Thursday, February 27, 2014

Buta Politik dan Membutakan Diri Dari Sebarang 'Politik'


Gambar ini begitu mudah sekali merumuskan segalanya tentang Buta Politik!
Saya berani megakui gambar di atas kerana saya pernah menjadi seorang yang sangat buta politik malah berbangga dengan kebutaan saya. Saya cakap politik sangat kotor dan malas nak ambil tahu. Saya juga pernah enggan mengundi. Langsung tiada usaha dari saya sebagai rakyat yang terkesan dari gelombang politik di Malaysia untuk membersihkan politik.

Saya masih ingat tiga tahun lalu saya baru sahaja menjejakkan kaki ke bumi UiTM kampus Shah Alam, masih mudah dan masih segar. Kononnya berani menjelajah kehidupan mengikuti kawan-kawan ke pusat membeli belah. Terasa bosan ke sana tetapi itulah kehidupan. Terasa hidup ini begitu ada kelas sekali dengan berpakaian berjenama dan mengisi perut dengan makanan mahal-mahal. Sehinggalah ditegur oleh bapa aku mengingatkan siapa aku.

Aku sangat jauh dari politik, enggan membaca surat khabar dengan sengaja, dengar sahaja dari mulut kawan-kawan keliling atau pun pensyarah. Sehinggakan semakin panas nama 'Najib' dan 'Rosmah' didengarkan merata. Kemudian aku menyertai aktiviti di Universiti yang memerlukan aku mencari wang sumbangan dan aku berjaya mendekati ketua puteri sebuah parti cawangan Shah Alam. Ketika aku berbual dengannya aku mengalami begitu banyak tempoh kejanggalan kerana begitu banyak tentang Melayu dan ketuanan Melayu. Aku memang seorang pelajar undang-undang dan dikehendaki mempelajari dikriminasi positif ini, walaubagaimanapun apabila berada di dunia realiti, aku terasa terguris hati dan mula berfikir, "Kesian manusia bermata sepet atau berkulit gelap sedikit. Tidak selamat mereka di bumi tempat mereka lahir kerana nenek moyang mereka atau bangsa mereka bukan Melayu."

Masuk pula aku ke kelas Undang-Undang Dan Falsafah, di mana tiba-tiba aku kata aku memahami kenapa Hindraf marah, lahir di sini tetapi mereka rasakan penindasan. Aku di'hentam lembut' oleh kawan-kawan sekelas dengan bertanya apa lagi mereka mahukan dan menekan perbezaan bangsa. Tetapi aku dalam diri asyik membilang bahawa mereka tetap manusia.

Pelbagai penindasan perkauman aku saksikan. Kemudian penindasan kepada kelas pertengahan dan bawah dengan kenaikan harga dan sebagainya.
Ketika aku berusia 18 tahun, aku masih teringat sebuah buku seorang kapitalis mengucapkan bahawa sebuah negara yang mempunyai ekonomi yang stabil ialah negara yang mempunyai cukai yang rendah kerana hasil negara sudah cukup untuk menjana perkembangan negara, kenapa perlu lagi duit rakyat. Sesudah menginjak usia 20-an, diiyakan kenyataan ini oleh aktivis-aktivis yang dimunculkan dalam kehidupan aku.

Mula aku belajar, segala harga semuanya mainan politik. Nak makan pun ada mainan politik. Mengamuk besar aku apabila harga segelas barli di Restoran Ayza di Alam Avenue 2, Shah Alam berharga RM2. Sekampit gula walaupun harga semakin naik masih menghasilkan berpuluh minuman dan jika dibahagikan kosnya ke setiap gelas hanya akan jadi naik maksimum 20 atau 30 sen. Sedangkan barli tersangatlah murah tambahan jika dibeli secara borong. Harga gas merebus barli? Kenapa kedai lain tidak mencecah RM2 sedangkan mereka pun merebus barli juga?

Semakin hari aku semakin geram dan enggan jadi buta politk. Tapi aku fikir mengapa aku pilih untuk menjadi buta pada awalnya dan mengapa orang dikeliling aku masih buta atau memilih untuk menjadi buta?

Ada beberapa sebab berdasarkan dapatan aku mengapa ramai memilih untuk menjadi buta politik:


  1. Selesa! Terdapat di antara mereka yang gaji sudah besar maka terasa tempias sahaja. Tak nampak kesusahan orang lain dan menampakkan bagusnya BR1M membantu sebab jarang mereka kira kos asas untuk hidup di bandar. Kata mereka orang miskin malas berusaha. Aku tidaklah miskin tetapi aku masih ingat aku bekerja sampingan di kedai photostat mencari duit lebih, sedangkan kawan-kawan aku berada di pusat membeli belah atau sedang duduk berehat di rumah kerana mereka tak perlu cari duit lebih, rezeki mereka duit sudah tersedia. Nak kata malas, aku dah berusaha, maka bagaimana nak kata orang miskin malas? Kerja teruk hasilnya sikit, nak belajar tinggi-tinggi pun tak mampu. Selesa membuta mata!
  2. Terlalu banyak berita kebodohan ahli politik dan kami tak boleh buat apa-apa. Jujur ramai yang geram dan bengang dengan kebodohan ahli politik. Dan kami marah dengan polisi yang berat sebelah dan pentingkan diri tetapi suara kami tidak kedengaran. Ahli politik wakil kami tapi tidak bercakap dengan kami. Mungkin kami tidak tahu mana saluran nak menyuarakan suara kami, tetapi saluran yang sedia ada pun tidak cukup promosi. Setiap aduan yang keluar di televisyen terutama TV3 semuanya berunsur memburukkan parti antara satu sama lain. Kelakar! Dipergunakan pula selepas mengadu, yang bekerjasama pun bodoh juga sebab rela diri dipergunakan. Aduan sebenarnya bertujuan dia untuk penambahbaikan bukan mengira dosa orang lain. Aku ada banyak aduan tak kiralah untuk apa kerajaan sekali pun! 
  3. Penat dan malas sebab banyak sangat drama yang tak perlu dan tak tahu hak! Edukasi dan kesedaran yang sangat kurang.
  4. Termakan dengan informasi arus media massa utama dan tidak membuat pencarian lebih lanjut. Banyak sangat menonton TV3, baca Berita Harian dan Utusan serta rajin buka Facebook. Yang pembangkang pun sama sibuk baca Harakah dan sebagainya. Cubalah tutup telinga baca tentang ekonomi, hak asasi, apa maksud adil, apakah ciri-ciri kerajaan yang bagus dan sebagainya sebelum memilih yang mana satu akan membawa kebaikan kepada rakyat sebenarnya. Ini asyik menghadam Facebook dan bahan bacaan yang berat sebelah. Malas sungguh hendak mencari informasi tambahan. Paling kelakar apabila ada budak cakap "Baguslah harga barang mahal! Itu tanda Malaysia maju!" Kalau aku mak dia, malang betul nasib dia. Umur dah 21 dan dah masuk universiti tetapi melontarkan kata-kata berkenaan. Kalau aku mampu mahu aku hantar budak berkenaan duduk Kemboja baru kau akan terkejut betapa mahalnya barang, betapa kerjaan mereka tidak berfungsi dengan baik dan kau rasakan nikmat kesusahan. BR1M membantu? Ini lagi nak menitik air mata. Aku duduk di Shah Alam sehari makan minimum RM12(sehari 2 kali makan) maka sebulan dah RM360. Sewa bilik mujur sahaja dapat RM125 tapi kena bayar bil dan kos minyak lagi. Aku pernah jalan kaki dari Ken Rimba ke UiTM Shah Alam-40 minit perjalanan dan polis bantuan yang menyapa ucapan selamat sendiri tidak percaya aku tak berduit. Secara total perbelanjaan aku sebulan kira-kira RM900-1000 termasuk bil dan sebagainya sebagai seorang pelajar. Ini pun pernah juga mandi pakai sabun orang sebab tak berduit. 

4 sebab-sebab ini sahaja yang paling aku kerap perhatikan di kalangan rakyat Malaysia dan terdapat pada diri aku juga. Mungkin ada lebih lagi sebab tetapi kelemahan aku untuk nampak apakah lagi sebabnya. Aku jujur yang juga baru nak mencelikkan mata kerana dulu aku penat, malas dan sangat selesa. Aku tutup mata dengan kesusahan orang yang membanting tulang tapi tak juga mampu menanggung anak sendiri. Sehingga ada anak yang mencuri sebab teringin nak baju baru. Semakin aku duduk dekat flat di Ken Rimba ini, semakin aku nampak kitaran hidup orang susah dan miskin yang bergaji tak cecah RM1300 pun.

Aku mengharap pos kali ini memberi kesan kepada yang sudi membacanya. Bukalah mata dan nampakkan realiti sebenar kehidupan. Jika anda terlalu selesa dan tidak susah hati, masih jauh dari realiti sebenarnya.


3 comments:

  1. bagus penulisan. eh boleh folow ke blog neh?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hai! maaf lambat balas. kesibukan. sila-sila... boleh je.

      Delete
    2. saya pun tak pasti kat mana butang nya. hehehe sorry.

      Delete