembaca-pembaca yang lain.

 Antara perkara yang paling saya suka tentang membaca ialah pabila selepas habis satu buku saya diberi peluang untuk berfikir tentang kandungan buku tersebut. Pelbagai konklusi yang dapat saya buatkan dengan sendirinya dan diperbaiki dengan diskusi-diskusi bersama teman. Mereka juga membuat konklusi mereka sendiri. Walaupun kami berlainan pendapat tetapi kami saling menerima. Menerima perbezaan ini saya belajar dari diskusi kumpulan-kumpulan pemikiran yang menggalakkan membaca.
Dari mana tercetusnya idea untuk mencari mreka yang berfikir ini? Dari buku-buku sastera terbitan DBP, IKBN, dan lain-lain yang membuat saya terus dahaga mengkaji perkembangan peradaban manusia sehingga tekad mempelajari bahasa Inggeris.

Dari sekolah kerajaan yang sudah ditentukan silibusnya, saya disuruh membaca oleh guru-guru dan dahaganya saya sehingga saya keluar dari silibus-silibus robotitk. Waktu-waktu rehat di sekolah saya habiskan dengan membaca sastera klasik bahasa Inggeris kerana disuruh oleh buku-buku karya bahasa melayu. Dari satu buku, saya lompatkan ke buku yang lain yang berlainan bahasa, terbitan dan genre. Apa salahnya?

Membaca ialah proses pembelaran yang
sangat penting dalam membentuk sebuah
otak yang sihat
Segalanya yang negatif dan positif mengimbangi dunia. Membaca memberi saya kebebasan. Dengan mengawal dan menyekat bahan bacaan kerana ia syok sendiri, lucah atau liberal, adalah seperti Nazi yang membakar buku-buku kerana takutkan rakyat berfikir. Mematikan pemikiran dan tidak boleh saya terima perbuatan menapis bahan bacaan saya.

Walau bagaimanapun pengkritik sekadar pengkritik, dan penerbitan buku indie wajar dikritik untuk penambahbaikan bukan untuk diketepikan atau dilingkupkan. Kritik ini tidak menghalang kita membaca, sekadar mempersoalkan hasil penerbitan ini dalam memperbaiki kualiti mentaliti rakyat Malaysia terutamanya generasi muda kini. Sekali lagi saya tegaskan setiap bahan bacaan ada nilainya dan teruskan membaca walaupun ianya hanya layak dibawa ke jamban seperti Harian Metro atau blog-blog busuk memfitnah manusia.

Wassalam.







No comments:

Post a Comment

Popular Posts