Friday, February 14, 2014

Buku Jalanan Shah Alam ke 47 Apa itu Pusat Sekitar Seni di Padang Jawa, Shah Alam pada 8.2.2014


            Pada 8hb Februari 2014, pustakawan-pustakawan Buku Jalanan Shah Alam telah mengadakan suatu slot memperkenalkan Pusat Sekitar Seni yang terletak di Padang Jawa, Shah Alam. Selain itu terdapat persembahan akustik Fraud Dispute Escapade menghiburkan para hadirin yang datang, diikuti dengan semua dibawa bersiar-siar melihat kawasan perkampungan Padang Jawa yang majoritinya didiami oleh kaum India.



     Untuk pengetahuan semua, Pusat Sekitar Seni ialah pusat komuniti di perkampungan terbabit yang diwujudkan oleh para seniman dan seniwati (Aisyah, Idham dan ramai lagi) yang bergiat aktif di kampung itu mendekatkan seni kepada masyarakat. Pelbagai aktiviti kesenian yang dilakukan di situ seperti Padang Jawa Art Festival dan Population: In or Out. Kedua acara yang saya nyatakan sebentar tadi ialah acara yang besar berlangsung melibatkan ramai seniman dan seniwati dan turut menjemput artis daripada seberang iaitu Indonesia turun padang dalam menjayakan acara-acara ini.



      Padang Jawa dihiasi dengan seni jalanan yang membawa mesej-mesej tertentu daripada pelukis itu sendiri, penduduk-penduduk dan menggambarkan isu-isu semasa di kampung terbabit- isu politik dan agama. Lebih menarik lagi apakah akan terjadi kepada lakaran dan lukisan selepas acara sudah tamat. Daripada proses bagaimana melukiskan sehinggalah penglibatan anak-anak jati kampung tersebut dititik beratkan dalam kedua acara ini. Kemudian akan diperhatikan kesan daripada hasil seni ini kepada masyarakat setempat.



    "Seni itu untuk seni atau seni itu untuk rakyat?" Persoalan itu pernah dibangkitkan oleh Idham sangat menarik sekali untuk dibincangkan, memandangkan pada zaman kini seni kadang-kala adalah untuk golongan elitis dan ada juga seni yang semata seni industri. Pernah aku terbaca jika sesuatu karya tidak menyentuh atau menyentap hati, maka ia langsung tidak berbaloi untuk dimaterialisasikan. Apalah guna jika sesuatu karya tidak mempunyai jiwa.


    Kemudian diperbincangkan juga tentang 'apa itu aktivisme' sebelum pustakawan-pustakwan merekrut sukarelawan baru. Tiga buah lagu didendangkan kepada para hadirin sebelum kami bersiar-siar ke sekeliling Padang Jawa dan berbicara tentang seni dan masyarakat.


     Setakat ini sahaja entri untuk kali ini. Jemput klik 'like' di Facebook Buku Jalanan Shah Alam dan ikuti twitter Buku Jalanan Shah Alam tweethandle : @bukujalanan










Seni itu untuk seni atau seni itu untuk masyarakat?

No comments:

Post a Comment