Thursday, October 30, 2014

Jam 1035 malam dan di mana kewarasan penjawat awam.

Jam 1035 malam dan saya terus menikmati demam yang menguasai diri.
Saya tidak pasti kenapa saya demam, mungkin kerana jalan kaki yang agak jauh di bawah matahari panas.

Abah bekalkan sedikit wang dan aku berjanji akan menyertai pertandingan berinai di Kompleks Kraftangan Kuala Lumpur. Tarik tutup permohonan sehinggalah saat sebelum pertandingan bermula. Aku pun bergerak dari rumah ke KTM dengan kereta dan kemudian turun di KL Sentral. Aku naiki monorel dan turun di Stesen Raja Chulan kerana itu sahaja informasi yang aku dapat daripada internet.

Aku berjalan kaki dari stesen sehinggalah ke Jalan Conlay. Jauh juga rupanya dan agak ke dalam kalau mengikut jalan yang aku tempuhi. Basah lencun sebaik sahaja tiba. Jenuh aku berpusing mencari meja urus setia. Tetapi tidak juga berjumpa. Akhirnya aku dekati seorang pengawal keselamatan.

"Pakcik, saya cari meja urus setia. Dekat mana ye?"
"Adik nak tanya apa.."
"Saya nak tanya dekat mana pertandingan berinai yang bermula jam 2.30 petang."

Dengan walkie talkie di tangan, pakcik berkenaan memanggil staff untuk bertanya. Lambat tindak balas. Jawapannya?

Pertandingan dibatalkan. Tempat pertandingan telah dijadikan tempat pameran bunga/pasu bunga.

Kenapa tidak update di Facebook?! Sedangkan promosi sudah dibuat. Borang sudah di keluar dengan tarikh permohonan sebelum 2.30 masih boleh berdaftar. Sekurang-kurangnya updatelah status di Facebook atau dekat pagar Kompleks membuat pemberitahuan bahawa pertandingan dibatalkan! Ataupun dekat borang berkenaan, lain kali jangan buka tarikh sehingga hari pertandingan!

Tunding pula jari kata aku tak daftar. Aku datang awal sebab nak daftarlah. Kau tulis atas borang tu apa? Kau lupa ke? Pertandingan itu untuk orang awam dan terbuka. Aku tengok pada gambar promosi pun ramai yang berminat. Aku tak tahulah bagaimana keadaan mereka. Mungkin ada yang daftar awal maka tahu akan pembatalan acara kerana panggilan sudah dibuat dan duit dikembalikan. Bagaimana yang walk-in? Poster itu telah memerangkan anda.

Lain kali, malas macam mana pun wahai pekerja gomen, sekurang-kurangnya update status Facebook! Tahu tak kalian sudah menyusahkan orang?
Aku telah berjalan kaki dengan harapan.

Itu aku.

Orang lain yang susah mungkin sudah isi minyak dalam kereta dan ambil cuti kerja semata pertandingan yang tak jadi itu.


Kenapa orang tak suka pekerja gomen/ penjawat awam dan sewaktunya dengannya? Sebab benda macam inilah! Gaji kau...memanglah dengar dari kerajaan tapi itu duit cukai rakyat. Tolonglah rasa amanah sikit. Fikir jauh dan kritis sikit. Pertandingan inai tak perlukan tempat yang besar pun. Aku pergi tadi banyak sahaja ruangan!


Tak fahamlah dengan orang buat event dan sudah ada promosi tapi tiada notis pembatalan. Serius sikit bila buat kerja. Rakyat yang buat event besar dan ada yang tak dapat langsung dana atau peruntukan pun buat kerja lagi bagus. Ini event tidak gunakan duit korang sikit pun(kecuali yang jenis malas nak claim), kenapalah mesti tidak serius?

Ingat aku tak pernah buat event ke? Ini kenapa orang pandang rendah pada event yang dianjurkan oleh Kraftangan Malaysia. Hilang minat!

Aku dari kecil membesar dengan Kraftangan. Aku tahu juga selok belok events yang tiada peningkatan. Dari dulu, macam itu juga.... Kah!


Kecil-kecil dulu, aku lihat seni dari Kraftangan ini macam suatu magis dan aku berminat sangat-sangat. Sekarang? Tak payah masuk pun dah tahu apa Kraftangan akan buat. Tambah aku kecewa pertandingan batal tanpa notis. Memang aku makin menjauhlah pada Kraftangan yang kononnya untuk rakyat.

Semoga maju jaya dan tidak lagi berlaku hal salah faham yang menyusahkan orang.

Apabila kamu ada terlalu sedikit....

Tuhan sudah takdirkan beberapa kesusahan, kecuaian dan kemalangan untuk aku.
Setiap kali sesuatu terjadi, aku lalui sahaja kerana tiada yang apa boleh aku lakukan.

Aku masih teringat sesuatu kejadian berlaku ketika aku masih asasi kerana salah faham.
Takkan aku lupa orang yang menghentikan air mata aku. Terima kasih kawan-kawan.

Begitu juga ketika aku tahun pertama dan kedua ketika menempah ijazah sarjana muda. Tahun pertama kerana keputusan peperiksaan aku, manakala tahun kedua kerana pertama kali aku belajar menyayangi sesesorang. Terima kasih kepada kawan-kawan yang memberi kekuatan dan menemani aku. Aku terharu Tuhan mendatangkan mereka kepada aku.

Kemudian aku bangun dan tercabar lagi. Aku lalui walaupun aku sesak. Lama masa berlalu. Kemudian aku membuka kembali hati aku. Aku tidak tahu mengapa tetapi kemalangan lagi.

Kali ini aku terlalu bersedih. Aku punya terlalu sedikit dan di saat aku perlukan kekuatan dalam hati ini, hilang semuanya. Aku benar-benar keseorangan.
Aku berterima kasih kepada sesiapa yang mendatangkan bantuan.
Beras dari teman serumah.
Pembeli hasil seni saya.
Bapa saya yang berusaha menghulurkan wang.

Tetapi hati saya masih sakit.
Air mata suka pula turun.

Sudah takdir aku. Siapa sudi terima aku dengan takdirku?
Kalau tak sudi, jangan berani hampiri.

Pesan aku tentang cinta

Pesan aku tentang cinta ialah belajarlah tentang cinta.
Cinta bukan sekadar antara dua manusia, lelaki dan perempuan.
Ia lebih besar dan dalam.
Ia paling indah dan paling kuat.
Tapi ia juga mudah difitnah.

Pesan aku tentang cinta ialah kenalilah cinta.
Sebelum bercinta, baiknya kita belajar apa itu cinta.
Belajarlah agar kamu tidak menyakiti orang lain.

Indahnya cinta, jika kau tersalah, akan ada kemaafan untuk mu.
Cinta ialah ruang yang selamat untuk kau hidup dan berkembang menjadi manusia.
Cinta ialah ketenangan dan keyakinan tika dunia kegelapan.
Cinta ialah sumber harapan.
Cinta ialah kekuatan.

Cinta ialah perasaan dan perbuatan.
Cinta ialah sumber kelembutan.
Cinta ialah kemanisan.
Cinta ialah air yang menyejukkan api yang tinggi menjulang.
Cinta ialah penyuci.

Walaupun kita dilanda masalah, dengan cinta, kita akan sabar.


Aku sedang berharap wujudnya cinta.
Dan aku berharap semua orang bercinta.



Nekad untuk Menyusun Kembali Hidup

Kita merancang dan berusaha. Berjaya atau tidak, kita akan lihat pada hasilnya. Aku punya niat untuk mengikut jejak Zainab binti Saidina Ali, sesungguh itulah kecintaan dan harapan hidup aku untuk menolong orang lain seperti wanita agung ini. Cuma aku tidak mampu menampung hidup aku, aku tertanya-tanya bagaiman ekonomi hidup wanita ini. Maklumat yang aku dapat hanyalah dia mempunyai suami yang menjalankan perniagaan dan sanggup menampung perjuangan Zainab binti Saidina Ali. Aku perlu menerima hakikat hidup yang aku tidak boleh terlalu bergantung kepada sesiapa. Aku perlu menampung diri sendiri terlebih dahulu sebelum menolong orang lain.

Sebaik sahaja graduasi, aku masih tidak dapat menampung hidup dan aktiviti aku. Aku berharap dengan perancangan dan nekad yang baru, aku akan boleh kembali melakukan pelbagai aktiviti lagi.

Maka aku memilih untuk melukis doodle dan inai dan tidak akan mengambil workshop, event management, atau kolabrasi. Kemudian aku akan kurangkan aktiviti agar aku akan ada lebih masa untuk membina karier seni aku, membayar hutang dan membina keluarga. Aku akan cuba hasilkan lebih banyak karya dan menuntut ilmu. Aku berdoa agar rezeki aku dimurahkan agar aku dapat beraktiviti dengan lebih kerap lagi. Semoga Allah kuatkan hati aku.

Sedikit bantuan dan berapa lama boleh tahan?

Sebaik sahaja mendapat berita tentang bantuan, aku terus mengeluarkan kereta aku yang minyak hampir habis. Aku habiskan titisan terakhir untuk mencari mesin ATM. 

Aku segera mengisi minyak dan air minuman mineral yang banyak. Kemudian aku mendapat mesej daripada kawan aku bertanya adakah aku benar-benar ingin menarik diri daripada suatu projek. Aku terdiam kerana bantuan sudah tiba. Tapi aku berfikir sejauh mana bantuan ini akan bertahan? 2 hari? 3 hari? 4 hari? Aku yang sedikit gembira dengan berita baik kembali murung. Aku asyik terfikir mana lagi nak mencari sumber kewangan segera.

Namun, kerana mahu kekal lama, aku telah menolak. Sebenarnya aku sudah berniat mahu pulang ke kampung untuk melukis dan mencari kerja di bandar Ipoh. Kenapa? Kerana aku tidak punya wang yang banyak. Di Shah Alam, aku sangat aktif melakukan itu dan ini. Minyak semakin mahal dan makanan pun sama. Itu dan ini nak pakai duit. Ia membebankan aku dan ibu bapa aku. Tambahan, bas yang lalu ke kawasan rumah aku tidak menuju ke tempat yang aku mahu. Perlu bertukar-tukar bas dan menyukarkan pergerak orang tak berduit. Sekurang-kurangnya di Ipoh, kemungkinan kos hidup lebih murah. Ah! Aku tidak pasti.

Aku kecewa kerana dalam fikiran ku, aku sudah merancang untuk duduk di Shah Alam menimba ilmu sebanyak mungkin dan membina nama cukup untuk karya ku menampung bulanan hidup ku. Kemudian aku mahu mengikut seseorang yang aku tunggu menamatkan pelajarannya, -di dalam tempoh penantian itu, aku perlu menyimpan wang untuk majlis, tetapi sehingga kini tiada simpanan, dan akan ikutnya pulang ke kampung. Aku kira hujung tahun hadapan atau awal tahun hadapan, barulah aku keluar dari Shah Alam.

Tapi malangnya. Kerana aku tidak konsisten melukis dan menghasilkan karya, aku semakin tumpul dan malas. Aku asyik membuat pekerjaan lain sehingga ditipu. Perlaburan aku tidak berbalas. Sekarang, kocek ku kering dan tiada siapa percaya! Aku ingin berundur untuk mengumpul wang ringgit. Tapi ada orang lain faham?

Aku perlu memilih projek yang modalnya rendah tetapi pulangannya sesuai dengan kesungguhan aku(berapa jam aku menghasilkan projek berkenaan. Contohnya melukis kerana bahan dan alat sudah ada dan aku hanya perlu lukis). Asalkan ia tidak membuat aku terlalu banyak menggunakan kenderaan. Kos minyak lebih mahal daripada makanan dan tempat tinggal aku.

Aku punya hutang. Aku rasa bersalah kerana orang itu tidak sedar aku berhutang dengannya. Aku cuba menyimpan untuk membayar wang itu. Tetapi ASYIK GAGAL! Aku perlu fokus menghasilkan karya dengan bahan yang sudah ada. Aku terpaksa pentingkan diri sendiri buat masa ini! Aku tidak boleh mengdekati mana-mana projek yang menggunakan banyak modal! 

Aku merasa bersalah kerana aku menarik diri daripada kolabrasi dengan kawan aku. Tapi aku setiap kali aku bekerja berkumpulan, aku sangat cenderung untuk menghulurkan wang ringgit bagi memastikan projek berjaya. Aku mahu bagi yang terbaik. Untuk jemputan kolabrasi, pada mulanya aku ingin sertai dan aku ketika itu masih sedikit lagi wang. Tetapi apabila aku tidak punya wang, aku mengharap bolehkah kawan aku ini menampung dahulu sedikit? Kawan aku pun tidak punya wang. Sama-sama miskin. Lagi idea yang dia taburkan, memakan kos tinggi kerana berulang alik dengan kenderaan. Aku cuba untuk memberi idea yang ringkas yang sesuai dengan bajet dan senang untuk dilaksanakan. Idea yang rumit akan menambahkan kos. Aku menyampah apabila kadang-kala kawan aku tidak memikirkan dengan baik tentang perlaksanaan idea. Idea yang realistik jika kita punya masa yang panjang. Kaedah dan teknik yang digunakan juga sangat meragukan. Aku suka bereksperimen dahulu dengan kaedah dan teknik sebelum melakukan sesuatu karya khas hasil dari pembelajaran aku. Aku tak tahu dia pernah bereksperimen atau tidak tetapi aku mula merasa tekanan sumber kewangan apabila duit dalam kocek hanya tinggal RM25 dan setelah membeli makanan termasuk barang basah menjadi RM13.

Sekarang sudah ada bantuan. Adakah aku akan melabur dan menghadapi sekali lagi risiko modal tidak berbalas? Atau aku akan usaha untuk apa yang ada? (Tambahan pula pada malam semalam seseorang menghubungi aku untuk membeli karya ku. Cuma bayaran akan dibuat pada hujung minggu. Lagi beberapa hari lagi aku perlu bertahan dan aku terpaksa menyimpan sedikit wang-aku berhasrat mahu pindah pulang ke kampung, kos pengangkutan sangat tinggi perlu ditanggung.

Pada mulanya aku mahu pulang segera, tetapi malam tadi juga aku mendapat tempahan inai pada 5 November 2014. Aku merasa sangat kelakar kerana di saat aku mahu kembali semula ke kampung, segala punca rezeki muncul, cukup dan berjarak yang agak sesuai. Cuma aku perlu berhati-hati agar bajet aku tidak lari. Aku kini hanya akan bekerja seorang diri seperti melukis inai dan melukis doodle kerana keduanya murah, tidak perlu menyakiti orang lain dan fleksibel.

Aku boleh duduk di Shah Alam, asalkan aku tidak diganggu oleh tuntutan untuk aktif kerana aku tidak mampu untuk menampung hidup dan aktiviti-aktiviti aku. Kalau orang lain boleh pentingkan diri sendiri, aku pun boleh. Aku perlu tampung hidup aku juga. Kalau tuntut keaktifan aku, aku yang perlu lalui susah menanggung beban hutang, bukan orang lain. Orang lain mungkin bijak dan boleh untuk hidup dengan hanya kos yang kecil, tetapi tidak aku. 

Kalau mahu perli pun, perlilah. Susah aku, aku yang lalui, bukan orang yang berkata itu.

Wednesday, October 29, 2014

Dilanda kemiskinan dan tiada siapa percaya

Pada 5-10 hb Oktober yang lalu, aku ke Kemboja. Sebelum berangkat ke sana, aku menaruh harapan bahawa upah kerja aku sebagai pembantu pengurus projek akan masuk ke dalam akaun bankku.

Sebaik sahaja aku pulang, aku masih punya sedikit wang ringgit dan simpanan. Walaubagaimanapun, aku telah habiskan duit itu untuk suatu majlis dan aku terpaksa menebal muka meminta bantuan abah aku. Kemudian aku pulang ke kampung kerana sudah berjanji kepada mama aku.

Sebelum pulang ke kampung, aku ditimpa kemalangan dan sekali lagi duit digunakan. Apa yang aku sedih apabila aku memerlukan bantuan, aku tidak dilayan. Terdapat beberapa urusan lain lagi (menuntut ganti rugi tingkap kereta yang pecah dan membersih ruang kerja ) tetapi apakan daya, aku terpaksa meninggalkan pelbagai urusan kerana perlu mengejar jadual bas.

Aku terharu kerana esoknya, seorang kawan datang dari Puncak Alam membantu pembersihan ruang kerja. Aku lalui hari-hari di kampung dengan hati gusar. Tambahan aku bergaduh dengan orang yang aku harapkan sangat dan aku ditinggalkan di saat aku sangat memerlukan bantuan.

Sebaik sahaja kembali ke bandar Shah Alam, aku pulang dengan azam baru untuk memperbaiki taraf ekonomi aku. Upah aku masih senyap. Aku pun semakin malas nak bertanya khabar. Aku melakukan banyak eksperimen inai tetapi berakhir dengan kegagalan. Aku menanti kata-kata motivasi, terima kasih kepada yang memberi. Aku kecewa sekali lagi kerana orang yang aku harap lagi-lagi menyakitkan dengan tindak balas yang kurang memberansangkan kerana aku cuba untuk bertolak ansur. Itu pesanan ayah ku.

Aku cuba untuk menolong orang itu kerana dia kegusaran dan begitu banyak tugasan. Aku tidak mampu nak siapkan tugasan berkenaan, tapi aku cuba sedaya upaya untuk jadi peneman, membawanya ke mana sahaja, membawanya makan dan selagi yang mampu. Ketika itu, duit aku yang aku dapat dari ayah ku sangat tidak cukup kerana aku sedang usaha untuk menyokong orang lain. Tapi aku diamkan sahaja.

Kemudian duit aku semakin habis kerana membuat itu dan ini. Kos minyak dan makanan melambung. Sejak sebelum ke Kemboja, aku sudah mula makan ikan masin dan ikan bilis dan apabila malam, aku akan cuba dapatkan lauk bersayur (RM4 jika beli). Malu aku memakan beras teman serumah tanpa membayar sesen pun. Aku sumbang takat apa yang mampu.

Tertekan. Kemudian orang yang harap itu mengalami masalah, aku juga kerinduan maka aku layankan saja berpusing-pusing di bandar Shah Alam. Sedangkan minyak kereta di hampir kosong tangkinya. Hampir setiap hari bertemu dan aku merasa sangat marah dengan sendiri kerana aku gagal untuk mengawal perbelanjaan minyak. Ikan masin dan ikan bilis murah semakin sedap di lidah ini. Aku juga marah kerana aku gagal untuk tegas dengan orang yang aku rindu. Sejak dulu lagi aku gagal untuk tegas. Aku cuba tetapi akan berakhir dengan pergaduhan. Oleh itu, aku semakin tidak tegas.

Eksperimen inai telah aku hentikan. Aku fokus kepada lukisan aku. Dan orang yang aku harap pulang ke kampung meninggalkan aku seorang diri. Sempat aku hulurkan sesuatu.

Seperti biasa, perbuatan aku memakan diri. Aku takut dengan kemiskinan? Aku memang takut. Aku hampir mahu menjual komputer riba dan kamera aku (aku sudah pun menjual external hard disk ku pada pertengahan bulan yang lalu selepas diberhentikan kerja).

Kawan aku membawa aku ke suatu program. Aku tersangat malu kerana menumpang. Maka aku hulurkan juga RM5 untuk minyak, sedangkan program itu jauh jaraknya. Malu sungguh kerana aku tidak suka menyusahkan orang.

Aku terbeban lagi hari-hari di Shah Alam. Aku sudah beberapa hari tidak menambahkan kredit telefon aku. Aku tidak keluar rumah kerana takut tidak punya wang untuk makan. Tapi aku disindir. Aku terkilan kerana disindir pemalas. Aku sudah berjaya siapkan beberapa artwork. Aku produktif kepada sesuatu benda yang aku suka. Aku memang tidak pasti apa pekerjaan yang sesuai untuk aku. (BLS, reti melukis dan reti sikit-sikit mengajar? Aku tak tahu!) Aku hanya berdiam diri. Aku cuba mengadu. Tapi orang yang aku harap, di saat aku mengharapkan sokongan, boleh pula pilih untuk bergaduh. Tak fahamlah! Tinggalkan aku dalam kesusahan lagi! Aku tak minta duit pun. Aku mahu hanya mahu orang sudi mendengar dan memberi semangat.

Lagi sedih, orang tak percaya aku tak ada duit! Bengang gila! Aku nak mencarut boleh?
Aku nak sokongan emosi pun tak dapat! Aku kecewa. Aku rasa lemah dan aku taknak pergi pada orang lain dah! Kalian ingat aku buat lawak bila aku cakap aku tiada duit? Kecewa!

Bantuan yang sampai? Kawan bertanya pasal nak tak ambil upah mengajar. Aku OK je, nak duit advance? Tolonglah! Aku tiada modal walaupun untuk cari kerja. Kalau ikut janji upah, aku boleh dapat dalam tangan hampir RM1000.

Kecewa. Penipu! Selepas ini, tak akan aku ambil kerja selagi tiada kontrak! Aku juga belajar, jangan percaya orang yang selalu tinggal kita dalam kesusahan

Thursday, July 17, 2014

Nak Tolong Orang Pun Banyak Kira!

Aku tidak hebat beragama dan tidak alim.

Tapi aku tahu bahawa kalau bersedekah kalau boleh jangan tangan kiri tahu.
Entah apa maksudnya.

Dan aku tahu kalau nak tolong orang jangan banyak berkira. Buat sahaja!
Aku teringat kisah salah seorang Imam yang masuk ke bilik air menanggalkan bajunya lantas dia suruh orang suruhannya segera memberikan bajunya kepada si miskin yang dijumpainya tadi.
Katanya segera bagi sebelum aku bertukar fikiran.
Terus dia berbuat baik tanpa memikir panjang.

Tahu tak kesan berfikir panjang apa?

Kalian akan jadi kedekut.
Kita akan ditakutkan dengan kemiskinan oleh syaitan. Kalau kau tak percaya pada syaitan, percayalah pada hakikat bahawa kita manusia mementingkan diri sendiri lebih dari orang lain.

Kalian akan buat kerana diri sendiri.
Asalnya nak tolong orang semata-mata nak tolong orang.
Tiba-tiba terfikir Syurga, contohnya. Lalu kau akan fikir, "Aku buat ni nak masuk syurga."
Ditambah pula, "Kalau aku dapat Islamkan orang ni, aku mesti masuk Syurga!"

Semua "Aku", "Aku" dan "Aku".
Kita tidak boleh menafikan kebaikan yang kita terima.
Tapi tidakkah kamu berasa malu kerana perbuatan kamu sebenarnya mengharapkan pembalasan yang mewah-mewah, seperti Syurga.
Tidakkah kamu ingat pada Rabiatul Adawiyah, yang berkata jika aku beribadat kerana Syurga, jangan berikan aku Syurga!

Perbuatan itu sepatutnya ikhlas. Atas cinta kepada Tuhan. Tanpa menanti balasan.
Betapa banyak kejahatan kita buat kerana kita pentingkan diri sendiri, kebaikan yang kita lakukan juga ada untuk kepentingan diri seperti Pak Politikus yang memberi BR1M kemudian dia di Syurga dunia dengan tender-tender dan keuntungan berlipat ganda dengan undian yang kita sebagai balasan BR1M berkenaan. Sedangkan sudah menjadi tugas dia untuk mentadbir dan menjaga rakyat. Sedang sudah menjadi tugas kita sebagai manusia untuk menolong manusia yang lain.

Cukuplah perbuatan mementingkan diri sendiri. Tiba masa untuk kita ambil berat tentang orang lain lebih dari diri sendiri. Utamakan kepentingan orang lain lebih dari kepentingan diri sendiri. Biar mengalir keikhlasan dan kecintaan. Biar terasa dari setiap titis keringat turun membantu itu.

Bukan selalu pun tolong orang. Tolong pun nak berkira.

Nak sangat ambil pendekatan agama? Nak sangat berdakwah?
Lihat mubaligh Kristian yang membuka sekolah mengajar akademik tanpa henti bertahun lamanya di kawasana pendalaman. Akhirnya kerana kebaikan mubaligh itu, penduduk kampung turut menjadi Kristian.

Semua orang memuji keindahan akhlak Nabi Muhammad S.A.W. Akhlak. Sikap. Perangai. Peribadi. Bukannya daripada verbal semata-mata berdakwah dengan nama Islam. Tetapi lakunya sahaja cukup memberi impak sebelum wahyu diturunkan ke atasnya.

Dakwah yang terbaik bukan sekadar cakap-cakap. Tetapi peribadi dan amalan.

Friday, June 20, 2014

Pekerjaan: Menolong orang

Di Kampung Baru Hicom, Seksyen 28, Shah Alam
Ya. Aku tidak tahu jika ada jenis pekerjaan yang sedemikian. Aku lihat masa hadapan aku ialah dengan berkebajikan. Orang tanya bagaimana dengan diri sendiri. Siapa nak menyuap perut awak itu?

Betul soalan itu. Jika mahu tolong orang, mesti mampu menolong diri sendiri terlebih dahulu. Maka, pelbagai rancangan aku atur untuk membawa diri agar boleh membantu orang.

Aku kini masih mengkaji tentang bagaimanakah mereka yang gemar berkelana atau mereka yang bergelar aktivis terus hidup menampung diri. 


Pertembungan budaya yang jarang-jarang kita perasan.

Dengan itu aku membentangkan sedikit dapatan kajian aku tentang beberapa cara atau pengalaman mereka ini menjana sumber pendapatan:


1. Punya pekerjaan tetap tetapi hidup sangat padat kerana perlu juga beraktivitas. Mereka juga mengadu kesukaran untuk meluangkan masa yang secukupnya walaupun poket berkepuk. Kalau poket tak berkepuk, mereka ini akan terus redha, nekad untuk bayar hutang sambil turun padang.

Telah diakui oleh ramai orang bahawa beraktivisme memang memerlukan banyak masa untuk menjayakan sesuatu. Beraktivisme bukan datang sehari dua kemudian ditinggalkan. Bukan juga memberi material dan wang ringgit kemudian hilang. Aktivisme ialah turun padang dan menggerakkan perjuangan. Bagi aku, antara volunteerisme dan aktivisme, aktivisme lebih dekat dengan masyarakat dan mengakar perjuangan atau kesedaran. Volunteerisme pula membantu tetapi tidak mengakar. Volunteer lebih membawa sesuatu tugas sementara dan kurang pertalian atau perhubungan dengan masyarakat. Aktivisme seolah-olah mengendong beban dan tanggungjawab yang lebih berat dan menekankan penglibatan masyarakat.

Bukan sekadar mengisi poket, malah membawa perjuangan!

2. Bekerja secara freelance. Ternyata freelance ialah kerja mencabar tetapi pada masa sama seseorang ada pilihan untuk bekerja bila dia mahu bekerja. Freelance mereka yang beraktivitas ini selalunya berkait dengan rekacipta, penulisan dan mana-mana bagian seni. Atau apa sahaja yang boleh dijadikan freelance.

"Chances are, she can’t hold a steady job. Or she’s probably daydreaming about quitting. She doesn’t want to keep working her ass off for someone else’s dream. She has her own and is working towards it. She is a freelancer. She makes money from designing, writing, photography or something that requires creativity and imagination. Don’t waste her time complaining about your boring job." petikan dari "Don't Date A Girl Who Travels"

Poster dari blok kayu yang diukir. Produk Taring Padi.

3. Mengikut temubual aku, seorang lelaki menyatakan bahawa dia pernah bekerja keras selama 2 tahun sepeti orang gila untuk mengumpul duit. Dia mempunyai disiplin yang ketat dalam menyimpan. Kemudian dia mengurus duit itu sehingga ada penjanaan semula. Kini dia bebas buat apa sahaja yang dia suka. Kemudian dia sambung dengan membuat sedikit kerja secara freelance.

Tidak kira berapa tahun yang penting anda berusaha untuk ada simpanan yang cukup. Tetapi pastinya tidak pernah cukup. Anda perlu bijak mengurus kewangan anda disamping mengawal diri dalam penggunaan wang ringgit. Mungkin anda akan melepaskan beberapa keghairahan anda seperti mereka yang suka bershopping, perlu berhenti bershopping.

Perlu belajar menundukkan nafsu daripada membazirkan wang ringgit. Sangat berdisiplin dan aku sendiri ragu-ragu dengan diri aku dibahagian ini.
Pertama kali dalam hidup dikeliling pelanggan berbangsa Cina. Saya sangat teruja.
 Terima kasih kalian semua. Maafkan kekurangan pengalaman saya.

4. Ditaja untuk membantu orang lain. Ternyata sumber kewangan begini agar sukar untuk dicapai kerana anda perlu ada reputasi sebelum ditaja dengan girangnya untuk membantu orang lain. Terdapat mereka yang bermula dari bawah. Asal mereka ini seniman dan membawa perjuangan mereka melalui karya-karya seni dan bengkel-bengkel seni bersama masyarakat. Kemudian dengan modul dan sebuah kertas kerja projek, mereka akan meminta fund dan semestinya projek ini untuk masyarakat. Mendapat tajaan projek daripada mana-mana badan, turut membayar gaji mereka utk melaksanakan projek berkenaan. Konsepnya sama seperti anda membuat Projek CSR dan anda dibayar oleh mana-mana badan korporat untuk melaksanakan projek berkenaan bagi pihaknya.

Anak-anak daripada Padang Jawa, Shah Alam bersama Cikgu Adi dari Indonesia yang bisa menggesek biola
 yang begitu asyik sekali.
Mereka mempersembahkan wayang kotak bertajuk Bencana. Di MCPA, Kuala Lumpur.

Pelbagai lagi cara dalam mencari sumber kewangan jika anda enggan mengikat diri dibawa kapitalis atau para bourjuis. Yang penting ialah usaha dan kreativiti anda untuk keluar dari ikatan berkenaan.
Cikgu Jimie yang menceburkan diri dalam dunia seni pencetakan baju.
Selagi anda tidak cuba, selagi itu anda tidak tahu.

Bukan lagi guru tadika


20hb Mei 2014 ialah hari terakhir bekerja. Seperti dilihat aku berhenti kerja kerana memang aku sudah menyerahkan surat perletakan jawatan dan hari terakhir ialah 24hb Mei 2014. Tetapi memandang ada yang tidak puas hati dengan alasan kenapa aku berhenti dan terus menerus mencari pasal, sebaik sahaja selesai segalanya, satu panggilan telefon aku terima dan menyuruh aku tidak lagi datang kerja pada esok hari.

Mengucap selamat tinggal tanpa saki baki
Kejadian ini sangat melucukan kerana aku cuba pergi dengan baik dan aku sudi untuk melanjutkan hari perkhidmatan aku untuk sementara waktu dalam menanti penggantiku. Tetapi ada manusia yang bersungguh-sungguh untuk menimbulkan api-api kemarahan dan memalukan orang lain. Aku tak tahu kenapa, tetapi permintaannya untuk menjadi jujur seolah-olah permintaan yang tidak ikhlas seperti orang lain yang aku jumpa. Kalau jujur, semakin berapi orangnya tetapi dia yang memintanya.

Memandangkan sudah panas keadaan, tidak menentu kira, manusia itu berpura-pura professional dan pulang ke rumah kerana sudah habis kerja. Tetapi menelefon aku agar usah datang kerja lagi pada esok harinya dan menyuruh aku menukar tarikh di surat agar seolah-olah cukup 2 minggu notis berhenti. Juga dibisikkan kepadaku bahawa akan dipotong dua minggu gaji kerana sebenarnya notis tidak cukup 2 minggu. Baiklah, janji aku berhenti daripada melayan amarah wanita ini yang sejak hari pertama aku bekerja, dia memang tersangatlah kerap marah, memerli, memalukan orang dan sebagainya.

Aku tahu dia punya masalah di rumah. Dia sendiri mengaku kelemahannya yang mempunyai masalah di rumah dan sikap panasnya. Dia minta semua orang bersabar dengan kelemahannya. Dalam hati aku, sudah lama guru-guru di sini bersabar. Wajar atau tidak seorang yang sering melaungkan kata-kata saya seorang pemimpin menghamburkan kemarahannya pada orang bawahannya? Manusia yang sering melaungkan nilai-nilai keislaman tetapi membiarkan api marah menguasai dirinya setiap masa? Memalukan orang, adakah itu nilai-nilai islam?


Berdoa di depan Kaabah meminta Allah mengubah sikapnya? Itu yang dia kata pada aku. Maafkan aku tetapi daripada apa yang aku lihat, doa hanya doa.... Usaha mengubah diri sendiri bagaimana pula? Adakah kau menganggap pergi ke Kaabah dan berdoa itu ialah suatu usaha yang cukup? Bagaimana usaha untuk bertenang? Bagaimana usaha untuk menegur pekerja dengan lebih baik? Bagaimana usaha untuk mengurangkan kemarahan?

Ya.. manusia di tempat kerja mu bersabar dengan kamu. Adakah kamu bersabar dengan kami?

Aku bukan tidak pernah bekerja dibawah orang. Aku tahu aku juga punya silap dan aku belajar. Tetapi usaha mahu berhenti kerja secara baik nampaknya lingkup begitu sahaja. Aku ada angan-angan akan kembali sebaik sahaja melengkapkan ilmu. Katanya lihat manusia ini(pekerjanya) yang hanya punya SPM masih kekal di sini dan belajar dengannya. Dalam hati aku manusia itu sudah beranak-pinak yang mempunyai tanggungjawab, duit adalah sangat penting. Dia bekerja kerana duit. Aku manusia berbeza yang dahagakan ilmu, aku bukan mahu belajar rutin merobotkan anak-anak. Maka aku perlu belajar lagi, aku dalam pencarian bagaimana yang terbaik. Dia tidak mengizinkan pengembaraan aku dengan cara yang pelik sekali.

Sebaik sahaja aku berhenti kerja, keesokan paginya hari terasa lebih bewarna dan cerah sekali. Aku berasa bebas dan lega. Lupa aku ingin cerita bahawa sesudah malam menjelma, selepas petang aku dipecat, aku menerima suatu panggilan telefon yang terlambat aku angkat. Malas untuk menelefon kembali tetapi aku lakukan jua. Wanita itu berada dihujung talian dan pastinya kedengaran dia baru sahaja sudah menangis. Dia meminta aku untuk menyambungkan perkhidmatan sehingga 24hb Mei 2014. Aku mengawal diri aku dan menjawab aku akan fikirkan. Dan beberapa lama aku fikir, pada malam itu juga pantas aku menyatakan keengganan aku melalui SMS. Tidak berbalas.

Pada esok harinya, aku ke tadikanya di Subang. Sambil memandu kereta, terkenang aku dari mulutnya mengatakan diri aku pemalas. Terkejut juga mendengarnya. Selepas aku berbincang dengan seorang cikgu senior, dia terkejut kenapa puan berkata berkenaan. Aku ceritakan juga rekod kerja aku. Ya, aku suka datang awal. Ya, aku budak baru yang ternganga-nganga apa yang perlu dilakukan. Puan sendiri akui aku nampak rajin sekarang.  Memanglah rajin, dulu aku tak tahu, sekarang sudah tahu. Dulu tidak dicerita, kemudian bila cerita baru aku tahu apa kerja-kerjanya. Terima kasih kalian yang senior membantu aku. Memanglah! Aku baru belajar. Semakin hari memanglah semakin cekap. Baru belajar tanggungjawab. Geramnnya hati aku. Takkanlah aku perlu berpura-pura rajin di hadapan bos? Aku ada usaha aku sendiri. Aku tidak pernah claim/menuntut setiap apa yang aku beli atau buatkan untuk anak-anak yang aku ajar. Kenapalah aku perlu berhenti dalam keadaan yang tidak enak sekali? Jika wanita itu tidak beremosi dan mengakibatkan aku beremosi, pasti aku sudi untuk melanjutkan perkhidmatan aku buat sementara waktu.

Sebaik sahaja aku tiba di tadika cawangan Subang, aku disambut oleh guru-guru disitu yang terkejut dengan kehilangan aku. Seorang guru menyatakan betapa dia terkejut sekali puan meminta maaf darinya kerana memalukan dirinya dengan menjerit tuduhan "menipu" di hadapan murid-murid 6 tahun-4 tahun. Baguslah begitu. Guru menyatakan betapa teresaknya puan ketika menelefonnya semalam. Dalam hati aku, semoga selepas ini berubahlah perempuan itu. Sesungguhnya kalaulah dia tahu aku sentiasa berubah.

Aku berharap nilai-nilai Islam yang kononnya dibawa oleh institusi pendidikan awalnya benar-benar diadapatasi selepas kejadiannya bersama aku. Aku juga rasa tidak wajar mulut aku untuk meluahkan teguran kerana aku hanya mahu berhenti dan tiada niat untuk mengubah apa-apa. Kalau guru-guru di situ sudah-sudah selesa walaupun ada jerit dan malu, aku tiada niat untuk mengubahnya. Tetapi keadaan memaksakan kerana dia mahu-mahu juga aku menyatakan sesuatu dengan provokasi dan penghinaan. Budak baru tidak begitu penting pendapatnya, katanya. Maka, mengapa lagi ditanya dan diprovok? Dia rasa institusinya ialah yang terbaik. Baguslah begitu. Aku tidak kisah. Teruskan dan lepaskan sahaja aku!

Mungkin drama itu manis baginya.

Aku raikan hari kebebasan aku dengan menjadi diri aku sendiri selepas itu! Siapa sangka pintu yang aku tutup telah membuka pintu yang lain!
Pembukaan yang baru.

Sunday, April 27, 2014

"Pastinya Tuhan tidak membaling dadu!"


There Einstein clashed with the great Danish physicist Niels Bohr over the nature of the universe. Einstein constantly challenged Bohr over the implications of quantum mechanics, but never budged from his belief that "God does not play dice", meaning that nothing would be left to chance in the universe. To which the quantum mechanics community replied: "Einstein, stop telling God what to do with his dice."- source BBC 

Pastinya Tuhan tidak membaling dadu, bukan?

Eisnten sehingga ke akhir hayatnya mempunyai keinginan untuk mengetahui apa yang difikirkan Tuhan. Secara jujurnya, begitu juga aku.

Nabi Ibrahim a.s dan kisah burung yang dihidupkan semula menunjukkan bukti yang jelas bahawa tidak salah kita bersoal sama Tuhan. Aku bertanya, dengan harapan diberi petunjuk menambahkan keyakinan diri.

Sesungguhnya aku ingin tahu, aku hamba-Nya yang hidup dalam kekeliruan ter'kelam-kabut' cuba memahami aturan yang semakin sesak dari hari ke sehari. Jadual hidup aku merunsingkan dan aku bertanya sama Tuhan, "Wahai Tuhanku, mengapa hidup aku begini? Sedangkan ketika kecil ku, aku diceritakan tentang kisah seorang lelaki yang ingin menjadi kaya tetapi dia diberi amaran bahawa jika dia kaya, dia akan sibuk dan lupa akan Allah. Sesungguhnya dia masih inginkan kekayaan itu maka dikurniakan kekayaan yang akhirnya dia semakin lupa kepada Allah. Bagaimana dengan aku? Aku tidak minta kekayaan. Ternyata memang secukupnya gaji aku, tetapi kenapa masa aku semakin miskin? Adakah aku perlu miskin serba serbi tidak cukup makan pakai, barulah aku kaya dengan masa?"

Pastinya Tuhan tidak membaling dadu!

Pekerjaan baru: Guru Tadika

Daripada seorang pelajar jurusan undang-undang UITM, kini saya menjadi seorang guru tadika.
Siapa sangka saya akan bekerja di sebuah tadika.

Ingin bercakap soal rezeki yang secara jujurnya saya sering kali keliru dengan aturan Tuhan yang penuh misteri. Kadang-kadang ada perasaan marah pada Tuhan sehingga diberi amaran oleh beberapa orang manusia kerana menyoalkan aturan Tuhan. Saya manusia yang Tuhan jadikan beremosi dan boleh berfikir.

Saya punya pelbagai soalan dan saya tersangat ingin tahu jawapannya. Saya mahukan jawapan yang meyakinkan. Kenapa Tuhan ku, kenapa Kau letakkan aku di sini? Di masyarakat ini? Di bumi ini? Kenapa orang itu dapat begitu dan aku dapat begini? Apa kurangnya aku sedangkan usaha aku sama atau lebih dari orang itu? Atau apa kekurangan aku kali ini sehingga aku diletakkan di sini? Kalau aku perbaiki, adakah aku akan dapat sama seperti orang itu? Kau letak aku di sini, apa tujuan Kau sebenarnya? Adakah aku suatu medium? Kenapa Kau bagi aku rasa resah dan begitu teruji kesabaran aku dengan betapa jauhnya aku untuk mencapai matlamat aku? Kenapa begitu mudah bagi orang lain, begitu payah bagi aku? Dan pelbagai lagi soalan yang orang lain akan jawab semua tertunding pada aku dan aku sendiri terus menyalahkan diri aku, seperti dilakukan oleh orang lain yang berprasangka baik pada Tuhan.

Masih aku ingat ketika aku tangkap gambar ini dan meluangkan begitu banyak masa mengubahsuai sehingga ini hasilnya, aku ingat aku ini ada bakat jadi fotografer. Kini aku ketawa mengenangkan keanak-anakannya aku, penuh dengan angan-angan, cita-cita dan harapan. :)
Saya juga ingin bekerja di tempat yang sesuai dengan kelulusan saya dan mengikut norma masyarakat: bekerja, dapat gaji, kumpul duit, berkahwin dan sebagainya. Saya di dalam masyarakat yang normanya "Banyak duit, baru OK!"
Sekarang saya di sini, maka saya pandang keliling saya dengan perasaan yang keliru. Saya mengenangkan pelbagai permohonan pekerjaan yang sudah saya hantar ke merata tempat dengan harapan saya akan dapat kerja yang sesuai, iaitu di pejabat, bukan di tadika.

Tapi rezeki saya di tadika. Gajinya bukan seperti tadika lain, syukur! Tetapi saya masih dalam kekeliruan. Terkedek-kedek saya mempelajari teknik Montessori yang sudah diubahsuai oleh majikan saya agar bersesuaian dengan masyakat di bumi Shah Alam. Saya terus belajar dan menerima sahaja aturan hidup ini.

Saya akui saya dahulu ialah seorang ahli sukarelawan yang mengajar anak-anak kelas tuisyen dan saya pernah bercita-cita untuk menjadi seorang guru matematik tetapi tidak kesampaian. Uniknya, saya ditakdirkan Tuhan untuk belajar undang-undang, punya obsesi kepada bidang falsafah dan sastera dan kini mengajar anak-anak berusia 4 tahun.

Ke mana agaknya selepas ini saya akan dibawa Tuhan? Perjalanan hidup ini saya harungi jua kerana ini jalan menuju Tuhan.

Seperti di dalam sebuah buku bertajuk Azazeel yang diterjemah oleh Youssef Ziedan daripada manuskrip yang dijumpainya di bumi Syria, saya ibaratkan diri saya seperti sami Kristian di dalam buku berkenaan yang mengembara keluar dari Egypt dalam mencari ilmu perubatan dan ditemukan dengan pelbagai ujian menguji kepercayaan saya, merasa keindahan rohaniah atas nama Tuhan dan merasa juga keindahan dan keenakan dunia yang asing dan mencalit dosa.

Sami ini bernama Hypa ditunjukkan kepadanya kekejaman manusia yang memeluk agama Kristian sepertinya tetapi begitu ekstrimis, membunuh secara seksaan dan pembakaran seorang ahli falsafah yang menyeru hentikan diskriminasi agama, tetapi Hypa tidak dapat berbuat apa-apa dan terkedu. Di suatu peristiwa berdarah dia bertanya bagaimana Tuhan yang Maha Berkuasa boleh membiarkan ketidakadilan dan kekejaman berlaku begitu sahaja? Mana Malaikat dan Iblis? Apa mereka sedang lakukan? Dia seorang sami yang merasa nikmat seks ketika dia sedang menyamar sebagai orang kebanyakan, dia keliru dalam diperkenalkan rasa yang lain itu. Trauma hebat dalam hidupnya dan dia merasa dosa, namun masih terkenangkan nikmat pelukan hangat dan kasih sayang Octavia seorang gadis beragama pagan. Hilang kasih sayang itu apabila dia mengakui identitinya sebagai seorang sami. Di akhir cerita, dia kali itu jatuh cinta yang teramat sehingga pening dengan identitinya sebagai seorang sami dan apa yang patut dilakukannya, lari ke Egypt bersama Martha atau bagaimana? Ketika dikejutkan dengan berita pinangan seorang askar Rom kepada Martha dan kemungkinan Martha akan pindah keluar dari kampung tempatnya berkhidmat sebagai ahli perubatan, dia jatuh sakit selamat 20 hari tidak bangun-bangun. Bangunnya sahaja, Martha sudah pergi dan pelbagai berita buruk kedengaran di telinganya.

Lihat! Betapa kelirunya Hypa! Tuhan, dunia dan fitrah! Ditambah cinta dan pelbagai isu lain!
Tapi Hypa teruskan hidupnya dengan kepercayaan kepada Tuhannya tanpa henti. Begitu juga aku. Misteri tentang aturan Tuhan tidak akan terungkai sampai bila-bila agaknya, seperti Hypa, aku akan lalui hidup ini dengan harapan ketenangan akan ku genggam walau badai menolak aku ke kiri dan ke kanan. Jika ini yang Tuhan aku mahu, hidup aku ialah untuknya.

Apa di fikiran mu?

Pernah aku terbaca suatu kata-kata yang menyatakan bahawa jika mahu tahu apa yang paling anda suka fikirkan atau apa yang sering bermain di fikiran anda ialah dengan menunggu ketika minda anda bebas merayap. Ke zon mana minda anda sering merayap. Teringat Tuhan? Teringat masalah wang ringgit atau sebagainya....

Dari situ kita boleh nampak prioriti pemikiran diri kita.
Sudah menjadi kebiasaan diri untuk berfikir tentang perkara berkenaan, seolah-olah cuba menyelesaikan suatu permasalahan yang tidak selesai-selesai dan bermain sahaja ia di fikiran kita.

Pada pendapat saya ada baik dan ada buruknya.
Baiknya mungkin kita akan menjana idea untuk melalui permasalahan berkenaan, di mana saya cadangkan kita gunakan perkataan cabaran bagi menggantikan perkataan permasalahan.
Cabaran itu kita fikir ulang-ulang kali ketika kita lapang untuk diselesaikan.
Contohnya cabaran dalam mengikuti bajet bulanan. Mungkin ketika memandu kenderaan dan kita tiba di kesesakan jalan lintas. Tiba-tiba terfikir tentang kenaikan kos hidup dan cabaran besar mengatur bajet. Ketika inilah pelbagai idea muncul seperti menaiki kenderaan awam, berjimat cermat makanan, dan lain-lain lagi.

Keburukannya ialah kadang-kadang apabila kita berfikir secara melampau, kita mula membentuk tanggapan negatif dan tafsiran sendiri yang tidak benar. Sewajarnya kita berfikir dengan informasi yang betul dan jika tidak tahu, kita bertanya. Isu baru boleh timbul jika kita mula membuat tafsiran baru dalam cuba meneka pemikiran orang lain.
Contoh pergaduhan dengan ibu bapa kita. Sebagai seorang anak yang paling rapat dengan ibu bapanya, kemungkinan isu perbalahan itu akan bermain di fikirannya sehingga dia merasa ibu bapanya menyampah dengan dirinya dan dia mula menjauhkan diri, tidak lagi balik kampung sekerap yang selalu. Sebalik dalam diam, ibu bapanya sebenarnya sudah memaafkan si anak dan menantikan panggilan telefon dari anak. Walau bagaimanapun si anak terus menyepi dengan tafsiran dia anak terbuang.


Dengan mengetahui apa yang menjadi prioriti di fikiran anda, anda akan lebih mengenali siapa diri anda. Adakah anda seorang yang romantis dan sering mengenangkan buah hati anda? Adakah anda seorang aktivis yang sering memikirkan kemaslahatan ummah dan cara melalui cabaran kehidupan? Adakah anda seorang yang pentingkan hubungan kekeluargaan ataupun kawan-kawan?
Pernah di suatu ketika saya sangat suka mengembara dan berkelana. Sehinggakan setiap hari saya akan fikir bagaimana untuk keluar dari Malaysia melihat dunia. Perlahan-lahan pelbagai rezeki datang membawa saya ke Indonesia, Singapura dan Kemboja. Saya bukan orang yang senang dan berduit. Maka keghairahan untuk melihat dunia sangatlah menghantui saya. Kini saya sudah bekerja, prioriti untuk mengembara semakin berkurang memikirkan hutang PTPTN dan mahu menyimpan untuk perkara yang lain. Ini satu cabaran. Semoga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki untuk terus meneroka alam!

Thursday, March 6, 2014

Fikrah Seorang Lelaki Bernama Voltaire

Mereka bilang dia tidak percaya pada Tuhan!
Mereka bilang dia seorang atheis melawan agama!
Mereka bilang dia tidak beragama, maka kafir dan tidak wajar di dekati atau dipelajari,

Apa fikrah seorang lelaki bernama Voltaire? Apakah agama seorang tokoh yang melawan ulama-ulama gereja pada hidupnya?

Begitu pelbagai spekulasi tentang fikiran dan agamanya. Dan akhiranya di dalam karya nya bertajuk "Theist".

The theist is a man firmly persuaded of the existence of a supreme being as good as he is powerful, who has formed all things . . . ; who punishes, without cruelty, all crimes, and recompenses with goodness all virtuous actions . . . . Reunited in this principle with the rest of the universe, he does not join any of the sects which all contradict one another. His religion is the most ancient and the most widespread; for the simple worship of a God preceded all the system of the world. He speaks a language which all peoples understand, while they do not understand one another. He has brothers from Pekin to Cayenne, and he counts all the sages for his fellows. He believes that religion consists neither in the opinions of an unintelligible metaphysic, nor in vain shows, but in worships and in justice. To do good is his worship, to submit to God is his creed. The Mohammedan cries out to him, "Beware if you fail to make pilgrimage to Mecca!"- the priest says to him, "Curses on you if you do not make the trip to Notre Dame de Lorette!" He laughs at Lorette and at Mecca: but he succors the indigent and defends the oppressed.

Hakikatnya dia tidak melawan agama tetapi dia melawan para ulama membawa panji "Sembahlah Tuhan aku! Ikutlah cakap aku! Semakin kau ikut cakap aku semakin kau beriman!"

Dia percaya pada Tuhan dan menyembah Tuhan. Cara dia menyembah Tuhan ialah dengan berlaku baik. Dia memberi bantuan kepada yang miskin dan membela orang yang lemah!

Tidakkah kita sebagai orang Islam sepatutnya berasa sangat malu menghukum orang hanya kerana  berlainan mazhab dan kegagalan orang lain dalam mengikut hukum fiqah dengan sempurna?
Apakah sikap kita yang suka mengkafirkan orang lain dan tidak membantu orang yang ditindas?

Kenapa kita tidak langsung merasa malu kerana orang yang kita kafirkan lebih baik dari kita? Atau orang yang kita kafirkan mengamalkan kehidupan yang lebih dekat dengan nilai-nilai Islam?

Semakin penat apa bila aku membuka Facebook di mana terdapat Melayu Islam yang kononnya mempertahankan Islam tetapi dengan kata caci maka. Aku bosan dengan sikap manusia yang tidak sedar bahawa dia sendiri kerap kali menghina agamanya sendiri.

Jika mahu mempertahankan agama mu dan mahukan perubahan, mulakan dengan diri sendiri. Dalami agama mu itu terlebih dahulu. Hentikan perangai mudah melatah! Berubahlah! Jika kau benar sayang agamamu, buatlah apa agama mu telah suruh. Berusahalah untuk menjadi seorang Muslim sebenar!

Wassalam.

Thursday, February 27, 2014

Buta Politik dan Membutakan Diri Dari Sebarang 'Politik'


Gambar ini begitu mudah sekali merumuskan segalanya tentang Buta Politik!
Saya berani megakui gambar di atas kerana saya pernah menjadi seorang yang sangat buta politik malah berbangga dengan kebutaan saya. Saya cakap politik sangat kotor dan malas nak ambil tahu. Saya juga pernah enggan mengundi. Langsung tiada usaha dari saya sebagai rakyat yang terkesan dari gelombang politik di Malaysia untuk membersihkan politik.

Saya masih ingat tiga tahun lalu saya baru sahaja menjejakkan kaki ke bumi UiTM kampus Shah Alam, masih mudah dan masih segar. Kononnya berani menjelajah kehidupan mengikuti kawan-kawan ke pusat membeli belah. Terasa bosan ke sana tetapi itulah kehidupan. Terasa hidup ini begitu ada kelas sekali dengan berpakaian berjenama dan mengisi perut dengan makanan mahal-mahal. Sehinggalah ditegur oleh bapa aku mengingatkan siapa aku.

Aku sangat jauh dari politik, enggan membaca surat khabar dengan sengaja, dengar sahaja dari mulut kawan-kawan keliling atau pun pensyarah. Sehinggakan semakin panas nama 'Najib' dan 'Rosmah' didengarkan merata. Kemudian aku menyertai aktiviti di Universiti yang memerlukan aku mencari wang sumbangan dan aku berjaya mendekati ketua puteri sebuah parti cawangan Shah Alam. Ketika aku berbual dengannya aku mengalami begitu banyak tempoh kejanggalan kerana begitu banyak tentang Melayu dan ketuanan Melayu. Aku memang seorang pelajar undang-undang dan dikehendaki mempelajari dikriminasi positif ini, walaubagaimanapun apabila berada di dunia realiti, aku terasa terguris hati dan mula berfikir, "Kesian manusia bermata sepet atau berkulit gelap sedikit. Tidak selamat mereka di bumi tempat mereka lahir kerana nenek moyang mereka atau bangsa mereka bukan Melayu."

Masuk pula aku ke kelas Undang-Undang Dan Falsafah, di mana tiba-tiba aku kata aku memahami kenapa Hindraf marah, lahir di sini tetapi mereka rasakan penindasan. Aku di'hentam lembut' oleh kawan-kawan sekelas dengan bertanya apa lagi mereka mahukan dan menekan perbezaan bangsa. Tetapi aku dalam diri asyik membilang bahawa mereka tetap manusia.

Pelbagai penindasan perkauman aku saksikan. Kemudian penindasan kepada kelas pertengahan dan bawah dengan kenaikan harga dan sebagainya.
Ketika aku berusia 18 tahun, aku masih teringat sebuah buku seorang kapitalis mengucapkan bahawa sebuah negara yang mempunyai ekonomi yang stabil ialah negara yang mempunyai cukai yang rendah kerana hasil negara sudah cukup untuk menjana perkembangan negara, kenapa perlu lagi duit rakyat. Sesudah menginjak usia 20-an, diiyakan kenyataan ini oleh aktivis-aktivis yang dimunculkan dalam kehidupan aku.

Mula aku belajar, segala harga semuanya mainan politik. Nak makan pun ada mainan politik. Mengamuk besar aku apabila harga segelas barli di Restoran Ayza di Alam Avenue 2, Shah Alam berharga RM2. Sekampit gula walaupun harga semakin naik masih menghasilkan berpuluh minuman dan jika dibahagikan kosnya ke setiap gelas hanya akan jadi naik maksimum 20 atau 30 sen. Sedangkan barli tersangatlah murah tambahan jika dibeli secara borong. Harga gas merebus barli? Kenapa kedai lain tidak mencecah RM2 sedangkan mereka pun merebus barli juga?

Semakin hari aku semakin geram dan enggan jadi buta politk. Tapi aku fikir mengapa aku pilih untuk menjadi buta pada awalnya dan mengapa orang dikeliling aku masih buta atau memilih untuk menjadi buta?

Ada beberapa sebab berdasarkan dapatan aku mengapa ramai memilih untuk menjadi buta politik:


  1. Selesa! Terdapat di antara mereka yang gaji sudah besar maka terasa tempias sahaja. Tak nampak kesusahan orang lain dan menampakkan bagusnya BR1M membantu sebab jarang mereka kira kos asas untuk hidup di bandar. Kata mereka orang miskin malas berusaha. Aku tidaklah miskin tetapi aku masih ingat aku bekerja sampingan di kedai photostat mencari duit lebih, sedangkan kawan-kawan aku berada di pusat membeli belah atau sedang duduk berehat di rumah kerana mereka tak perlu cari duit lebih, rezeki mereka duit sudah tersedia. Nak kata malas, aku dah berusaha, maka bagaimana nak kata orang miskin malas? Kerja teruk hasilnya sikit, nak belajar tinggi-tinggi pun tak mampu. Selesa membuta mata!
  2. Terlalu banyak berita kebodohan ahli politik dan kami tak boleh buat apa-apa. Jujur ramai yang geram dan bengang dengan kebodohan ahli politik. Dan kami marah dengan polisi yang berat sebelah dan pentingkan diri tetapi suara kami tidak kedengaran. Ahli politik wakil kami tapi tidak bercakap dengan kami. Mungkin kami tidak tahu mana saluran nak menyuarakan suara kami, tetapi saluran yang sedia ada pun tidak cukup promosi. Setiap aduan yang keluar di televisyen terutama TV3 semuanya berunsur memburukkan parti antara satu sama lain. Kelakar! Dipergunakan pula selepas mengadu, yang bekerjasama pun bodoh juga sebab rela diri dipergunakan. Aduan sebenarnya bertujuan dia untuk penambahbaikan bukan mengira dosa orang lain. Aku ada banyak aduan tak kiralah untuk apa kerajaan sekali pun! 
  3. Penat dan malas sebab banyak sangat drama yang tak perlu dan tak tahu hak! Edukasi dan kesedaran yang sangat kurang.
  4. Termakan dengan informasi arus media massa utama dan tidak membuat pencarian lebih lanjut. Banyak sangat menonton TV3, baca Berita Harian dan Utusan serta rajin buka Facebook. Yang pembangkang pun sama sibuk baca Harakah dan sebagainya. Cubalah tutup telinga baca tentang ekonomi, hak asasi, apa maksud adil, apakah ciri-ciri kerajaan yang bagus dan sebagainya sebelum memilih yang mana satu akan membawa kebaikan kepada rakyat sebenarnya. Ini asyik menghadam Facebook dan bahan bacaan yang berat sebelah. Malas sungguh hendak mencari informasi tambahan. Paling kelakar apabila ada budak cakap "Baguslah harga barang mahal! Itu tanda Malaysia maju!" Kalau aku mak dia, malang betul nasib dia. Umur dah 21 dan dah masuk universiti tetapi melontarkan kata-kata berkenaan. Kalau aku mampu mahu aku hantar budak berkenaan duduk Kemboja baru kau akan terkejut betapa mahalnya barang, betapa kerjaan mereka tidak berfungsi dengan baik dan kau rasakan nikmat kesusahan. BR1M membantu? Ini lagi nak menitik air mata. Aku duduk di Shah Alam sehari makan minimum RM12(sehari 2 kali makan) maka sebulan dah RM360. Sewa bilik mujur sahaja dapat RM125 tapi kena bayar bil dan kos minyak lagi. Aku pernah jalan kaki dari Ken Rimba ke UiTM Shah Alam-40 minit perjalanan dan polis bantuan yang menyapa ucapan selamat sendiri tidak percaya aku tak berduit. Secara total perbelanjaan aku sebulan kira-kira RM900-1000 termasuk bil dan sebagainya sebagai seorang pelajar. Ini pun pernah juga mandi pakai sabun orang sebab tak berduit. 

4 sebab-sebab ini sahaja yang paling aku kerap perhatikan di kalangan rakyat Malaysia dan terdapat pada diri aku juga. Mungkin ada lebih lagi sebab tetapi kelemahan aku untuk nampak apakah lagi sebabnya. Aku jujur yang juga baru nak mencelikkan mata kerana dulu aku penat, malas dan sangat selesa. Aku tutup mata dengan kesusahan orang yang membanting tulang tapi tak juga mampu menanggung anak sendiri. Sehingga ada anak yang mencuri sebab teringin nak baju baru. Semakin aku duduk dekat flat di Ken Rimba ini, semakin aku nampak kitaran hidup orang susah dan miskin yang bergaji tak cecah RM1300 pun.

Aku mengharap pos kali ini memberi kesan kepada yang sudi membacanya. Bukalah mata dan nampakkan realiti sebenar kehidupan. Jika anda terlalu selesa dan tidak susah hati, masih jauh dari realiti sebenarnya.


Tuesday, February 25, 2014

Kritikan Penerbitan Buku Indie: Wajar Atau Tidak Wajar?




Sebelum aku menjawab wajar atau tidak, aku ingin nyatakan di sini bahawa aku tidak berpihak kepada penerbitan buku indie, pengkritik mahupun arus sastera utama di Malaysia. Aku baca buku sastera yang 'halus', buku indie dan apa-apa sahaja jenis buku termasuklah yang diterbitkan Alaf 21.

Maka ini pendapat aku:

Biarkan pelbagai penulisan menghiasi zaman. Biar cacat cela, tidak bertulis cantik, penuh kesilapan tatabahasa dan sebagainya!
Memupuk cintakan ilmu dan membaca.
Bagi aku, sesuatu idea lebih baik ditulis daripada dicakap dengan mulut. Suatu hari nanti generasi akan datang akan mengkaji generasi kita dan akan dapat tahu bagaimana kehidupan generasi kita. Apa yang kita minum, sarung pakai kita, kemarahan kita, buah fikiran, perkembangan imaginasi generasi kita dan sebagainya. Bagi aku tiada buku yang tiada nilai walaupun syok sendiri.

Aku sangat tak suka siri novel romantis Twilight Saga. Aku pengkutuk tegar siri ini. Novel ini lagilah syok sendiri dan aku banyak kali cakap, "Buku ini seperti perempuan terdesak (dambakan cinta) yang sedang datang bulan, membayangkan cinta pengembaraan dan pengakhiran yang sempurna."
Tapi aku juga belajar banyak seperti 'Jangan jadi seperti Bella Swan."
Aku mula mendefinisikan cinta aku dan semestinya aku menolak cinta Bella Swan. Mungkin kerana aku seorang Islam dan sayang pada ibu bapa aku. Aku yakin aku lebih mahukan ibu bapa aku lebih daripada seorang lelaki yang aku kenal dalam kelas di sekolah ku.
Dan semestinya cerita itu mengingatkan aku realiti kehidupan bukan hanya kisah cinta yang utama.
Bacalah! Walaupun sekadar komik.
Banyak benda yang aku perjuangkan selain cinta antara lelaki dan perempuan.

Kembali pada buku indie, bagi aku, setiap buku ada cerita yang ingin disampaikan walaupun ada unsur lucah sekalipun. Karya sastera Inggeris turut mempunyai unsur liberal tetapi tiada apa masalahnya. Ia adalah catatan, sebuah cerita.
Aku teringat lagi catatan Pak Samad Said di muka surat awal karyanya berjudul Salina, dia hanya bercerita dan tidak bermaksud apa-apa. Dari ceritanya, banyak yang aku belajar betapa sehina mana manusia ada baik di hatinya dan dalam kehinaan itu, kadang-kadang lebih mulia dari yang kononnya putih bersih dan suci.
Aku belajar jangan cepat menghakimi orang.
Banyak juga aku belajar dari dari buku-buku Indie seperti karya Zul Fikri Zamir berjudul Sekolah Bukan Penjara, Universiti Kilang.
Aku turut membaca Awek Chuck Taylor oleh Nami. Aku sangat tak suka dengan isi kandungnya tetapi aku rasa rakyat perlu tahu wujudnya manusia seperti Nami.
Aku mengutuk habis-habisan karya itu kerana bagi aku adakah wajar seorang intelektual berperangai seperti dalam buku berkenaan? Pseudo intelektual? Mungkin! Dari situ aku belajar betapa hebatnya seorang perempuan membaca tetapi kadang-kala ada ilmu tiada adab pun bermasalah juga.
Sekali lagi aku ingatkan, Nami ialah juga seorang pencerita. Kita sebagai pembaca perlu berfikir sendiri baik buruknya. Ruang berfikir sudah diberi, gunakan.
Maka walaupun aku mengutuk buku Awek Chuck Taylor yang menimbulkan kejengkelan tak terhingga dalam diri aku, aku kata bacalah! Aku tak kisah dan aku tak akan sekat. Mari kita bincang apa yang engkau dapat dari buku itu. Rakyat perlu fikir dan berdiskusi!

Di dalam buku indie tercatit bagian realiti kehidupan lain yang tidak dirakamkan oleh buku-buku sastera aliran utama. Penulis-penulis indie dibesarkan dari perspektif kehidupan yang berbeza dan wajar didengarkan.
Apalah salah nya dua aliran ini terus wujud bersama mewarnai dunia ini?
Kalau nak tahu apa generasi ini fikir, bacalah apa yang mereka tulis. Ini adalah hasil pendidikan dan masyarakat Malaysia di dunia pasca kemodenan. Warna-warna kehidupan yang kita kena baca dan kita kena tahu.

Sebagai pembaca, kedua aliran ini membentuk pemikiran saya.  Bagi saya, tiada masalah dengan kewujudan buku indie yang kononnya potret syok sendiri. Saya baca dan saya fikir. Kedua aliran memberikan sesuatu kepada saya dan pembaca-pembaca yang lain.

 Antara perkara yang paling saya suka tentang membaca ialah pabila selepas habis satu buku saya diberi peluang untuk berfikir tentang kandungan buku tersebut. Pelbagai konklusi yang dapat saya buatkan dengan sendirinya dan diperbaiki dengan diskusi-diskusi bersama teman. Mereka juga membuat konklusi mereka sendiri. Walaupun kami berlainan pendapat tetapi kami saling menerima. Menerima perbezaan ini saya belajar dari diskusi kumpulan-kumpulan pemikiran yang menggalakkan membaca.
Dari mana tercetusnya idea untuk mencari mreka yang berfikir ini? Dari buku-buku sastera terbitan DBP, IKBN, dan lain-lain yang membuat saya terus dahaga mengkaji perkembangan peradaban manusia sehingga tekad mempelajari bahasa Inggeris.

Dari sekolah kerajaan yang sudah ditentukan silibusnya, saya disuruh membaca oleh guru-guru dan dahaganya saya sehingga saya keluar dari silibus-silibus robotitk. Waktu-waktu rehat di sekolah saya habiskan dengan membaca sastera klasik bahasa Inggeris kerana disuruh oleh buku-buku karya bahasa melayu. Dari satu buku, saya lompatkan ke buku yang lain yang berlainan bahasa, terbitan dan genre. Apa salahnya?

Membaca ialah proses pembelaran yang
sangat penting dalam membentuk sebuah
otak yang sihat
Segalanya yang negatif dan positif mengimbangi dunia. Membaca memberi saya kebebasan. Dengan mengawal dan menyekat bahan bacaan kerana ia syok sendiri, lucah atau liberal, adalah seperti Nazi yang membakar buku-buku kerana takutkan rakyat berfikir. Mematikan pemikiran dan tidak boleh saya terima perbuatan menapis bahan bacaan saya.

Walau bagaimanapun pengkritik sekadar pengkritik, dan penerbitan buku indie wajar dikritik untuk penambahbaikan bukan untuk diketepikan atau dilingkupkan. Kritik ini tidak menghalang kita membaca, sekadar mempersoalkan hasil penerbitan ini dalam memperbaiki kualiti mentaliti rakyat Malaysia terutamanya generasi muda kini. Sekali lagi saya tegaskan setiap bahan bacaan ada nilainya dan teruskan membaca walaupun ianya hanya layak dibawa ke jamban seperti Harian Metro atau blog-blog busuk memfitnah manusia.

Wassalam.







Cinta 101: Pelbagai Karenah Mencari Cinta, Nasihat untuk para Gadis

Terdapat karenah dalam mencari cinta dan yang sering kecundang dan menitis air mata selalunya ialah perempuan kerana mereka gelojoh dan mudah jatuh cinta -pendapat aku, kawan-kawan dan bapa aku.



Sistem dalam Islam setakat yang aku kaji, memang sesuai dengan fitrah kerana ia memelihara hati seorang perempuan dan sangat jelas dalam menampakkan kesediaan lelaki untuk bercinta atau berumah tangga. Jika mengikut cara Islam, lebih jelas tanda-tanda kesediaan pada lelaki dari sudut perbuatan jika dibandingkan dengan cara 'berkenalan terlebih dahulu, berteman, kemudian bila rasa boleh terima, baru lah ke arah perkahwinan-baru kumpul duit dan usaha ke arah perkahwinan- kalau tak suka, putus sahaja.' Cara kedua lebih memakan masa, tiada kepastian dan kemungkinan ke jinjang pelamin ialah 50%-50%.

Cara Islam secara ringkas yang aku faham

  • Berkenan? Risik calon dengan bantuan keluarga/saudara/ kawan kerana kita ketika ini mungkin mudah angau atau nampak segalanya baik-baik belaka. Perkara yang perlu dirisik ialah maklumat peribadi, status, bagaimana orangnya (ketika berurusan seperti kewangan, hubungan dengan keluarga, agamanya, kawan-kawannya dan apa-apa yang berkaitan)
  • Ambil masa dan kaji hasil risikan. Jika suka, lakukan istikharah dan usaha ke arah perkahwinan. Mula berbincang dengan keluarga.
  • Dapat lampu hijau? Jumpa sesama keluarga. Jangan lupa juga memberitahu calon sebelum datang meredah. Tapi ada juga yang terus jumpa mak ayah calon, kemudian mak ayah calon yang tanya calon itu. Mana-mana pun boleh mungkin..
  • Ke arah perkahwinan. Tahniah jika berjaya. Sebelum nak akad tu, kenalah jaga perhubungan. Yang gagal, cuba lagi.

Cara dalam norma masyarakat kita
Hidup ini suatu proses berjalan
ke arah Tuhan. 

  • Berkenan? Berkenalan dulu. Mengorat terus.
  • Berkawan dan berperasaan sesama keduanya jika berjaya didekati. Jika gagal didekati, usaha lagi atau cari calon baru.
  • Kemudian berkenalan dalam tempoh yang lama, di mana keduanya masih cuba membuat keputusan sama ada perhubungan itu akan berakhir dengan perkahwinan atau tidak. Perempuan selalunya paling teruja dan nak kahwin- cinta sampai mati walaupun sebenarnya dia tak beberapa suka dengan peribadi lelaki itu. Ada juga perempuan di zaman moden ni, mula tak nak berkahwin, mengejar cita-cita atau nak cari duit dulu. Tempoh yang panjang berkenalan memberi dia masa untuk menilai pasangannya dan jika dia tak suka dengan pasangannya, dia akan minta putus. Jika dia ok, dia akan minta lelaki itu tunggu. Lelaki pula setakat ini ramai yang aku jumpa bila dah tak suka, dia akan mencari calon baru atau sanggup tidak kahwin sehingga jumpa calon yang sesuai. Kalau dia suka, dia tunggu mampu dan akan berkahwin. 
  • Jika gagal, mungkin akan rasa kekecewaan yang teruk kerana sudah banyak pelaburan dan terkesan keyakinan diri kerana ditinggalkan atau diputuskan. Jika berjaya, akan berkahwin akhirnya. 

Walau bagaimanapun dengan kedua cara ini, saya tidak dapat menjamin kebahagian pasangan. Sama ada islamik atau tidak islamik, kedua-duanya ada rekod penceraian. Semua terletak pada diri masing-masing. Tambahan lagi, bukan semua orang melalui jalan yang sama seperti melangkah ke alam cinta mengikut garis panduan islam. Kadang-kala, lain laluan yang sudah ditentu Tuhan.

 Nasihat yang saya berikan hanya sekadar penambahan idea dan boleh ditolak atau diguna pakai selagi boleh.

Nasihat saya untuk para gadis yang mencari cinta:
Hadirilah pelbagai majlis ilmu
jika anda mahukan lelaki yang
berilmu. Penuhi diri anda dengan
ilmu, dan yang anda inginkan
itu akan datang kemudian.
Datang kerana ilmu.
Jangan datang sebab nak mengorat
pula!
  1. Jika seseorang lelaki berbaik dengan kamu, bukan semestinya dia suka dan mahu memperisterikan anda. Selalunya dia sedang menjadi seorang sahabat yang budiman kepada seorang gadis. Jangan gelojoh dan jangan fikir bukan-bukan. Jika dia benar suka, dia akan memberitahu dan berusaha menjadikan kamu sesuatu dalam hidupnya
  2. Jangan terhegeh-hegeh atau terdesak. Cinta datang bila tiba masanya walaupun anda kesuntukan masa-faktor umur menyebabkan perempuan sangat terkejar-kejar. Jangan kerana kesunyian kita sanggup mengejar seorang lelaki yang tidak punya langsung perasaan pada kita atau dia sebenarnya menganggap kita kawan. Jika benar ada cinta, dari persahabatan pastinya ia akan bertukar menjadi perhubungan cinta. Jangan peningkan lelaki berkenaan dengan dilema dan kejanggalan dengan perangai kita yang mengharap cinta yang tak akan datang. Dia kemungkinan enggan kehilangan kawan dan pening memikirkan cara untuk tidak menyakitkan hati anda dengan hakikat dia tidak punya perasaan kepada anda.
  3. Ketahui diri anda dan lelaki jenis apa yang anda mahu. Bertegas dengan kemahuan itu. Paling ramai saya jumpa gadis yang gemar lelaki berpendidikan/lelaki yang baik tetapi kerana terdesak dan pada saat itu lelaki yang kurang berkualiti yang ada, dia terus melayan sahaja dan akhirnya jatuh cinta. Kemudian menyesal di kemudian hari. Hentikan perbuatan ini. Selain itu, jika anda mahukan lelaki yang baik, cinta dan perkahwinan yang bagus, mulakan dengan diri sendiri terlebih dahulu.
  4. Jangan cepat jatuh cinta! Apabila sudah jatuh cinta, kentut busuk pun jadi wangi. Perangai kurang senonoh pun sanggup diterima. Jangan cepat buta! Bahayanya angau membutakan ramai orang.
  5. Bertenang dan ambil masa.
  6. JUJUR. Kalau suka pada seseorang, cakap. Kalau dia tolak, terima dan teruskan hidup. Berkawan dengan orang itu. Jangan putus kawan hanya kerana ditolak. Dia tak main perasaan anda dan anda tak main dengan perasaan dia. Dengan kejujuran, lebih terus dan menolak segala ketidakpastian maka lebih cepat anda 'move on'. Kalau anda simpan perasaan, mungkin dia juga dalam dilema walaupun dia sukakan anda. Ambil risiko jika sanggup, tapi ambil masa juga sebelum nak meluah isi hati, cuba bagi klu atau petanda tentang rasa isi hati secara halus. Ambil masa anda, jika positif hasil petanda atau ujian, barulah cuba meluah isi hati. Jika ditolak, jangan bersedih atau marah. Teruskan berkawan dan cari calon lain.
  7. Sayang diri anda! Terdapat mereka yang mengharapkan orang lain menyayangi diri mereka. Mereka mendambakan perhatian dan kasih sayang orang lain. Bergantung pada manusia lain. Kenapa tidak menyayangi diri sendiri terlebih dahulu? Hormati diri sendiri? Kadang-kadang apabila kita terlalu dahagakan perhatian orang lain, kita akan merasakan kita paling terabai sekali.
  8. Cuba memahami lelaki dan fahami juga cinta dengan buku-buku di pasaran, bertanya pada keluarga dan kawan-kawan dan sebagainya cara untuk ketahui cinta. Bapa saya sangat tegas dengan menyatakan nak tahu lelaki itu mahu atau tidak ialah kesanggupan lelaki itu untuk berjumpa bapanya dan meminta anak perempuannya untuk diperisterikan. Kalau jumpa sekadar nak berkenalan, ada peratus ketidakpastian. Pada pemerhatian saya, terdapat kawan lelaki saya yang sangat berhati-hati tentang cinta dan berjumpa dengan keluarga teman wanitanya. Walaupun masih belum dia meminta untuk memperisterikan pada awal pertemuan, bapa si perempuan memberi peluang kerana si lelaki seperti lelaki yang boleh dipercayai, bermoral dan berpendidikan. Akhirnya mereka berkahwin setelah si lelaki mendapat pekerajaan yang stabil. Sepanjang perhubungan sebelum berkahwin, lelaki itu menampakkan perangai yang boleh diterima keluarga si perempuan dan sentiasa berbaik-baik dengan mereka. Pandangan-pandangan ini penting dalam membantu anda membuat keputusan.

Setakat ini sahaja 8 nasihat yang saya mampu fikirkan untuk dikongsi bersama. Saya gadis yang sangat terus dan suka ambil risiko tetapi mengambil masa dalam meluah isi hati. Pernah ditolak dan menjadi gagalis cinta tetapi saya masih berkawan dengan mereka yang menolak. Tiada apa yang hendak dimalukan. 

Manusia cenderung melakukan kesilapan. 
Sebelum meluahkan isi hati di Facebook atau di Twitter tentang kesukaan, ada baiknya jika bertanya pada tuan badannya terlebih dahulu.
Saya pernah juga dilamun kesukaan di laman sosial dan merasa seperti memalukan diri sendiri. Mujur tidak pernah dinyatakan empunya nama kesukaan saya pada ketika itu.
Sejak itu saya mengambil langkah berjaga-jaga kerana saya sayang pada diri saya.

Masa mematangkan kita, dah buat sekali, jangan buat lagi. Teruskan sahaja kehidupan dan jadilah yang lebih baik dari diri kita yang semalam.

Wassalam!


Bila usaha membuahkan hasil yang kita mahukan, indahnya dunia! Tetapi jangan lupa hayati proses itu. Kerana dari proses, banyak yang boleh kita pelajari.


Sunday, February 16, 2014

Cinta 101: Langkah-langkah Awal

Teringin nak bercinta? Teringin nak berkasih-sayang dan teman menemani? Teringin nak diambil berat?
Tetapi sebelum anda bercinta, anda tahukah apa itu Cinta? 

Ya, apa itu Cinta?
Tahu tak tanggungjawab yang akan datang apabila anda bercinta?
Anda nak bercinta dengan manusia yang berlawanan jantina, tetapi mental anda tidak bersedia langsung!
Anda nak bercinta dan kononnya boleh berkenal-kenalan dalam tempoh bercinta, tapi bila sudah kenal, semakin sakit hati pula.
Ini namanya khayalan.. Ingat semua perempuan bidadari? Atau semua lelaki bidadara?
Kemudian mula mengambilan keputusan meninggalkan manusia itu!
Itu suatu yang tidak bertanggungjawab jika ditinggalkan sewenang-wenangnya.

Hentikan angan-angan dan dambaan mahukan yang terlalu kacak atau yang terlalu cantik. Perlu sedar diri.



Sebelum bercinta, pastikan anda tahu apa itu Cinta.
Dari situ, anda akan memahami lalu menjadi seorang pencinta dan sangat istimewa untuk dicinta.
Mungkin anda akan tiba di suatu fasa kesunyian dan menggelarkan diri sebagai gagalis tegar kerana gagal dalam dunia cinta.

Tetapi dalam meraih sesuatu yang baik, masa perlu diambil.
Tempoh gagalis tegar itu, diguna untuk memahami cinta, menyediakan mental dan anda boleh guna untuk mengkaji tentang mentaliti kaum Adam/Hawa
Cuba baca bagaimana komunikasi yang efektif: meluahkan rasa tidak puas hati, nak bergurau dan bagaimana hendak 'bergaduh' dengan baik.
Menerima perbezaan biologi dan mentaliti sebelum lagi anda memasuki sesuatu hubungan lagi.
Belajar hormati jantina yang berlainan
Hentikan perbuatan memperendahkan perempuan atau lelaki
Tiada yang lebih menjengkelkan daripada manusia yang sexist secara negatif
Lekatkan dalam otak bahawa lelaki dan perempuan hidup bekerjasama di muka bumi ini!

Mulai perjalanan cinta anda dengan mengenali apa itu Cinta, tanggungjawab yang datang dengan Cinta, persediaan mental dan sedikit ilmu tentang perbezaan lelaki dan perempuan.

Dengan ilmu yang ada, anda sudah mengorak langkah untuk menjadi seorang pencinta yang baik!


“Cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap diri manusia, ia laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci. Jika ia jatuh pada tanah yang subur, di sana akan tumbuh kesucian hati, keikhlasan, setia, budi pekerti yang tinggi dan lain-lain perangai terpuji.” 
― Hamka


Friday, February 14, 2014

Buku Jalanan Shah Alam ke 47 Apa itu Pusat Sekitar Seni di Padang Jawa, Shah Alam pada 8.2.2014


            Pada 8hb Februari 2014, pustakawan-pustakawan Buku Jalanan Shah Alam telah mengadakan suatu slot memperkenalkan Pusat Sekitar Seni yang terletak di Padang Jawa, Shah Alam. Selain itu terdapat persembahan akustik Fraud Dispute Escapade menghiburkan para hadirin yang datang, diikuti dengan semua dibawa bersiar-siar melihat kawasan perkampungan Padang Jawa yang majoritinya didiami oleh kaum India.



     Untuk pengetahuan semua, Pusat Sekitar Seni ialah pusat komuniti di perkampungan terbabit yang diwujudkan oleh para seniman dan seniwati (Aisyah, Idham dan ramai lagi) yang bergiat aktif di kampung itu mendekatkan seni kepada masyarakat. Pelbagai aktiviti kesenian yang dilakukan di situ seperti Padang Jawa Art Festival dan Population: In or Out. Kedua acara yang saya nyatakan sebentar tadi ialah acara yang besar berlangsung melibatkan ramai seniman dan seniwati dan turut menjemput artis daripada seberang iaitu Indonesia turun padang dalam menjayakan acara-acara ini.



      Padang Jawa dihiasi dengan seni jalanan yang membawa mesej-mesej tertentu daripada pelukis itu sendiri, penduduk-penduduk dan menggambarkan isu-isu semasa di kampung terbabit- isu politik dan agama. Lebih menarik lagi apakah akan terjadi kepada lakaran dan lukisan selepas acara sudah tamat. Daripada proses bagaimana melukiskan sehinggalah penglibatan anak-anak jati kampung tersebut dititik beratkan dalam kedua acara ini. Kemudian akan diperhatikan kesan daripada hasil seni ini kepada masyarakat setempat.



    "Seni itu untuk seni atau seni itu untuk rakyat?" Persoalan itu pernah dibangkitkan oleh Idham sangat menarik sekali untuk dibincangkan, memandangkan pada zaman kini seni kadang-kala adalah untuk golongan elitis dan ada juga seni yang semata seni industri. Pernah aku terbaca jika sesuatu karya tidak menyentuh atau menyentap hati, maka ia langsung tidak berbaloi untuk dimaterialisasikan. Apalah guna jika sesuatu karya tidak mempunyai jiwa.


    Kemudian diperbincangkan juga tentang 'apa itu aktivisme' sebelum pustakawan-pustakwan merekrut sukarelawan baru. Tiga buah lagu didendangkan kepada para hadirin sebelum kami bersiar-siar ke sekeliling Padang Jawa dan berbicara tentang seni dan masyarakat.


     Setakat ini sahaja entri untuk kali ini. Jemput klik 'like' di Facebook Buku Jalanan Shah Alam dan ikuti twitter Buku Jalanan Shah Alam tweethandle : @bukujalanan










Seni itu untuk seni atau seni itu untuk masyarakat?

Berbasikal, Oh Panasnya Malaysia!

Sejak akhir-akhir ini aku sedaya upaya cuba meningkatkan stamina diri aku, berusaha untuk menjadi versi yang lebih sihat dan cantik kononnya. Berjoging dan berbasikal antara aktiviti yang aku lakukan untuk mencapai matlamat kecil ini.

Sudah lama idea ini dibangkitkan tetapi masih tidak ramai yang mampu melaksanakannya. BERBASIKAL KE MANA SAHAJA atau MENJADIKAN BASIKAL KENDERAAN UTAMA BAGI YANG MENAIKI KENDERAAN SECARA SOLO.

Idea ini sangat bagus kerana:

  • mengurangkan pencemaran alam sekitar
  • mengurangkan kesesakan jalan lintas
  • menyihatkan tubuh badan
  • menjimatkan wang ringgit (kos: minyak dan 'maintenance' kereta)
Dan pelbagai lagi manfaatnya. Kita sudah lihat pelaksanaannya di negara-negara Eropah.
Tapi kita di Malaysia, sini PANAS lah!

Secara jujurnya aku terpaksa setuju dengan kenyataan panas itu.
Aku sudah mencuba meredah daripada rumah aku yang terletak di Ken Rimba, Seksyen 16, Shah Alam...
Sehinggalah ke Bank Hong Leong, Seksyen 15, Shah Alam pada jam 3 petang.
Kenderaan tersangatlah laju dan ada pemandu yang kejam-kejam belaka.
Menitik peluh jantan seorang gadis bernama Husna Nabila.
Stamina pula masih tidak kuat.
Dan masih tiada lorong motorsikal atau basikal sepanjang perjalanan ini.


Sebenarnya, kita boleh berbasikal ke mana sahaja kita mahu pergi! Tidak mustahil idea ini untuk dilaksanakan di Malaysia!

Kenapa kedengaran mustahil? Kerana bukan budaya kita dan semua tak mahu berpeluh. Jujurnya, aku pun tak nak busuk jika tiba ke sesuatu destinasi.

Panas!
Semua tahu kenapa Malaysia panas!
Pokok yang ditebang dan udara yang semakin tercemar. Semua salah kita. Suruh berbasikal untuk mengurangkan pencemaran alam tetapi kita bagi alasan panas. Memanglah panas, sebab semua salah kita yang mencemari bumi kita dengan meningkatkan kandungan karbon dioksida yang tinggi di udara.
Kemudian ditebang lagi pokok sehingga tak sempat pokok mahu memproses karbon dioksida menjadi oksigen. 
Bodoh dan pemalas! Wajar kita jauhi label ini.

Maka saya menyeru lebih ramai orang berbasikal agar mengurangkan kadar pencemaran udara. 
Saya yakin dengan usaha ini, kita boleh mengurangkan suhu di Malaysia.
Kemudian saya galakkan juga penanaman lebih banyak pokok-pokok di Malaysia.
Dan sama-sama kita menjaga kebersihan alam sekitar,

Sekian sahaja entri untuk petang ini.


*mahu berbasikal
*tak pernah sapu sunblock di muka
*terbakar tapi saya OK :D


Berbaktilah kepada BUMI



Popular Posts