Tuesday, February 25, 2014

Cinta 101: Pelbagai Karenah Mencari Cinta, Nasihat untuk para Gadis

Terdapat karenah dalam mencari cinta dan yang sering kecundang dan menitis air mata selalunya ialah perempuan kerana mereka gelojoh dan mudah jatuh cinta -pendapat aku, kawan-kawan dan bapa aku.



Sistem dalam Islam setakat yang aku kaji, memang sesuai dengan fitrah kerana ia memelihara hati seorang perempuan dan sangat jelas dalam menampakkan kesediaan lelaki untuk bercinta atau berumah tangga. Jika mengikut cara Islam, lebih jelas tanda-tanda kesediaan pada lelaki dari sudut perbuatan jika dibandingkan dengan cara 'berkenalan terlebih dahulu, berteman, kemudian bila rasa boleh terima, baru lah ke arah perkahwinan-baru kumpul duit dan usaha ke arah perkahwinan- kalau tak suka, putus sahaja.' Cara kedua lebih memakan masa, tiada kepastian dan kemungkinan ke jinjang pelamin ialah 50%-50%.

Cara Islam secara ringkas yang aku faham

  • Berkenan? Risik calon dengan bantuan keluarga/saudara/ kawan kerana kita ketika ini mungkin mudah angau atau nampak segalanya baik-baik belaka. Perkara yang perlu dirisik ialah maklumat peribadi, status, bagaimana orangnya (ketika berurusan seperti kewangan, hubungan dengan keluarga, agamanya, kawan-kawannya dan apa-apa yang berkaitan)
  • Ambil masa dan kaji hasil risikan. Jika suka, lakukan istikharah dan usaha ke arah perkahwinan. Mula berbincang dengan keluarga.
  • Dapat lampu hijau? Jumpa sesama keluarga. Jangan lupa juga memberitahu calon sebelum datang meredah. Tapi ada juga yang terus jumpa mak ayah calon, kemudian mak ayah calon yang tanya calon itu. Mana-mana pun boleh mungkin..
  • Ke arah perkahwinan. Tahniah jika berjaya. Sebelum nak akad tu, kenalah jaga perhubungan. Yang gagal, cuba lagi.

Cara dalam norma masyarakat kita
Hidup ini suatu proses berjalan
ke arah Tuhan. 

  • Berkenan? Berkenalan dulu. Mengorat terus.
  • Berkawan dan berperasaan sesama keduanya jika berjaya didekati. Jika gagal didekati, usaha lagi atau cari calon baru.
  • Kemudian berkenalan dalam tempoh yang lama, di mana keduanya masih cuba membuat keputusan sama ada perhubungan itu akan berakhir dengan perkahwinan atau tidak. Perempuan selalunya paling teruja dan nak kahwin- cinta sampai mati walaupun sebenarnya dia tak beberapa suka dengan peribadi lelaki itu. Ada juga perempuan di zaman moden ni, mula tak nak berkahwin, mengejar cita-cita atau nak cari duit dulu. Tempoh yang panjang berkenalan memberi dia masa untuk menilai pasangannya dan jika dia tak suka dengan pasangannya, dia akan minta putus. Jika dia ok, dia akan minta lelaki itu tunggu. Lelaki pula setakat ini ramai yang aku jumpa bila dah tak suka, dia akan mencari calon baru atau sanggup tidak kahwin sehingga jumpa calon yang sesuai. Kalau dia suka, dia tunggu mampu dan akan berkahwin. 
  • Jika gagal, mungkin akan rasa kekecewaan yang teruk kerana sudah banyak pelaburan dan terkesan keyakinan diri kerana ditinggalkan atau diputuskan. Jika berjaya, akan berkahwin akhirnya. 

Walau bagaimanapun dengan kedua cara ini, saya tidak dapat menjamin kebahagian pasangan. Sama ada islamik atau tidak islamik, kedua-duanya ada rekod penceraian. Semua terletak pada diri masing-masing. Tambahan lagi, bukan semua orang melalui jalan yang sama seperti melangkah ke alam cinta mengikut garis panduan islam. Kadang-kala, lain laluan yang sudah ditentu Tuhan.

 Nasihat yang saya berikan hanya sekadar penambahan idea dan boleh ditolak atau diguna pakai selagi boleh.

Nasihat saya untuk para gadis yang mencari cinta:
Hadirilah pelbagai majlis ilmu
jika anda mahukan lelaki yang
berilmu. Penuhi diri anda dengan
ilmu, dan yang anda inginkan
itu akan datang kemudian.
Datang kerana ilmu.
Jangan datang sebab nak mengorat
pula!
  1. Jika seseorang lelaki berbaik dengan kamu, bukan semestinya dia suka dan mahu memperisterikan anda. Selalunya dia sedang menjadi seorang sahabat yang budiman kepada seorang gadis. Jangan gelojoh dan jangan fikir bukan-bukan. Jika dia benar suka, dia akan memberitahu dan berusaha menjadikan kamu sesuatu dalam hidupnya
  2. Jangan terhegeh-hegeh atau terdesak. Cinta datang bila tiba masanya walaupun anda kesuntukan masa-faktor umur menyebabkan perempuan sangat terkejar-kejar. Jangan kerana kesunyian kita sanggup mengejar seorang lelaki yang tidak punya langsung perasaan pada kita atau dia sebenarnya menganggap kita kawan. Jika benar ada cinta, dari persahabatan pastinya ia akan bertukar menjadi perhubungan cinta. Jangan peningkan lelaki berkenaan dengan dilema dan kejanggalan dengan perangai kita yang mengharap cinta yang tak akan datang. Dia kemungkinan enggan kehilangan kawan dan pening memikirkan cara untuk tidak menyakitkan hati anda dengan hakikat dia tidak punya perasaan kepada anda.
  3. Ketahui diri anda dan lelaki jenis apa yang anda mahu. Bertegas dengan kemahuan itu. Paling ramai saya jumpa gadis yang gemar lelaki berpendidikan/lelaki yang baik tetapi kerana terdesak dan pada saat itu lelaki yang kurang berkualiti yang ada, dia terus melayan sahaja dan akhirnya jatuh cinta. Kemudian menyesal di kemudian hari. Hentikan perbuatan ini. Selain itu, jika anda mahukan lelaki yang baik, cinta dan perkahwinan yang bagus, mulakan dengan diri sendiri terlebih dahulu.
  4. Jangan cepat jatuh cinta! Apabila sudah jatuh cinta, kentut busuk pun jadi wangi. Perangai kurang senonoh pun sanggup diterima. Jangan cepat buta! Bahayanya angau membutakan ramai orang.
  5. Bertenang dan ambil masa.
  6. JUJUR. Kalau suka pada seseorang, cakap. Kalau dia tolak, terima dan teruskan hidup. Berkawan dengan orang itu. Jangan putus kawan hanya kerana ditolak. Dia tak main perasaan anda dan anda tak main dengan perasaan dia. Dengan kejujuran, lebih terus dan menolak segala ketidakpastian maka lebih cepat anda 'move on'. Kalau anda simpan perasaan, mungkin dia juga dalam dilema walaupun dia sukakan anda. Ambil risiko jika sanggup, tapi ambil masa juga sebelum nak meluah isi hati, cuba bagi klu atau petanda tentang rasa isi hati secara halus. Ambil masa anda, jika positif hasil petanda atau ujian, barulah cuba meluah isi hati. Jika ditolak, jangan bersedih atau marah. Teruskan berkawan dan cari calon lain.
  7. Sayang diri anda! Terdapat mereka yang mengharapkan orang lain menyayangi diri mereka. Mereka mendambakan perhatian dan kasih sayang orang lain. Bergantung pada manusia lain. Kenapa tidak menyayangi diri sendiri terlebih dahulu? Hormati diri sendiri? Kadang-kadang apabila kita terlalu dahagakan perhatian orang lain, kita akan merasakan kita paling terabai sekali.
  8. Cuba memahami lelaki dan fahami juga cinta dengan buku-buku di pasaran, bertanya pada keluarga dan kawan-kawan dan sebagainya cara untuk ketahui cinta. Bapa saya sangat tegas dengan menyatakan nak tahu lelaki itu mahu atau tidak ialah kesanggupan lelaki itu untuk berjumpa bapanya dan meminta anak perempuannya untuk diperisterikan. Kalau jumpa sekadar nak berkenalan, ada peratus ketidakpastian. Pada pemerhatian saya, terdapat kawan lelaki saya yang sangat berhati-hati tentang cinta dan berjumpa dengan keluarga teman wanitanya. Walaupun masih belum dia meminta untuk memperisterikan pada awal pertemuan, bapa si perempuan memberi peluang kerana si lelaki seperti lelaki yang boleh dipercayai, bermoral dan berpendidikan. Akhirnya mereka berkahwin setelah si lelaki mendapat pekerajaan yang stabil. Sepanjang perhubungan sebelum berkahwin, lelaki itu menampakkan perangai yang boleh diterima keluarga si perempuan dan sentiasa berbaik-baik dengan mereka. Pandangan-pandangan ini penting dalam membantu anda membuat keputusan.

Setakat ini sahaja 8 nasihat yang saya mampu fikirkan untuk dikongsi bersama. Saya gadis yang sangat terus dan suka ambil risiko tetapi mengambil masa dalam meluah isi hati. Pernah ditolak dan menjadi gagalis cinta tetapi saya masih berkawan dengan mereka yang menolak. Tiada apa yang hendak dimalukan. 

Manusia cenderung melakukan kesilapan. 
Sebelum meluahkan isi hati di Facebook atau di Twitter tentang kesukaan, ada baiknya jika bertanya pada tuan badannya terlebih dahulu.
Saya pernah juga dilamun kesukaan di laman sosial dan merasa seperti memalukan diri sendiri. Mujur tidak pernah dinyatakan empunya nama kesukaan saya pada ketika itu.
Sejak itu saya mengambil langkah berjaga-jaga kerana saya sayang pada diri saya.

Masa mematangkan kita, dah buat sekali, jangan buat lagi. Teruskan sahaja kehidupan dan jadilah yang lebih baik dari diri kita yang semalam.

Wassalam!


Bila usaha membuahkan hasil yang kita mahukan, indahnya dunia! Tetapi jangan lupa hayati proses itu. Kerana dari proses, banyak yang boleh kita pelajari.


No comments:

Post a Comment

Popular Posts